Apabila dikaitkan dengan sebarang permainan yang bergenre JRPG (Japanese Role-Playing Game) siri Dragon Quest sememangnya menjadi salah satu ikon permainan bergenre tersebut. Terutamanya bagi mereka yang membesar ketika era JRPG menjadi satu kegilaan ramai di Playstation 1 dan Playstation 2 beberapa tahun lepas.
Dragon Quest sememangnya merupakan satu ikon JRPG yang sangat terkenal bukan sahaja di Jepun, malah secara global. Tambahan juga, kesemua permainan siri Dragon Quest, konsep rekaan wataknya direka khas oleh Akira Toriyama, iaitu pelukis dan pencipta siri Dragon Ball.
Selain itu, siri tersebut sebelum ini juga dilancarkan dengan pelbagai siri sampingan seperti Dragon Quest Builders dan Dragon Quest Heroes yang mana juga meletakkannya di dalam dunia Dragon Quest dengan pelbagai kisah penceritaan.
Terkini, Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age merupakan siri utama Dragon Quest terbaru yang dilancarkan dan dibangunkan oleh Square-Enix di Playstation 4 dan PC pada 4 September lepas. Permainan tersebut juga dilancarkan di Nintendo 3DS, namun bagi versi tersebut, ianya hanya esklusif buat pasaran Jepun sahaja.
Pelancaran permainan ini merupakan satu impak yang besar buat siri Dragon Quest, dimana siri utama Dragon Quest sebelum ini, iaitu Dragon Quest X dilancarkan sebagai permainan yang memfokuskan bentuk permainan secara atas-talian sahaja. Tambahan juga, kali terakhir kita mendapat sebarang permainan utama Dragon Quest di konsol rumah adalah lebih dari 10 tahun lepas iaitu Dragon Quest VII di Playstation 2.
Namun, dengan Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age, Square-Enix membawa kembali permainan utama Dragon Quest yang memfokuskan penceritaan secara solo dan ini adalah ulasan penuh kami untuk permainan ini.
Cerita
Sebagai seorang peminat siri Dragon Quest dengan hampir beratus jam saya habiskan untuk bermain hampir kesemua siri Dragon Quest, apa yang saya boleh katakan adalah penceritaan Dragon Quest XI kali ini adalah penceritaan terbaik yang pernah saya mainkan.
Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age sememangnya mempunyai penceritaannya sendiri dan ianya tidak berkait dengan sebarang penceritaan permainan Dragon Quest sebelum ini. Walaupun ianya merupakan siri ke-11 buat Dragon Quest, anda masih lagi boleh menikmati penceritaan permainan secara tunggal.
Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age meletakkan pemain sebagai seorang berketurunan Luminary, iaitu wira yang telah menyelamatkan dunia seketika dahulu. Melaluinya, pemain akan mengembara dan bertemu pelbagai jenis rakan-rakan dan musuh disamping untuk menyelematkan dunia daripada diserang oleh penjahat. Memandangkan permainan ini berkait rapat dengan pengembaraan sebagai seorang wira, permainan ini meletakkan pengembaraan anda sendiri dan anda perlu menetapkan nama watak anda disamping dengan sebilangan pilihan dialog.
Secara asasnya, penceritaan Dragon Quest XI tidaklah begitu kompleks, malah ianya mempunyai bentuk yang hampir sama dengan kesemua siri sebelum ini dimana anda adalah seorang wira dan tugas anda adalah untuk menyelamatkan dunia tersebut daripada ditakhluk oleh penjahat.
Namun, apa yang buat penceritaan Dragon Quest XI begitu menarik adalah watak-watak yang terdapat di dalam permainan tersebut. Setiap watak yang pemain temui, bukan sahaja mempunyai penceritaannya tersendiri, malah setiap mereka diberi penceritaan yang sangat mendalam dan pasti membuat anda teruja.
Setiap penceritaan watak yang dihasilkan di dalam permainan ini menghasilkan satu naratif yang sangat menarik disamping itu pemain juga akan mengembara bersama mereka dan menikmati cara penyampaian penceritaan yang pasti tidak boleh dilupakan oleh saya. Setiap gelak ketawa, tangisan, cabaran dan kesemuanya merupakan satu kenangan manis seolah ianya adalah pengembaraan saya sendiri secara nyata.
Apa yang saya boleh sampaikan adalah, Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive adalah ibarat seperti satu siri anime yang sangat panjang dan penuh penceritaan yang mendalam. Dimana melalui permainan ini, pemain akan mengembara dari satu bahagian ke satu bahagian dengan pelbagai puncak naratif yang berbeza. Walaupun dari semasa ke semasa anda berasa ianya agak panjang dan menyeret, namun setiap satu bahagian penceritaan yang dihasilkan oleh Square-Enix disampaikan dengan baik sekali.
