Informasi Permainan Video Terkini
Sistem Operasi 6.0 Switch Kini Boleh Dimuat-Turun

Sistem Operasi 6.0 Switch Kini Boleh Dimuat-Turun

Diterbitkan pada Sep 19, 2018 oleh .

Seperti kita sedia maklum, Nintendo Switch Online kini boleh dilanggani oleh pemilik Switch untuk mendapatkan pelbagai fungsi yang disediakan. Bersamanya, Nintendo juga menyediakan kemaskini untuk sistem operasi Switch iaitu versi 6.0. Berikut adalah antara fungsi yang ditambah melalui kemaskini ini;

Salinan Fail Simpanan Ke Awan

Melalui kemaskini ini, ia menyediakan pelbagai fungsi baharu terutama yang berkait dengan Nintendo Switch Online. Antaranya adalah menyimpan salinan fail simpanan ke awan. Fungsi ini memerlukan langganan Nintendo Switch Online yang aktif.

Akaun Sekunder Di Konsol Switch Lain

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, selepas kemaskini ini, pemain tidak lagi boleh nyah-sambung akaun Nintendo mereka dari akaun profil di dalam Switch mereka. Sebaliknya pemain dibenarkan untuk bermain permainan yang dimiliki oleh mereka secara digital di konsol Switch lain sebagai akaun sekunder.

Namun, dengan menggunakan akaun sekunder, pemain perlu sentiasa di dalam talian untuk bermain, walaupun untuk permainan solo yang tidak memerlukan sambungan internet. Akaun utama untuk konsol switch tersebut tidak boleh mengakses permainan yang dibeli melalui akaun sekunder.

Fungsi-Fungsi Lain

Fungsi-fungsi lain yang disertakan adalah membolehkan pemain menyertakan 4 gambar untuk perkongsian di laman media sosial.

Akaun profil juga ditambah dengan 6 ikon berdasarkan watak Captain Toad dan kebolehan untuk menukar susun atur papan kekunci USB berdasarkan bahasa yang diinginkan. Selain itu, peningkatan keserasian juga dilakukan untuk alat kawalan pihak ketiga yang berlesen.


TIPS & ULASAN