Lanjutan daripada pengumuman acara kejohanan Dota 2 The Kuala Lumpur Major yang diumumkan minggu lepas. Pihak eGG Network hari ini menyatakan bahawa tiket bagi pra-jualan buat acara tersebut telahpun habis dijual.

Sekaligus, mereka kini mengambil keputusan untuk mula menjual tiket awal buat The Kuala Lumpur Major lebih awal iaitu pada 14 September ini berbanding sebelum ini yang mana ia dijadualkan pada 17 September.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan tiket ke acara tersebut, anda boleh membuat pembelian melalui laman rasmi The Kuala Lumpur Major bermula esok pada jam 3 petang. Menariknya, bagi pembelian tiket awal, anda juga berpeluang untuk mendapat 10% diskaun.

Berikut merupakan senarai harga tiket sebelum diskaun:

  • Immortal berharga RM600
    • Tempat duduk khas berdekatan dengan pentas
    • Beg barangan bernilai RM150
    • Berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah
    • Lorong utama khas untuk berjumpa bersama pasukan pemain
    • Diberi peluang khas untuk membeli kerusi permainan Secret Lab terpakai oleh pasukan pemain yang digunakan ketika di peringkat awal
  • Divine berharga RM330
    • Duduk bebas di kawasan kedua stadium
    • Berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah
    • Diberi peluang khas untuk membeli kerusi permainan Secret Lab terpakai oleh pasukan pemain yang digunakan ketika di peringkat awal
  • Ancient berharga RM180
    • Duduk bebas di kawasan ketiga stadium

The Kuala Lumpur Major merupakan acara kejohanan Dota 2 terbesar di Malaysia dimana ianya merupakan hasil kerjasama antara Astro, PGL dan Imba TV. Kejohanan tersebut juga mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan dan ianya merupakan kejohanan berstatus Major buat Dota Pro Circuit bagi musim 2018/2019.

The Kuala Lumpur Major akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 November ini. Terdapat 16 pasukan antarabangsa akan bertanding untuk merebut wang hadiah terkumpul lebih dari RM4 juta.

Jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan tiket ke acara tersebut bermula esok.

Sohor Kini