Melalui episod Podcast Playstation Blogcast oleh Sony baru-baru ini, mereka menyatakan bahawa tiada acara Playstation Experience bagi tahun 2018.
Melalui Podcast tersebut, Shawn Layden, iaitu pengerusi Sony Interactive Entertainment menyatakan bahawa tahun ini mereka tidak akan mengadakan acara Playstation Experience di Amerika Syarikat. Menurut beliau, ini kerena mereka tidak mempunyai sebarang kemaskini baru buat permainan yang dibangunkan oleh mereka. Sekaligus, mereka mengambil keputusan tersebut atas sebab tidak ingin mengecewakan peminat.
Playstation Experience merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Sony setiap tahun bermula 2014 lepas di California, Amerika Syarikat. Ianya merupakan acara komuniti Playstation dimana mereka sering mengumumkan pelbagai permainan baru dan demo permainan pengunjung.
Pada tahun lepas, Sony mula mengembangkan acara Playstation Experience dengan mengadakannya diluar rantau tersebut seperti di Asia Tenggara baru-baru ini. Sekaligus, satu-satunya acara Playstation Experience yang diadakan tahun ini hanyalah di Bangkok, Thailand.
Dengan pengumuman ini, ianya mungkin agak mengecewakan buat sebilangan peminat. Namun, kami di Aksiz percaya Sony mengambil keputusan yang baik untuk mengurangkan sebarang pengumuman menjelang 2019 ini.