Epic Games melalui penulisan di blog mereka mengumumkan yang pada bulan Ogos lepas, Fortnite mencatat jumlah pemain tertinggi iaitu 78 juta pemain. Tambah mereka, jumlah yang ramai ini membantu mereka untuk mengesah sebarang masalah dan melakukan peningkatan terutama dari segi pelayan.
Pada penulisan yang sama, Epic Games turut berkongsi lanjut mengenai Fall Skirmish yang merupakan kejohanan e-sukan Fortnite anjuran mereka sendiri.
Ia adalah seperti Summer Skirmish yang dianjurkan sebelum ini. Setiap hujung minggu akan diadakan kejohanan yang berbeza. Untuk kali ini mereka telah menjemput 500 pemain Fortnite yang akan dibahagikan di kepada 5 kumpulan berbeza.
Untuk kejohanan minggu pertama yang akan bermula hujung minggu ini akan mempunyai pertempuran secara Duos iaitu Hold The Thrones Duos. Manakala pemain lain di dalam kumpulan yang tidak terlibat dengan Duos akan membuat Squad dan bertempur secara berasingan.
Fortnite kini boleh didapati di Playstation 4, Switch, Android, iOS dan PC.