Skip to main content

Aspek utama untuk permainan dunia terbuka adalah mempunyai dunia yang luas serta diisi dengan pelbagai misi dan aktiviti. Misi utama yang menggerakkan jalan cerita sudah semestinya menjadi fokus utama di dalam permainan manakala misi sampingan disertakan untuk menjadi pengisian tambahan di dalam permainan.

Kini dengan permainan dunia terbuka terus berkembang dan menerima pelbagai pembaharuan, misi sampingan bukan lagi menjadi sekadar pengisian tambahan sebaliknya ia juga memainkan peranan yang penting untuk permainan tersebut.

Permainan seperti The Witcher 3: Wild Hunt terutama untuk DLC penambahan mereka misi utama dan misi sampingan sukar untuk dibezakan. Walaupun ia membawa jalan cerita berlainan tetapi kerana dilakukan dengan baik kualiti keduanya tidak boleh dibezakan. Permainan baharu untuk siri The Legend of Zelda iaitu Breath of the Wild, saya boleh katakan keseluruhan permainan tersebut adalah mengenai misi dan aktiviti sampingan dan misi utama boleh dikatakan sampingan untuk permainan tersebut.

Namun, masih ada permainan dunia terbuka yang melakukan misi sampingan seperti melepaskan batok di tangga. Contoh terbaru adalah Marvel Spider-man. Walaupun ia adalah satu permainan yang baik akan tetapi kandungan misi sampingan agak mengecewakan dan menjejaskan sedikit pengalaman keseluruhan permainan tersebut.

Oleh disebabkan itu, saya berpendapat untuk permainan dunia terbuka yang baharu, misi sampingan harus dilakukan dengan teliti seperti mana misi utama kerana ia boleh menentukan kualiti permainan tersebut. Berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan oleh pembangun menggunakan misi sampingan;

Sebagai motivasi untuk mengembara

Pemain yang gemar bermain permainan dunia terbuka mempunyai keutamaan mereka sendiri untuk bermain. Ada pemain yang lebih memfokuskan menyelesaikan misi, dan ada juga pemain yang lebih gemar mengembara.

Untuk pemain jenis yang pertama, ia adalah seperti saya sendiri. Walaupun sesetengah permainan mempunyai rekaan dunia yang menarik namun ia tidak memberi sebab yang cukup untuk pemain mengembara. Dengan adanya misi, pemain akan lebih berminat untuk mengembara dan menuju ke tempat yang tidak pernah ditujui.

Disebabkan misi utama kebiasaan mempunyai jalan cerita yang terhad, misi sampingan memainkan peranan tersebut dan ia boleh dilakukan dengan jumlah yang lebih kerap berbanding misi utama.

Sebagai aktiviti untuk meningkatkan tahap

Kebanyakan permainan dunia terbuka kini juga disertakan dengan elemen RPG yang mendalam. Perkara utama mengenai RPG adalah meningkatkan tahap, ia meningkat apabila mempunyai pengalaman yang mencukupi. Pengalaman kebiasaan diperoleh dengan bertempur dan menyelesaikan misi.

Peningkatan tahap merupakan satu aktiviti yang berulang dan boleh jadi membosankan jika tidak dilakukan dengan baik. Dengan menjadikan misi sampingan sebagai cara untuk meningkatkan tahap ia sekurang-kurangnya memberikan motivasi kepada pemain untuk melakukannya.

Permainan keluaran Bethesda seperti Skyrim dan Fallout 4 sangat mementingkan peningkatan tahap kerana mempunyai pelbagai Skill yang boleh di-nyah kunci oleh pemain. Oleh disebabkan itu, permainan-permainan tersebut menyertakan banyak misi sampingan dan ia sudah semestinya satu contoh penggunaan misi sampingan yang baik.

Sebagai penggerak jalan cerita selingan

Permainan dunia terbuka selain mempunyai dunia yang luas ia juga akan disertakan dengan sejarah dan tradisi yang mendalam. Namun, dengan mengisikan kesemua jalan cerita di dalam penceritaan utama ia mungkin menjadikan cerita agak serabut dan terlalu panjang.

Perkara ini boleh diatasi dengan memasukkan penceritaan selingan sebagai misi sampingan dan pemain boleh memilih untuk melakukannya atau tidak. Ini bukan sahaja boleh menjaga kelajuan untuk penceritaan utama, ia juga membolehkan pembangun menambah pelbagai cerita untuk pemain yang inginkannya.

Selain permainan The Witcher, Mass Effect juga menggunakan misi sampingan untuk menceritakan jalan cerita selingan dengan baik sekali. Terutama untuk memperkenalkan watak-watak lain dengan lebih mendalam.


Ada pelbagai lagi perkara yang boleh dilakukan oleh pembangun dengan menggunakan misi sampingan. Tiga perkara yang saya kongsikan di atas adalah sesuatu yang pada pendapat saya harus dijadikan asas untuk pembangun menggunakan misi sampingan.

Namun, pembangun harus melakukannya dengan teliti sepertimana mereka melakukan misi utama. Misi sampingan yang mengulangi aktiviti yang sama tetap membosankan terutama jika aktiviti tersebut sendiri adalah cetek.

Perkara ini saya boleh jadikan Assassin’s Creed Origins sebagai contoh, walaupun mempunyai pelbagai misi sampingan tetapi ia akan memerlukan pemain melakukan akitviti yang sama seperti misi utama. Jumlah yang banyak menjadikan permainan rasa berulang dan kurang menyeronokkan.

Misi sampingan yang baik seharusnya menjadi sesuatu yang ingin dilakukan oleh pemain dan bukan kerana sekadar untuk mendapatkan trofi. Bahkan, misi sampingan yang dilakukan dengan mendalam akan lebih diingati oleh pemain berbanding misi utama.

The Witcher 3: Wild Hunt adalah contoh terbaik yang saya boleh ambil. Ada banyak misi sampingan di dalam permainan ini yang saya masih ingat dan memberikan pengalaman penceritaan yang lebih mendalam berbanding jalan cerita utama.

Akhir kata, saya berpendapat untuk pembangun-pembangun yang ingin mengeluarkan permainan dunia terbuka, misi sampingan seharusnya dijadikan sebagai bahagian yang penting dan harus dilakukan dengan teliti. Bagaimana dengan anda? Adakah misi sampingan memainkan peranan penting di dalam permainan dunia terbuka?

Leave a Reply