Walaupun permainan ini tidak ada sebarang cabang penceritaan yang berbagai berbanding kebanyakkan permainan RPG lain keluaran dari barat, pada pendapat saya, penceritaan Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age adalah satu puncak kesempurnaan bagi permainan JRPG yang penuh epik.
Selain itu, permainan ini juga dihasilkan khas untuk peminat siri Dragon Quest. Bukan sahaja ianya penuh dengan rujukan permainan sebelum ini, malah Square-Enix juga menghormati siri asal Dragon Quest.
Saya menghabiskan lebih dari 60 jam untuk melengkapkan penceritaan utama permainan ini dan ianya tidak berhenti setakat itu sahaja. Ini kerana, Square-Enix juga menyertakan kandungan pasca permainan yang mana ianya juga mempunyai penceritaan yang lebih mendalam dan pasti akan membuat peminat menyukainya.
Pada pendapat saya, permainan ini baik dimainkan secara bersahaja dengan kadar tahap bersederhana. Ini kerana jika anda ingin habiskannya secepat yang mungkin, anda mungkin tidak dapat menikmati permainan ini secara menyeluruh.
Oleh hal sedemikian, Square-Enix juga menyertakan satu fungsi menceritakan semula penceritaan setakat ini, setiap kali pemain menyambung permainan tersebut. Sekaligus fungsi ini memudahkan mereka yang mungkin akan terlupa dengan penceritaan permainan tersebut ketika ingin menyambung bermainnya.
Grafik
Dari segi visual grafik, permainan ini sememangnya memaparkan hasil kualiti yang sangat baik. Dengan menggunakan enjin permainan, Unreal Engine 4, Square-Enix berjaya menghasilkan satu dunia permainan yang bukan sahaja menarik untuk diperlihatkan, malah setiap bucu rekaan model watak dihasilkan dengan menarik sekali.
Sepanjang permainan ini, saya mainkannya menggunakan konsol Playstation 4 Pro dan hasil kualiti yang disampaikan sentiasa memukau saya. Terutamanya setelah saya berada di bahagian pertengahan permainan ini dimana pemain diberi peluang untuk bergerak dengan lebih meluas dengan peta dunia yang sangat luas.
Sememangnya Dragon Quest XI bukanlah satu permainan berkonsep dunia terbuka. Malah ianya lebih tertutup dan masih lagi seakan permainan klasik JRPG ataupun Dragon Quest sebelum ini. Walaupun begitu, saya masih lagi terpukau dengan visual yang dipaparkan kerana ianya dihasilkan dengan satu kualiti yang pasti buat peminat siri Dragon Quest berpuas hati.
Menariknya juga, Square-Enix juga menggunakan konsep seni seakan cel-shaded, yang mana ianya mempunyai seakan garisan hitam seperti komik dengan visual permainan ini. Walaupun begitu, konsep tersebut adalah sangat lancar dan halus, sekaligus ianya membuahkan satu visual grafik seakan menonton satu siri anime.
Tambahan juga, apa yang saya sangat sukai juga adalah setiap rekaan watak yang ditayangkan sememangnya sangat cantik untuk ditonton. Setiap rekaan Akira Toriyama diterjemahkan dalam bentuk visual 3D dengan baik. Tidak dilupakan juga dengan rekaan musuh-musuh yang mana juga dipaparkan dengan hasil kualiti yang memuaskan.
Permainan ini juga meletakkan satu penanda aras yang sangat tinggi selepas permainan Dragon Quest VIII, yang mana ianya merupakan Dragon Quest pertama dengan visual grafik 3D dan Square-Enix telah melakukan sesuatu yang sangat memuaskan dengan Dragon Quest XI ini.
Audio
Sering kita lihat yang mana permainan keluaran Jepun yang mempunyai suara latar, kualiti pelakon suara latar yang disampaikan sering tidak baik ataupun terlalu mendatar bagi edisi global.
Namun, ianya tidak sama sekali bagi permainan Dragon Quest XI, malah setiap suara latar yang disampaikan melalui permainan ini dihasilkan dengan sempurna. Tambahan juga apa yang saya harus puji adalah pergerakkan bibir di dalam permainan ini dihasilkan dengan menyegerak dengan percakapan watak-watak tersebut. Ini menunjukkan bahawa Square-Enix menghasilkan sesuatu permainan yang sangat terperinci.
