Shadow of the Tomb Raider merupakan permainan ketiga untuk siri permainan Tomb Raider yang diterbitkan oleh Square Enix (Bandai Namco untuk pasaran Asia Tenggara). Ia dibangunkan oleh Eidos Montreal bersama Crystal Dynamics yang merupakan pembangun asal siri ini.

Permainan ini akan dikeluarkan pada 14 September 2018 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Adakah permainan ini membawa pembaharuan atau sekadar menjadi permainan sama dengan jalan cerita yang berbeza?

Cerita

Permainan ini berlaku beberapa bulan selepas kejadian di dalam Rise of the Tomb Raider yang dikeluarkan pada 3 tahun lepas. Oleh kerana itu, tidak banyak perbezaan dari segi jalan cerita. Lara Croft masih meneruskan usaha beliau untuk menghalang artifak yang berkuasa dari jatuh ke tangan pihak yang salah terutama Trinity.

Struktur plot juga tidak membawa perbezaan yang besar. Pembinaan dan permasalahan masih mengulangi resepi permainan sebelum ini. Dari aspek ini, ia sedikit mengecewakan. Saya berharap jalan cerita yang lebih segar bukan sahaja untuk siri Tomb Raider tetapi juga bagi permainan yang berkongsi genre yang sama. Perwatakan penjahat utama juga generik akan tetapi melakukan kerja yang mencukupi untuk jalan cerita permainan ini.

Walaupun tiada pembaharuan dari segi jalan cerita dan struktur plot ia diimbangkan dengan penceritaan yang lebih mendalam mengenai Lara Croft sendiri.Sepanjang permainan, pemain akan mula lebih mengenali Lara secara peribadi seperti mengenai hubungan dengan emak dan anyahnya. Lara Croft juga akan mengalami konflik dalaman yang membuatkan beliau mempersoalkan sendiri segala perkara yang dilakukan oleh beliau dan berasa tidak pasti dengan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Selain itu, perhubungan antara Lara dan Jonah juga mempunyai dinamik yang lebih baik. Jonah di dalam permainan ini tidak lagi menjadi sekadar watak sampingan sebaliknya menjadi watak yang penting untuk Lara. Penceritaan yang mendalam mengenai Lara serta perhubungan beliau dengan Jonah dan watak lain membawa satu penceritaan yang lebih segar walaupun pada asasnya mengulangi jalan cerita yang sama.

Satu perkara yang agak menarik adalah permainan ini cuba mempersoalkan permasalahan cerita permainan aksi pengembaraan iaitu watak utama membunuh terlalu ramai orang, walaupun penjahat. Namun, ia tidak lebih di dalami dan persoalan tidak terjawab dengan nyata.

Grafik

Saya bermain permainan ini di Playstation 4 Pro dan ia menyertakan dua tetapan untuk pilihan grafik iaitu Framerate dan Resolution. Bagi tetapan Framerate ia akan memberikan resolusi 1080p dan kelancaran 60 paparan sesaat. Manakala, tetapan Resolution akan dimainkan dengan resolusi 4k dan kelancaran 30 paparan sesaat. Manakala untuk Playstation 4 mempunyai resolusi 1080p dengan kelancaran 30 paparan sesaat.

Kualiti grafik untuk kedua-dua tetapan tidak memberikan perbezaan yang jelas walaupun dimainkan di paparan skrin dengan resolusi 4k. Ia adalah sederhana tetapi ketinggalan jika dibandingkan dengan permainan lain yang terbaharu. Ini lebih jelas untuk tekstur yang tidak mempunyai hasil yang sama.

Jika perbezaan grafik adalah tidak jelas, tetapan Framerate seharusnya lebih menjadi pilihan. Akan tetapi, semasa saya bermain, tetapan Framerate yang cuba mencapai kelancaran permainan 60 paparan sesaat adalah tidak stabil. Ini menjadikan pengalaman bermain sangat tidak seronok bahkan memualkan. Manakala untuk tetapan Resolution yang kelancaran dikunci pada 30 paparan sesaat, ia memberikan kelancaran yang lebih stabil.

