Informasi Permainan Video Terkini
Pencipta Siri Danganronpa Dan Zero Escape Mengumumkan Studio Pembangun Baru Too Kyo Games

Pencipta Siri Danganronpa Dan Zero Escape Mengumumkan Studio Pembangun Baru Too Kyo Games

Diterbitkan pada Sep 12, 2018 oleh .

Bagi anda yang meminati siri permainan Danganronpa dan juga Zero Escape, pencipta bagi kedua-dua siri tersebut iaitu Kazutaka Kodaka dan Kotaro Uchikoshi hari ini menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama untuk menghasilkan studio pembangun permainan baru yang dinamakan Too Kyo Games.

Menurut laporan Gematsu, mereka kini sedang membangunkan 4 projek terbaru dimana 3 daripadanya adalah permainan video dan satu siri anime. Menurut mereka, dengan mendirikan studio mereka tersendiri, mereka berharap untuk mempunyai kebebasan kreatif untuk menghasilkan hak intelek baru dan melancarkan secara tersendiri.

Berikut merupakan senarai projek yang mereka sedang dirikan dimana pada masa yang sama, pihak Too Kyo Games juga berkongsi sedikit karya konsep bersama-sama informasi berkenaannnya.

Permainan pertama yang diumumkan adalah permainan baru dimana kedua-dua Kazutaka Kodaka dan Kotaro Uchikoshi akan menghasilkan secara bersama. Buat masa ini, dari segi informasi dan genre permainan tersebut, ianya masih belum dikongsikan. Ianya hanya dilabelkan sebagai tajuk “A Game with a Kodaka x Uchikoshi Joint Scenario! ‘Limit’ x ‘Despair“. Namun berdasarkan karya seni yang dipamerkan, buat peminat Danganronpa diluar sana, anda pasti tidak sabar untuk bermainnya.

Projek kedua pula adalah anime yang mana ianya kerjasama antara Studio Pierrot. Kazutaka Kodaka juga terlibat sebagai penulis utama buat anime bersama-sama dengan reka konsep oleh Rui Komatsuzaki. Buat masa ini, ianya dilabel sebagai “Everyone is a Villain“.

A Children’s Death Game, By Children, for Children” pula merupakan permainan aksi pengembaraan yang mana juga kedua-dua pencipta Danganronpa dan Zero Escape akan terlibat sebagai pengurus dan penulis buat permainan tersebut. Buat masa ini, apa yang dikongsikan oleh mereka adalah permainan ini akan mempunyai bentuk kanak-kanak sekolah bermain permainan kematian yang pasti akan mengejutkan pemain.

Permainan terakhir yang dilabelkan sebagai “A Spike Chunsoft x Too Kyo Games Dark Fantasy-Esque Mystery” merupakan hasil kerjasama antara pasukan pembangun Danganronpa dan Spike Chunsoft dimana mereka bermula membangunkannya sebelum Kazutaka Kodaka berhenti dari Spike Chunsoft tersebut. Menurut laporan, permainan ini akan memfokuskan dunia cyberpunk dan sekali lagi Rui Komatsuzaki akan terlibat dengan rekaan watak buat permainan tersebut.

Dengan pengumuman empat projek terbaru ini, sudah pastinya peminat siri Danganronpa dan Zero Escape diluar sana seperti saya tidak sabar untuk bermain permainan tersebut dimana ianya pasti akan mempunyai penceritaan yang pelik dan mengejutkan.

Seperti biasa, kami akan berkongsi sebarang kemaskini oleh mereka setelah Too Kyo Games mengumumkan sebarang informasi lanjut. Anda juga boleh melayari laman rasmi Too Kyo Games untuk melihat informasi lanjut daripada mereka.


TIPS & ULASAN