Kelebihan pemain di PC adalah mereka mempunyai lebih kebebasan untuk menggunakan pelbagai alat kawalan termasuk juga alat kawalan konsol lain seperti PS4, Xbox One dan Switch.

Valve melalui penulisan di Steam Blog mengatakan selepas memperkenalkan sistem yang menyokong lebih banyak alat kawalan tiga tahun lepas, mereka kini mempunyai pelbagai maklumat yang dapat membantu mereka mengetahui pilihan pemain mengenai penggunaan alat kawalan.

Melalui penulisan itu juga, mereka berkongsi beberapa maklumat tersebut;

1. Terdapat lebih 30 juta pemain yang mendaftar sekurang-kurangnya 1 alat kawalan, manakala 15 juta pemain daripada itu mendaftar lebih daripada satu alat kawalan. Daripada yang berdaftar, alat kawalan konsol lebih popular berbanding alat kawalan lain termasuk Steam Controller.

2. Xbox 360 mendahului dengan didaftar oleh 27.2 juta pemain diikuti PS4 12.2 juta pemain dan Xbox One 11.5 juta pemain. Manakala alat kawalan lain seperti Steam Controller dan Switch Pro didaftar oleh 4.9 juta pemain.

3. Manakala dari segi penggunaan pada bulan lepas, Xbox One mendahului dengan 20% yang didaftar digunakan manakala PS4 hanya 9% yang berdaftar digunakan. Menurut Valve, PS4 kurang digunakan kerana tidak banyak permainan yang menyokong alat kawalan PS4 di PC.

4. Alat kawalan Switch Pro memperlihatkan peningkatan mendadak apabila Steam menyokong secara terus untuk alat kawalan tersebut. Switch Pro kini didaftar oleh 458 ribu pemain.

Valve mengatakan mereka akan terus menyokong pelbagai alat kawalan di Steam agar alat kawalan tersebut boleh digunakan tanpa memerlukan sebarang tindakan dari pembangun.

Untuk anda yang gemar bermain permainan di PC, anda lebih gemar menggunakan tetikus dan papan kekunci atau alat kawalan? Jika alat kawalan, jenis apa yang anda gunakan?

Sohor Kini