Masalah kelancaran ini lebih teruk apabila memasuki kawasan yang padat tetapi tidak mengganggu pengalaman semasa mengembara atau bertempur. Seperkara lagi, permainan ini juga mempunyai masalah popping terutama untuk watak-watak sampingan di perkampungan.Walau bagaimanapun, kesemua masalah ini mungkin akan berkurangan apabila pembangun menyediakan kemaskini tampalan kelak.

Berbeza pula apabila bercakap mengenai rekaan dunia di dalam permainan ini di mana ia dilakukan dengan sangat indah. Selain rekaan perkampungan,persekitaran seperti gua, makam, dan hutan juga dihasilkan dengan sangat teliti. Ditambah lagi dengan rekaan penduduk-penduduk yang unik memberikan satu perasaan dunia yang hidup. Dunia permainan ini sudah semestinya satu dunia yang menawan untuk dijelajahi.

Bentuk Permainan

Pada permulaan permainan, anda akan diberikan tetapan kesukaran yang agak menarik. Ia memberikan tiga kategori berbeza iaitu pertempuran, pengembaraan serta tekaria untuk anda tetapkan tahap kesukarannya. Ini membolehkan pemain bermain dengan kesukaran pilihan sendiri.

Shadow of the Tomb Raider merupakan permainan yang mempunyai peta yang luas. Akan tetapi kawasan yang boleh dijelajahi adalah terhad. Satu kawasan peta ke kawasan peta yang lain adalah tidak bersambung dan memerlukan permain menggunakan pergerakan pantas untuk memasukinya. Namun, di dalam kawasan yang terhad tersebut disertakan pelbagai kawasan untuk diterokai dengan lebih mendalam seperti gua dan makam.

Seperti kebanyakan permainan aksi pengembaraan lain, permainan ini juga menyertakan misi utama serta misi dan aktiviti sampingan. Misi utama akan menggerakkan jalan cerita dan secara keseluruhannya adalah pendek. Jika tidak mengira misi dan aktiviti sampingan, permainan ini hanya mengambil masa selama 10 jam sahaja untuk dihabiskan.

Manakala misi sampingan diperoleh melalui Quest Giver yang terdapat di setiap kawasan permainan ini. Ia akan diperlihatkan di dalam peta apabila pemain melalui kawasan tersebut. Misi sampingan di dalam permainan ini menyertakan jalan cerita selingan dan ada yang berkait dengan penceritaan utama. Ini memberikan lebih motivasi kepada permain untuk melakukannya selain ia juga mempunyai aktiviti yang menarik.

Pengembaraan adalah bentuk permainan yang paling menarik dan memberikan keseronokan utama buat pemain. Terdapat pelbagai kawasan tersembunyi yang boleh dijelajahi oleh pemain seperti Tomb Challenge. Kawasan tersebut akan menyertakan pelbagai cabaran kepada pemain dan berbanding dengan siri permainan sebelum ini, cabaran yang diberikan adalah lebih rumit. Terdapat juga pelbagai barangan tersembunyi yang boleh dicari seperti artifak. Kawasan dan barangan tersebut boleh di cari dengan mudah menggunakan Survival Instinct akan tetapi ia lebih mencabar jika dilakukan tanpanya.

Seperti permainan terdahulu, permainan ini juga menyertakan pelbagai tekaria yang perlu diselesaikan oleh pemain. Namun, tekaria di dalam permainan ini dihasilkan dengan lebih mencabar dan memerlukan pemerhatian yang lebih teliti. Selain itu terdapat juga segmen larian terus yang menyertakan platforming. Segmen ini adalah menarik akan tetapi mempunyai masalah kesukaran untuk mengagak jarak yang terutama sekali diakibatkan oleh kedudukan kamera. Ini boleh menyebabkan anda akan mati berulang kali dan ia agak menjengkelkan.