Sememangnya Dragon Quest XI merupakan satu permainan pengembaraan yang meletakkan pemain untuk bergerak dari perkampungan, ke kawasan bandar mahupun ke seluruh dunia yang terdapat di dalam permainan tersebut. Kesan daripadanya, Square-Enix juga perlu menghasilkan satu ‘dunia’ yang mendalam dan mereka sememangnya tidak mengecewakan saya.
Ini kerana, sepanjang pengembaraan saya, permainan ini meletakkan saya untuk bertemu dengan pelbagai jenis masyarakat. Dari segi rekaan perkampungan dan paling penting sekali adalah aspek dialek percakapan mengikut kawasan yang berbeza. Ianya bukan sahaja menghasilkan satu bentuk dunia yang mendalam, malah dialek percakapan yang berbeza mengikut kawasan tersebut juga membuat saya berasa seolah betul-betul mengembara bersama-sama watak permainan. Setiap kali saya tiba di kawasan baru, saya berasa seolah orang asing yang berada di negara asing yang baru dan tidak pernah diteroka oleh saya. Ini merupakan pengalaman yang saya sangat sukai buat permainan ini.
Satu lagi aspek yang penting buat permainan ini dari segi audio adalah muzik. Irama melodi yang dihasilkan di dalam permainan ini sangatlah menarik dan penuh dengan penghormatan buat siri klasik Dragon Quest.
Setiap muzik ketika bertempur, ketika mengembara termasuklah juga muzik pengenalan ikonik di dalam Dragon Quest XI ini menghasilkan satu pengalaman yang membuat saya terkenang ketika bermain Dragon Quest sebelum ini, bersama-sama satu memori manis sepanjang sesi permainan saya.
Bentuk Permainan
Dari segi bentuk permainan, bagi anda yang pernah bermain permainan klasik JRPG, anda pasti berasa permainan ini tepat dengan citarasa anda. Ini kerana, Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age masih lagi mengekalkan bentuk pertempuran secara turutan.
Konsep ini sememangnya berasa agak kuno jika ingin dibandingkan dengan permainan JRPG-JRPG lain seperti Final Fantasy XV ataupun Ni No Kuni 2 yang mana lebih memfokuskan bentuk pertempuran secara beraksi dan nyata.
Walaupun begitu, konsep permainan Dragon Quest ini masih lagi baik dimainkan malah pada pendapat saya, ianya adalah bentuk terbaik dan sempurna buat siri tersebut. Ini kerana, ianya bukan sahaja mudah untuk dimainkan, malah ianya sangat taktikal. Setiap pilihan serangan yang dipilih, mesti bersesuai dengan keadaan bertempuran. Tambahan juga pemain juga perlu memastikan untuk sentiasa meningkatkan kuasa ataupun menyembuh watak-watak lain untuk memastikan kejayaan.
Selain itu, apa yang baru buat Dragon Quest XI dari segi bentuk pertempuran adalah kuasa Pep, dimana ianya seakan satu kemahiran yang dipicu secara rawak mengikut watak.
Kuasa Pep ini bukan sahaja memberi peningkatan statistik watak yang tinggi buat sebahagian watak, pemain juga berupaya untuk melakukan serangan kombinasi dengan watak-watak lain melaluinya. Kemahiran ini turut juga membuka lebih banyak bentuk strategi pertempuran yang lebih meluas.
Disebaliknya, musuh juga berupaya untuk mendapat kemahiran kuasa Pep, sekaligus ianya juga memberi satu cabaran yang sangat sukar buat pemain dan pasti buat mereka yang menyukai bentuk pertempuran secara turutan seakan permainan klasik JRPG akan menyukai permainan ini.
Khususnya, buat mereka yang inginkan sesuatu yang lebih senang, permainan ini juga menyertakan satu bentuk kawalan pertempuran secara automatik. Melalui fungsi tersebut, pemain diberi peluang untuk terus bertempur untuk mengumpul pengalaman (Experience) dengan lebih mudah, sekaligus ianya lebih senang untuk meningkatkan tahap watak-watak permainan.
Selain itu, pemain juga diberi peluang untuk menaik-taraf watak-watak dengan pelbagai kemahiran baru. Setiap watak diberi peluang untuk menggunakan sebilangan jenis senjata dan setiap senjata mempunyai kemahiran yang berbeza. Oleh itu, setiap cabang senjata tersebut, pemain diberi pilihan untuk menaik-taraf sebahagian kemahiran yang pemain mahu.
Bahkan juga, setiap watak mempunyai pelbagai senjata yang berbeza dimana terdapat juga dua watak boleh menggunakan senjata yang sama. Justeru itu, buat mereka yang ingin melengkapkan senjata ataupun mendapatkan senjata pilihan mengikut gaya permainan pemain menjadi lebih mudah.
