Media-media yang berkunjung ke Tokyo Game Show 2018 diberikan peluang untuk mencuba demo bagi permainan Devil May Cry 5. Selain memperlihatkan bentuk permainan, Gamespot juga melaporkan yang permainan tersebut akan disertakan dengan mikro-transaksi.
Mikro-transaksi yang disertakan adalah untuk membeli Orbs menggunakan wang ringgit. Seperti permainan Devil May Cry yang lain, Orbs boleh digunakan untuk nyah-kunci pelbagai kebolehan untuk watak. Orbs ini juga boleh diperoleh dengan bermain.
Apabila ditanya mengenainya, pengarah Hideaki Itsuno mengatakan ia disertakan untuk memberi pemain pilihan. Jika pemain ingin mengurangkan masa bermain dan ingin mendapatkan kesemua kebolehan, mereka dapat melakukannya (melalui mikro-transaksi). Namun beliau menegaskan yang tidak semua pemain ingin kesemuanya dan mereka dapat bermain mengikut kehendak mereka sendiri.
Bagi kami, ini adalah satu berita yang tidak baik. Walaupun ia disertakan sebagai pilihan sahaja, namun dengan memasukkannya ke dalam permainan yang berbayar boleh mencipta satu persepsi yang tidak baik kepada permainan ini.
Kami berharap sebelum ia dikeluarkan, Capcom akan mengambil keputusan untuk membuangnya. Devil May Cry 5 merupakan permainan Devil May Cry seterusnya oleh Capcom. Permainan ini akan dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC pada 8 Mac 2019 ini.