Permainan ini juga menyertakan pengembaraan di dalam air. Walaupun dilakukan secara ringkas, ia tetap membawa satu bentuk permainan tambahan yang baik.

Satu lagi aspek penting permainan ini adalah pertempuran. Seperti siri Tomb Raider sebelum ini, anda boleh memilih untuk menyelinap ataupun menembak secara terus. Hanya teknik menyelinap telah ditambahkan-baikkan dengan beberapa kaedah terbaru seperti menggunakan lumpur dan menyorok di dinding. Namun begitu, tidak banyak perbezaan lain yang disertakan.

Secara keseluruhan, pengalaman bermain termasuk pertempuran dengan ketua penjahat adalah mudah walaupun tetapan kesukaran ditetapkan pada tahap biasa. Oleh yang demikian, untuk pengalaman bermain yang lebih menarik, saya mencadangkan anda untuk meningkatkan kesukaran pertempuran ke tahap tertinggi.

Permainan ini juga menyertakan elemen RPG yang ringkas seperti nyah-kunci Skills menggunakan Skill Points yang diperoleh selepas meningkat tahap serta meningkatkan kebolehan senjata seperti panah dan pistol. Walaupun agak ringkas, ia boleh memberikan pengalaman berbeza bergantung kepada pilihan anda.

Selain itu di setiap perkampungan terdapat juga Store yang membolehkan pemain menjual barangan serta membeli senjata, bahan untuk crafting dan juga kostum.

Audio

Muzik latar yang terdapat di dalam permainan ini dicipta khas untuk tema permainan ini iaitu Kawasaki hutan rimba Amerika Selatan serta tamadun Maya. Ia memberikan satu perasaan yang epik semasa bermain.

Bunyi efek juga dilakukan dengan teliti. Ia berjaya mencipta perasaan cemas dan seram di dalam permainan ini. Walaupun bukan permainan seram, terdapat beberapa adegan yang akan membuatkan anda terkejut.

Seperti permainan sebelum ini, permainan ini juga mempunyai lakonan suara yang baik. Suara Lara Croft yang dilakonkan oleh Camilla Luddington serta Jonas lakonan Earl Baylon memberikan jiwa kepada penceritaan permainan ini.

Permainan ini juga menyediakan tetapan untuk watak-watak tempatan mengunakan bahasa mereka sendiri. Walaupun ia memberi satu pengalaman yang unik, ia kedengaran agak janggal kerana Lara Croft masih bercakap dengan watak tersebut dalam bahasa Inggeris. Pada pendapat kami, ia menjadikan permainan tidak immersive.

Rumusan

Shadow of the Tomb Raider merupakan permainan sambungan yang baik. Penceritaan walaupun mempunyai pengulangan struktur plot permainan lepas, penekanan yang diberikan kepada konflik dalaman serta perhubungan Lara Croft dengan watak yang lain menjadikan ia lebih segar.

Grafik yang disertakan adalah biasa dan sedikit ketinggalan berbanding permainan terkini. Ia juga mempunyai pelbagai permasalahan prestasi yang menjejaskan pengalaman bermain. Namun, rekaan dunia yang hidup menjadikan pengembaraan sangat menarik.

Permainan ini mempunyai bentuk permainan yang menarik untuk bahagian pengembaraan. Terdapat pelbagai kawasan yang boleh dijelajahi dan disertakan dengan pelbagai cabaran. Pertempuran juga dilakukan dengan baik.

Muzik latar memberikan perasaan yang epik kerana mempunyai kesesuaian dengan dunia yang dibina. Lakonan suara yang baik juga memberikan jiwa kepada penceritaan.

Penafian: Kod ulasan untuk Shadow of the Tomb Raider disediakan oleh Bandai Namco.

Sohor Kini