Life is Strange 2 merupakan sekuel untuk Life is Strange yang dikeluarkan pada tahun 2015. Ia dibangunkan oleh Dontnod Entertainment dan diterbitkan oleh Square Enix. Permainan ini mempunyai 5 episod dan episod pertama dikeluarkan pada 27 September 2018 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.

Membawa penceritaan dengan berlatar tempat dan juga watak baharu, ramai yang tertanya sama ada permainan ini boleh membawa sesuatu yang baharu berbanding permainan pertama.

Cerita

Penceritaan Life is Strange 2 adalah mengenai Sean dan Daniel. Sean merupakan seorang remaja berumur 16 tahun manakala adik beliau Daniel berumur 9 tahun. Mereka tinggal bersama ayah mereka iaitu Esteban Diaz. Di dalam episod ini, tiada penceritaan lanjut mengenai ibu mereka.

Pada awal permainan, penceritaan lebih memfokuskan mengenai perhubungan antara Sean dengan rakan karibnya Lyla dan juga kehidupan beliau sebagai seorang remaja. Selain itu ia juga memfokuskan perhubungan Sean, Daniel dan ayah mereka. Kesemua perhubungan ini dilakukan dengan baik dan perbualan mereka, termasuk melalui pesanan ringkas, terasa asli. Jalan cerita mula berkembang apabila Sean dan Daniel terpaksa melarikan diri, selepas satu kejadian yang berlaku. Jika anda ingin mengetahuinya sebelum bermain, Dontnod ada berkongsi satu trailer bentuk permainan yang mempertontonkan kejadian tersebut.

Seperti Max di dalam Life is Strange, Daniel di dalam permainan ini juga mempunyai kuasa. Berbeza dengan Max yang dapat mengubah masa, Daniel mempunyai kuasa telekinesis tetapi beliau tidak menyedarinya. Namun, satu perkara yang membawa kelainan di dalam permainan ini adalah pemain akan mengawal watak Sean dan bukan watak Daniel.

Di akibatkan kejadian berikut jugalah menyebabkan Sean dan Daniel diburu oleh polis. Namun, Sean yang risaukan perasaan adiknya, menyorok perkara tersebut. Perkara tersebut sudah semestinya mencetus permasalahan sepanjang perjalanan mereka. ,Mereka menjumpai pelbagai watak yang melayan mereka dengan baik serta ada juga yang secara tidak baik. Ia serba sedikit berkait dengan politik di Amerika Syarikat iaitu penerimaan terhadap Sean dan Daniel yang berasal dari Mexico. Walaupun dilakukan dengan ringkas tetapi ia menjadikan cerita lebih menarik.

Untuk episod pertama, jalan cerita agak perlahan dan tidak banyak perkara menarik berlaku. Akan tetapi, ia berakhir dengan cukup menarik untuk membuatkan anda ingin mengetahui penceritaan lanjut bagi permainan ini.

Grafik

Life is Strange 2 terus mengekalkan arahan grafik sepertimana Life is Strange iaitu bagaikan lukisan tangan. Namun, sebagai satu permainan baharu, ia sudah semestinya membawa pelbagai pembaharuan yang memberikan rekaan grafik lebih menarik.

Rekaan persekitaran adalah kekuatan utama untuk permainan ini. Tidak kira di mana tempat anda berada, ia direka dengan baik, teliti dan indah. Saya boleh katakan, setiap babak adalah babak yang anda boleh jeda permainan untuk menangkap paparan skrin untuk dijadikan wallpaper.

Persekitaran yang disertakan bersama dengan rekaan watak yang mengekalkan seni yang sama sudah semestinya menjadikan permainan ini sangat segar dilihat. Sepanjang permainan di Playstation 4 Pro, saya tidak menjumpai sebarang masalah kecuali ada beberapa tempat di mana tekstur lambat untuk dimuat naik. Kelancaran permainan ini juga baik yang membuatkan pengembaraan menjadi satu aktiviti yang mengasyikkan.

Audio

Perkara pertama yang membuatkan saya tertarik dengan Life is Strange adalah pilihan muzik latar yang digunakan di dalam permainan tersebut. Life is Strange 2 mengekalkan daya tarik tersebut.

Muzik-muzik yang disertakan sangat mengasyikkan, disertakan dengan rekaan grafik yang saya terangkan di atas, ia memberikan satu pengalaman yang sangat menakjubkan.

Lakonan suara berserta dengan penulisan dialog dilakukan dengan baik dan memberikan perasaan yang sangat asli. Perbualan yang berdasarkan golongan remaja adalah agak sukar untuk dibuat dengan baik, namun permainan ini melakukannya dengan baik yang membuatkan saya tidak merasakan ia dibuat-buat.

Bentuk Permainan

Permainan ini terus mengekalkan konsep permainan pengembaraan yang mengekalkan lebih memfokuskan penceritaan melalui pelbagai pilihan dialog serta tindakan. Setiap pilihan tersebut akan memberikan jalan cerita serta keputusan yang berbeza.

Keunikan di dalam permainan ini, tindakan yang dipilih oleh anda melalui watak Sean akan juga memberikan kesan kepada kelakuan Daniel. Namun, untuk episod ini, pilihan berbeza ini tidak membawa kesan yang sangat besar dan kemungkinan ia lebih memberi impak di episod-episod yang ke depan.

Selain itu, ia juga disertakan dengan pelbagai barangan yang pemain boleh cari semasa mengembara. Barangan tersebut boleh digunakan untuk menghias beg galas Sean. Sean adalah seorang pelukis yang berbakat, ia adalah seperti Max yang gemar mengambil gambar. Ada beberapa tempat yang Sean boleh duduk dan melukis persekitaran. Cara untuk melakukan aktiviti tersebut adalah terlalu ringkas dan tidak menarik.

Jika sebelum ini, di dalam Life is Strange, pemain dapat mengawal Max yang dapat mengubah aliran masa menjadikan bentuk permainan lebih menarik. Kali ini, Sean tidak mempunyai sebarang kuasa oleh disebabkan itu bentuk permainan terasa agak ringkas dan boleh menjadi membosankan.

Berdasarkan pengakhiran permainan ini, kemungkinan besar pemain selepas ini dapat meminta Daniel untuk menggunakan kuasa dan ia akan menjadikan bentuk permainan lebih menarik. Namun, jika ia terus mengekalkan bentuk permainan seperti episod yang pertama, penceritaan perlu dilakukan dengan sangat baik agar permainan ini tidak membosankan.

Kesimpulan

Akhir kata, Life is Strange 2 mempunyai penceritaan yang perlahan tetapi berpotensi untuk menjadi lebih menarik apabila ia lebih berkembang di episod-episod yang seterusnya. Namun, mengekalkan keunikan permainan pertama, grafik dan audio permainan ini dilakukan dengan sangat baik dan menjadikan permainan ini sangat segar dan mengasyikkan.

Bentuk permainan dilakukan dengan agak ringkas termasuk juga pilihan dialog dan tindakan yang disertakan. Dengan tidak mempunyai kawalan kuasa seperti sebelum ini, bentuk permainan menjadi lebih ringkas dan lebih bergantung kepada penceritaan. Perkara ini menjadikan permainan terasa mendatar dan memerlukan penambahan yang mendadak untuk menjadikan ia mengembalikan magis permainan pertama. Dengan mempunyai 4 lagi episod akan datang, permainan ini masih mempunyai satu potensi yang baik.

Sohor Kini