Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, servis Nintendo Switch Online bakal hadir pada 18 September 2018. Melalui Direct pada pagi tadi, Nintendo berkongsi kelebihan untuk servis ini. Kelebihan yang disertakan adalah;

Bermain secara dalam talian – apabila Nintendo Switch Online hadir tidak lama lagi, pemain perlu melanggannya untuk membolehkan mereka bermain secara dalam talian. Namun, permainan yang boleh dimainkan secara percuma seperti Fortnite tidak memerlukannya.

Nintendo Entertainment System – pelanggan servis ini juga boleh bermain permainan-permainan NES secara percuma. Setakat ini terdapat 20 permainan seperti The Legend of Zelda, Super Mario Bros, Donkey Kong dan Ice Climber. Nintendo menjanjikan pelbagai lagi permainan akan ditambah kemudian.

Simpanan Awam – servis ini akan mencipta salinan data simpanan permainan anda dan menyimpannya di awam dan ia boleh dilakukan secara automatik. Namun, permainan dalam talian seperti Splatoon 2 tidak menyokong servis ini, sepertimana kami laporkan sebelum ini.

Tawaran Khas – dari semasa ke semasa, Nintendo akan menawarkan pelbagai tawaran khas untuk pelanggan seperti potongan harga untuk pembelian permainan. Tawaran ini akan diumumkan kemudian.

Harga langganan untuk Nintendo Switch Online adalah seperti berikut 1 bulan – $3.99(~RM16), 3 bulan – $7.99(~RM33), 12 bulan – $19.99(~RM82). Disertakan juga pakej untuk keluarga (seramai 7 orang) dengan harga langganan untuk 12 bulan $34.99(~RM144).

https://www.youtube.com/watch?v=t2MbclhRzmg

Sohor Kini