Selangor Cyber Games merupakan salah satu acara e-sukan tahunan yang diadakan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor. Kejohanan tersebut telahpun diadakan setiap tahun bermula 2014 lepas dan tahun lepas kita memperlihatkan sebanyak RM180,000 wang hadiah terkumpul bersama-sama empat permainan e-sukan dipertandingkan. Terkini, Majlis Sukan Negeri Selangor mengumumkan bahawa mereka akan membawa kembali kejohanan Selangor Cyber Games buat tahun ini.

Selangor Cyber Games 2018 akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini di Empire City, Petaling Jaya, Selangor dimana terdapat 6 permainan e-sukan yang bakal dipertandingkan. Dengan wang hadiah terkumpul sebanyak RM250,000, acara tersebut akan menempatkan hampir 2000 pemain dari seluruh Malaysia untuk bertempur dan merebut juara.

Selain itu, Zotac juga bakal mengadakan acara Push The Limit Lan Party dimana ianya akan meletakkan lebih dari 300 pemain esukan di acara tersebut selama 48 jam untuk bermain permainan video dan juga memperagakan komputer-komputer bersama-sama aktiviti-aktiviti lain.

Dengan kerjasama Mineski Events Team Malaysia bersama Big Machinez, Selangor Cyber Games 2018 merupakan kejohanan ke-5 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor. Kejohanan tersebut juga mendapat sokongan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Acara ini juga ditaja oleh beberapa pihak seperti Acer Predator, Thermaltake, SEA Gamer Mall, Time dotCom dan Zotac.

Berikut adalah senarai permainan e-sukan yang bakal dipertandingkan dan senarai wang hadiah bersama-sama dengan jumlah pemain yang akan ditetapkan:

  • Dota 2 – RM70,000. Sebanyak 320 pemain.
  • PUBG – RM20,000. Sebanyak 64 pemain.
  • FIFA 19 – RM60,000. Sebanyak 512 pemain.
  • PES 2019 – RM20,000. Sebanyak 128 pemain.
  • Tekken 7 – RM30,000. Sebanyak 164 pemain.
  • Mobile Legends Bang Bang – RM50,000. Sebanyak 640 pemain.

Ketika majlis pelancaran kejohanan Selangor Cyber Games 2018, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari juga menyatakan bahawa acara ini bukan sahaja membuka satu peluang e-sukan buat pemain, malah e-sukan kini juga telahpun diterima masyarakat sebagai satu kerjaya yang harus diberi sokongan.

Bagi anda yang berminat untuk menyertai acara kejohanan Selangor Cyber Games 2018, pendaftarannya telah pun dibuka melalui laman rasmi Selangor Cyber Game. Melaluinya, slot pemain adalah sterhad dan pendaftarannya akan ditutup setelah semua slot pendaftaran penuh.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai acara kejohanan e-sukan Selangor Cyber Games pada Oktober ini.

Sohor Kini