Informasi Permainan Video Terkini
Telltale Games Membuang 90% Pekerja, Kini Dalam Proses Penutupan

Telltale Games Membuang 90% Pekerja, Kini Dalam Proses Penutupan

Diterbitkan pada Sep 22, 2018 oleh .

Berita pagi ini agak mengejutkan kerana Telltale Games dilaporkan telah membuang 90% tenaga kerja di studio mereka secara mengejut. Di dalam kenyataan yang telah dimuat naik ke laman media sosial rasmi mereka, kini hanya 25 pekerja yang tinggal untuk memenuhi kewajipan kepada  ahli lembaga dan rakan kongsi. Masalah kewangan yang kronik dipercayai menyebabkan studio yang menghasilkan permainan The Walking Dead, The Wolf Among Us dan Batman ini terpaksa ditutup.

Studio yang sebelum ini mempunyai 250 kakitangan dan baru sahaja melancarkan episod pertama The Walking Dead Final Season bulan Ogos yang lalu. Menurut laporan US Gamer, episod-episod lain The Walking Dead mungkin akan dibatalkan bersama dengan permainan The Wolf Among Us 2 dan Stranger Things yang telah diumumkan sebelum ini. Satu-satunya projek yang masih sedang disiapkan ialah Minecraft Story Mode untuk Netflix.

Berita paling menyedihkan setakat ini ialah kesemua kakitangan yang dibuang kerja tidak mendapat sebarang bayaran pampasan. Penutupan Telltale Games ialah kehilangan besar di dalam industri permainan video kerana mereka mempopularkan semula genre point and click yang popular pada dekad 90an. Sebagai peminat siri The Walking Dead, kami hanya boleh berharap hak siri ini akan diambil alih bagi memastikan jalan cerita tidak tergantung.


TIPS & ULASAN