Informasi Permainan Video Terkini
Adakah PlayStation 4 Masih Berbaloi Untuk Dibeli?

Adakah PlayStation 4 Masih Berbaloi Untuk Dibeli?

Diterbitkan pada Sep 28, 2018 oleh .

Generasi ke-8 konsol merupakan konsol yang dikeluarkan bermula pada tahun 2012 sehingga sekarang. Konsol pertama yang dikeluarkan untuk generasi ini adalah dari Nintendo iaitu Wii U. Ia diikuti oleh Sony dan Microsoft yang mengeluarkan Playstation 4 dan Xbox One pada tahun 2013. Nintendo mengeluarkan satu lagi konsol iaitu Switch pada tahun 2017 menggantikan Wii U.

Kini setelah hampir 6 tahun, sudah mula kedengaran mengenai generasi ke-9 konsol akan bermula tidak lama lagi. Ada beberapa laporan yang diterbitkan oleh media seperti Kotaku yang mengatakan PS5 akan dikeluarkan pada tahun 2020. Ada juga yang mengatakan ia bakal tiba pada tahun hadapan. Seperti sebelum ini, Xbox juga dijangkakan akan dikeluarkan pada tahun yang sama dengan konsol dari Sony.

Dengan generasi ke-9 bakal bermula tidak lama lagi, mungkin ramai yang tertanya – adakah masih berbaloi untuk membeli PS4?

Tidak kira jika anda baru sahaja ingin melibatkan diri di dalam dunia permainan video, atau ingin beralih arah dari platfrom yang lain atau juga ingin menggantikan Playstation 4 lama yang sudah rosak, saya berpendapat Playstation 4 masih berbaloi untuk dibeli.

Bahkan, ia lebih berbaloi sekarang berbanding tahun-tahun yang lepas. Berikut adalah beberapa sebabnya;

Pilihan permainan yang pelbagai dan eksklusif

Walaupun masih terdapat beberapa bulan untuk berakhirnya tahun 2018, namun, saya boleh katakan yang tahun ini merupakan antara tahun yang terbaik untuk PS4.

Untuk tahun ini sahaja, PS4 sudah menerima permainan seperti God of War, Detroit: Become Human dan Marvel’s Spider-man secara eksklusif. God of War sahaja seharusnya sudah cukup untuk membuatkan anda harus memiliki PS4.

Dengan penambahan permainan yang lama, serta yang akan datang, anda sudah semestinya tidak mempunyai sebab untuk mengatakan PS4 tidak mempunyai permainan. PS4 kini mempunyai pilihan permainan yang sudah semestinya boleh memenuhi cita rasa anda.

Jangka hayat PS4 masih lama

Pada permulaan generasi baharu, jumlah peratusan pemain yang terus beralih adalah tidak besar. Oleh demikian, pembangun akan terus mengeluarkan permainan mereka untuk PS4 untuk memastikan permainan tersebut mendapat jualan yang mencukupi.

Selain itu, Sony juga akan terus menyokong konsol tersebut terutama dari segi kemaskini sistem operasi untuk memastikan konsol anda terus berfungsi dengan baik.

Walaupun, PS5 sudah dikeluarkan nanti, PS4 akan terus menerima pelbagai permainan terbaru serta sokongan untuk sekurang-kurangnya untuk 4 hingga 5 tahun lagi.

Permulaan generasi baharu adalah perlahan

Berdasarkan sejarah generasi sebelum ini, satu konsol generasi baharu akan mengambil sekurang-kurangnya 1 hingga 2 tahun untuk menjadikan ia berbaloi untuk dibeli.

Sony mungkin akan mengeluarkan beberapa permainan eksklusif pada tahun pelancaran konsol akan tetapi permainan tersebut tidaklah sesuatu yang harus dimainkan segera. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, pada permulaan generasi baharu, konsol daripada generasi yang lepas lebih berbaloi untuk dimiliki.

PlayStation Experience 2017

PS4 mempunyai satu komuniti yang besar

Apabila diminta oleh pemain untuk menyokong fungsi rentas platform, Sony berdegil (sehinggalah minggu ini) dengan mengatakan PS4 adalah tempat yang terbaik untuk bermain.

