Sony hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan konsol klasik mini berdasarkan konsol permainan pertama mereka, iaitu PlayStation Classic.

https://www.youtube.com/watch?v=nl2h8LDq_oI

PlayStation Classic merupakan konsol mini klasik seakan yang dilakukan oleh Nintendo sebelum ini seperti NES Mini Classic dan SNES Mini Classic yang mana mereka akan menyertakan sebilangan permainan di dalam konsol tersebut secara terbina.

Melaluinya, Sony menyatakan bahawa mereka akan menyertakan 20 permainan daripada konsol tersebut dimana antaranya adalah Final Fantasy VII, Jumping Flash, Ridge Racer Type 4, Tekken 3 dan Wild Arms. Senarai penuh permainan tersebut akan diumumkan kemudian, menurut Sony.

Konsol tersebut sememangnya bersaiz lebih kecil berbanding konsol asal Playstation 1 dan melaluinya, Sony akan menyertakan dua alat kawalan Playstation asal dengan penyambungan USB.

Konsol ini akan dikuasa melalui mikro-USB dan mempunyai penyambungan HDMI untuk digunakan bersama TV yang mana kedua-dua kabel untuknya disediakan. Namun, menurut Sony, plug soket kuasa USB tersebut tidak akan disertakan.

Dari segi visual pula, berdasarkan kenyataan Sony, konsol ini akan memaparkan resolusi hanya 720p ataupun 480p sahaja.

Sony juga mengumumkan bahawa konsol ini akan tiba di pasaran Malaysia melalui pengedar rasmi Playstation pada 3 Disember 2018 ini dengan harga bermula RM429.

Menariknya, tarikh pelancaran tersebut juga adalah tarikh yang sama dimana pertama sekali konsol Playstation 1 dilancarkan di Jepun, iaitu pada 3 Disember 1994. Kini setelah hampir 25 tahun, Sony akan membawa semula konsol tersebut dalam bentuk konsol mini klasik.

Menurut Sony, mereka akan mengumumkan informasi lanjut berkenaan konsol tersebut pada masa akan datang termasuklah senarai penuh permainan dan fungsi tambahan konsol tersebut.

Apakah pendapat anda berkenaan pengumuman ini? Apakah permainan yang anda harap Sony sertakan? Kami di Aksiz berharap mereka akan menyertakan permainan Metal Gear Solid ataupun Brave Fencer Musashi, yang mana ianya antara permainan kesukaan kami di konsol tersebut.

Sohor Kini