Skip to main content

Sebelum ini, From Software berkongsi yang mana permainan realiti-maya Déraciné akan dilancarkan pada 6 November ini dan kini, Sony Interactive Entertainment pula berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan permainan tersebut.

Déraciné merupakan permainan realiti-maya terbaru yang memfokuskan pengembaraan dimana ianya dibangunkan oleh From Software dan diarah oleh Hidetaka Miyazaki, iaitu pengarah buat siri Bloodborne.

Déraciné bermaksud pengembara ataupun sesat dalam bahasa perancis dimana permainan ini akan memfokuskan watak yang berada di dalam dunia yang masanya terhenti. Melaluinya, pemain akan mengembara sebagai seorang pari-pari di satu kawasan sekolah yang didiami oleh 6 kanak-kanak dan seorang guru besar. Walaupun 6 kanak-kanak tersebut tidak berupaya untuk melihat pemain, pemain perlu menyelesaikan misteri sekolah tersebut dengan mengembara di dalam tempoh masa berlainan untuk mencatum kesemua penceritaan yang terdapat di dalam permainan tersebut.

Memandang permainan ini merupakan permainan realiti-maya, buat mereka yang ingin mencubanya, mereka memerlukan set kepala Playstation VR. Melalui kenyataan Sony juga, permainan ini tampaknya hanya akan menyokong alat kawalan Playstation Move sahaja.

Déraciné akan dilancarkan pada 6 November ini dimana anda boleh dapatkan melalui pengedar rasmi bermula dengan harga RM129 untuk edisi fizikal. Manakala bagi edisi digital pula, ianya sudah boleh dipra-tempah dengan harga RM114 melalui Playstation Store.

Menariknya, Sony juga akan menyertakan tema khas Playstation 4 buat mereka yang membuat pra-tempahan dan pembelian awal bersama-sama dengan avatar esklusif Playstation 4.

Bagi anda yang berminat dengan permainan bentuk pengembaraan terutamanya bentuk realiti-maya, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan permainan ini pada November kelak.

Leave a Reply