Walaupun kenyataan tersebut agak bongkak, tetapi kita tidak boleh mengatakan ia adalah salah. Bagi generasi ini, PS4 mendahului jauh dari segi jualan berbanding konsol lain. Oleh kerana itu, jika anda membeli PS4 sekarang, anda akan memasuki satu komuniti yang besar.

Ini akan memudahkan anda untuk mendapatkan pertolongan termasuk juga dari segi teknikal. Selain itu ia juga menyenangkan anda untuk mencari rakan untuk bermain secara dalam talian. Jika anda yang lebih gemar untuk membeli dan menjual permainan terpakai, dengan komuniti besar ia akan menjadi lebih cepat.

PlayStation Plus

Langganan PS Plus Akan Terus Memberikan Permainan Percuma Untuk PS4

Sony sebelum ini mengumumkan yang bermula Mac 2019, hanya permainan PS4 yang akan diberikan percuma bagi pelanggan PS Plus. Dengan perubahan ini kami menjangkakan permainan yang diberikan adalah lebih baik kerana Sony hanya perlu memberikan permainan percuma dalam jumlah yang berkurangan.

Jika anda tidak memiliki PS4, ia menjadi satu kerugian kerana anda tidak mempunyai konsol untuk memainkan permainan-permainan tersebut. Seperti PS3 dan PS Vita yang terus menerima permainan percuma melalui PS Plus sehingga Mac kelak, begitu jugalah untuk PS4.

Walaupun PS5 sudah dikeluarkan, PS4 akan terus menerima pelbagai permainan percuma untuk sekurang-kurangnya 5 hingga 6 tahun lagi.


PS4 atau PS4 Pro?

Bagi anda yang merasakan PS4 adalah berbaloi untuk dibeli walaupun sekarang, sudah semestinya persoalan seterusnya adalah konsol yang mana harus dibeli, adakah PS4 atau PS4 Pro?

Perkara ini boleh dijadikan satu topik yang berbeza sepenuhnya, tetapi di sini saya cuba ringkaskan. Pada pendapat saya, disebabkan kita sudah mencapai tahun-tahun terakhir generasi ini, PS4 Pro yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi adalah lebih berbaloi.

Namun, jika anda mempunyai bajet yang terhad, PS4 sudah cukup baik dan anda dapat bermain kesemua permainan yang ada walaupun dengan tetapan grafik dan kelancaran yang lebih rendah.


Konsol lain? Switch? Xbox One? PC?

PS4 merupakan konsol paling laris untuk generasi ini dan ia bukanlah berlaku tanpa sebab. Seperti yang saya terangkan di atas, PS4 mempunyai pilihan permainan serta komuniti yang lebih besar berbanding konsol lain lebih-lebih lagi untuk pasaran tempatan.

Manakala untuk PC, kami sebelum ini melalui Disk-Aksiz sudah berbincang lanjut mengenai platform terbaik untuk permainan video. Perbincangan tersebut anda boleh menontonnya di atas.

Namun, saya boleh rumuskan, konsol terutamanya PS4 adalah lebih baik berbanding PC kerana ia lebih mudah dan kos permulaan lebih rendah. Terutama jika tujuan utama anda adalah untuk bermain permainan video semata-mata.


Pendapat anda?

Akhir kata, generasi sekarang sudah mencapai satu tahap yang cukup baik. Tambah-tambah lagi untuk PS4, dengan mempunyai pilihan permainan yang pelbagai, komuniti yang besar, serta akan terus disokong untuk satu jangka yang lama menjadikan ia sangat berbaloi.

Manakala bagi konsol generasi yang akan datang, ia akan bermula dengan perlahan. Oleh disebabkan itu, ia bukanlah satu yang harus dimiliki dengan segera.

Berikut adalah pendapat saya mengenai perkara ini, bagaimana dengan anda? Adakah PS4 masih berbaloi atau lebih baik tunggu untuk generasi seterusnya? Atau ada konsol lain yang lebih baik?

Tinggalkan komen anda, bukan sahaja untuk berkongsi pendapat, bahkan anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah mingguan Steam Wallet kami.


TIPS & ULASAN