Ketika sesi temu bual bersama Famitsu dan naib president Hiroyuki Oda ketika acara Tokyo Game Show 2018 hari ini, selain laporan berkenaan Playstation Vita, beliau juga menyatakan bahawa konsol mini PlayStation Classic yang baru sahaja diumumkan oleh Sony semalam, akan menyertakan permainan yang berbeza mengikut rantau.
Menurut Hiroyuki Oda, rantau yang diketengahkan oleh beliau adalah rantau di Jepun dan juga di Amerika Syarikat. Beliau juga menyatakan bahawa 20 permainan yang disertakan melalui konsol tersebut dipilih mengikut permainan yang terkenal dan mendapat sambutan ramai di konsol klasik tersebut.
Selain itu, lima permainan yang diumumkan oleh mereka sebelum ini juga disahkan bahawa akan tiba buat kedua-dua rantau tersebut. Walaupun begitu, Sony tidak menyatakan sebarang informasi berkenaan rantau Malaysia.
Memandangkan permainan keluaran di Malaysia sering berkait rapat dengan permainan keluaran di Amerika Syarikat kerana dengan penggunaan bahasa Inggeris, kita mungkin bakal menerima permainan-permainan di rantau tersebut. Walaubagaimana pun, kami akan kongsikan sebarang informasi lanjut jika terdapat sebarang kemaskini terbaru.
PlayStation Classic merupakan konsol mini yang akan dilancarkan oleh Sony Interactive Entertainment pada 3 Disember 2018 ini. Melaluinya, ianya akan menyertakan 20 permainan klasik dari konsol Playstation 1 yang dilancarkan beberapa tahun lepas. Untuk informasi lanjut bersama dengan senarai permainan dan harga, anda boleh ke pautan dibawah.
Sony Umum PlayStation Classic – Bakal Tiba Di Pasaran Malaysia Dengan Harga RM429