Kebebasan ini juga bukan sahaja memberi peluang kepada pemain untuk menghasilkan satu gaya permainan pemain tersendiri, malah ianya juga membuka cabang khas buat pemain untuk menghasilkan satu strategi yang menarik mengikut senarai watak yang disediakan di dalam Dragon Quest XI.
Selain daripada senjata yang berlainan, seperti kebanyakkan permainan JRPG lain, pemain boleh melengkap sesuatu watak dengan menukar kelengkapan, perisai dan sebagainya. Terdapat juga sebilangan kostum yang mana juga akan mengubah bentuk pakaian watak tersebut.
Sebahagian daripada kostum-kostum tersebut juga berkait rapat dengan bentuk penceritaan dimana terdapat misi sampingan seperti pemain perlu memakai sesuatu kostum untuk melengkapnya.
Permainan ini juga menyertakan pelbagai kostum tambahan yang pemain boleh menyah-kunci ataupun menghasilkan sendiri melalu alat tukang besi yang terdapat di kem permainan.
Melalui fungsi ini, pemain bukan sahaja berupaya untuk menghasilkan satu senjata ataupun perisai yang menarik, malah kostum ataupun aksesori untuk tingkat statistik sesuatu watak juga boleh ditingkatkan lagi dengan menghasilkannya sendiri oleh pemain.
Melaluinya, pemain juga perlu melakukan seolah satu mini permainan dengan mengetuk di alat tukang besi tersebut untuk menghasilkan sesuatu barangan. Pemain juga berupaya untuk mempelajari resepi baru kelengkapan-kelengkapan tersebut dengan mengembara, membacanya di buku dan sebagainya.
Square-Enix juga menyertakan tahap kesukaran yang lebih sukar jika pemain ingin mendapatkan bentuk permainan yang lebih mencabar. Melalui perubahan tahap ini, pemain boleh menetapkan sebilangan bentuk kesukaran seperti tidak boleh lari dari pertempuran ataupun sebagainya.
Dari segi pengembaraan permainan, seperti permainan klasik Dragon Quest, pemain berupaya untuk mengembara secara berjalan kaki dan bergerak ke satu tempat ke satu tempat. Tetapi apa yang menariknya kali ini adalah pemain juga berupaya untuk menaiki kuda, sekaligus ianya memudahkan pemain untuk bergerak kesesuatu tempat dengan lebih pantas.
Tambahan juga, permainan ini juga menyertakan satu elemen daripada permainan Dragon Quest Monsters dimana pemain berupaya untuk menunggang raksasa. Ini kerana, terdapat sebilangan tempat yang hanya boleh dilalui oleh sesentengah raksasa sahaja. Contohnya terdapat halangan dinding yang tinggi, dan pemain perlu menunggang raksasa untuk melompat ke kawasan yang lebih tinggi ataupun sebaliknya.
Konsep ini bukan sahaja membuka bentuk permainan yang lebih meluas, malah ianya menghasilkan satu pengembaraan yang lebih menarik buat pemain dan satu kelainan buat siri tersebut.
Seperti kebanyakkan permainan JRPG lain, misi sampingan semestinya adalah satu keperluan untuk sesuatu permainan. Dragon Quest XI kali ini juga tidak mengecewakan. Walaupun misi sampingan di dalam permainan ini agak remeh dan tidaklah begitu berkait rapat dengan penceritaan utama, namun misi sampingan di dalam permainan ini jugalah yang membuat permainan ini berasa seolah satu dunia yang sangat nyata dengan pelbagai kandungan.
Rumusan
Pendek kata, Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age adalah satu permainan JRPG yang serba lengkap dari segi kualiti dan citarasa klasik. Penceritaannya yang sempurna, bentuk permainan yang mengasyikkan dicampur dengan kandungan yang pelbagai, ianya adalah satu permainan yang pasti anda akan menikmatinya.
Seperti yang saya katakan di atas, permainan ini ibarat satu bentuk anime yang mempunyai pelbagai kandungan bersama-sama penceritaan yang akan membuat anda gelak ketawa, menangis dan juga berpuas hati dengan keseluruhan pengembaraan anda.
Pada pendapat saya, sepanjang sesi permainan ini, sememangnya membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak saya dengan mimpi-mimpi saya untuk mengembara di dunia fantasi yang penuh dengan pelbagai rakan peneman yang menarik.
Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age adalah satu mercu permainan JRPG yang lengkap dan terbaik di Playstation 4 dan saya sangat mengesyorkan anda untuk bermainnya.