Stifled merupakan permainan seram yang dibangunkan oleh Gattai Games iaitu studio pembangun permainan dari Singapura. Permainan tersebut dilancarkan April lepas di konsol Playstation 4 dan juga di PC melalui Steam.

Stifled merupakan satu permainan yang memfokuskan penceritaan seram dan pada masa yang sama, ianya juga memberi satu bentuk permainan yang menarik dengan penggunaan gema bunyian. Menariknya di konsol Playstation 4, permainan ini menyokong mod permainan secara realiti-maya dengan penggunaan Playstation VR dimana pemain diberi pilihan untuk bermainnya secara biasa ataupun secara realiti-maya.

Namun adakah ianya satu permainan seram yang menarik? Berikut adalah ulasan penuh saya buat permainan Stifled.

Cerita

Penceritaan permainan ini memfokuskan watak David Ridley dimana pada awal permainan tersebut, beliau mengalami kemalangan dimana beliau kehilangan deria untuk melihat. Sekaligus, untuk bergerak dan mengembara di sesetengah kawasan, pemain perlu menggunakan kesan gema bunyian untuk melihat dan berjalan di kawasan sekeliling.

Namun, penceritaan di dalam permainan Stifled merupakan salah satu kelemahan buat permainan ini kerana ianya berkonsepkan penceritaan terbuka dimana anda sendiri perlu menyelesaikan tekaria dan misteri permainan tersebut untuk mengetahui berkenaannya dengan lebih lanjut. Namun, ini bukanlah sesuatu yang terlampau negatif ataupun merosakkan permainan. Akan tetapi ianya memberi sedikit bentuk penceritaan yang agak kabur dan buat mereka yang ingin bermain sesuatu yang ringkas, permainan ini sememangnya tidak sesuai buat anda.

Sekaligus dari segi penceritaan, pemain perlu menterjemahkan sendiri dimana sepanjang sesi permainan saya, saya sendiri menghadapi sedikit kesukaran untuk memahami penceritaanya. Sekaligus, saya perlu berulang kali bermain dan juga pada masa yang sama saya perlu mencari informasi lanjut permainan tersebut di atas-talian untuk memahaminya lebih lanjut dan juga melihat tafsiran pemain lain.

Namun, ini juga merupakan daya tarikan buat permainan tersebut dimana pemain sendiri akan melihat dan merumus penceritaannya secara tersendiri, sekaligus ia menghasilkan sesuatu yang berlainan berbanding permainan lain dan bentuk penceritaan yang terbuka.

Permainan ini juga mempunyai pilihan pengakhiran yang berbeza dimana pastinya saya tidak akan berkongsi secara terperinci kerana untuk mengelak sebarang beberan (spoiler) namun ianya sedikit sebanyak memberi satu kesan yang agak menarik untuk keseluruhan penceritaan permainan tersebut.

Grafik

Dari segi grafik, permainan ini tidaklah mempunyai sebarang visual grafik yang berkualiti tinggi. Malahnya dari segi rekaan tekstur model-model mahupun watak yang terdapat di dalam permainan ini agak mendatar.

Akan tetapi, sememangnya visual tersebut bukanlah tarikan utama kerana visual yang difokuskan adalah ketika pemain berada di dalam kegelapan dan hanya mempunyai pandangan dengan kesan bunyian gema sahaja.

Kesan visual ini sekaligus memberi pengalaman seram kerana ianya bukan sahaja memberi pengalaman yang sangat mengerikan malah ianya membuat pemain perlu bijak bergerak untuk mengelak musuh ataupun mencari jalan dan menyelesaikan sebarang tekaria permainan.

Selain itu, permainan ini juga bijak mengawal bentuk rekaan visual dimana garisan yang berwarna putih meletakkan pemain di kawasan yang selamat. Manakala garisan berwarna merah pula adalah kesan gema bunyian daripada musuh. Ini bukan sahaja memberi satu bentuk visual yang menarik, malah ia membantu dari segi bentuk permainan buat pemain untuk keseluruhan sesi permainan tersebut.

Selain itu, kesan visual ini juga membawa keseluruhan permainan tersebut dan ianya adalah satu konsep yang pasti baru buat mereka yang ingin mencari permainan seram yang berlainan.

Audio

Untuk sebarang permainan seram, audio sememangnya main peranan penting. Bukan sahaja ia memberi kesan ngeri yang menyeramkan, malah ia memberi pengalaman yang pasti membuat pemain berasa menakutkan dan tidak selamat.

Namun apa yang saya boleh katakan buat permainan Stifled ini adalah kesan audio yang dilakukan oleh Gattai Games adalah sangat menakjubkan. Bukan sahaja permainan ini memfokuskan gema bunyian yang pasti merupakan aspek utama permainan tersebut, malah kesan-kesan bunyian daripada musuh dan juga balingan-balingan barangan lain, ianya memberi satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan oleh saya.

Setiap ombak sonar yang dihasilakan melalui gema bunyian tersebut juga membawa aspek penting di dalam permainan ini. Sekaligus audio yang dipaparkan bergerak secara bersama melalui visual permainan.

Bentuk Permainan

Secara asasnya, permainan Stifled adalah hampir sama dengan permainan-permainan seram lain yang sering kita lihat di PC dimana pemain hanya perlu berjalan dan mencari misteri-misteri bersama-sama dengan menyelesaikan tekaria.

Namun, Stifled mempunyai satu bentuk yang berbeza dimana ianya menggunakan konsep bunyian gema untuk melihat pantulan sonar dan melaluinya, pantulan tersebut akan menghasilkan rupa visual keadaan sekeliling kawasan permainan. Sekaligus ini memberi kelainan buat permainan tersebut dan pastinya buat mereka yang ingin bermain sebagai adiwira Daredevil, ini merupakan satu konsep permainan yang hampir sama.

Melalui permainan ini, pemain diberi dua pilihan untuk menggunakan gema tersebut sama ada dengan bercakap di mikrofon konsol pemain ataupun menggunakan butang kawalan R2 di alat kawalan Dualshock 4 untuk menepuk ataupun menghasilkan sesuatu bunyian. Bunyi tersebut pula akan menghasilkan satu gema dimana jika terdapat sebarang objek berdekatan, ianya akan pantul dan menghasilkan visual atau garisan untuk pemain bergerak dan mengetahui keadaan sekeliling kawasan tersebut.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk mengutip barangan-barangan yang berada di atas permukaan lantai, dan membalingnya ke dinding, atau mana sahaja dimana ianya juga akan menghasilkan satu pantulan bunyi buat pemain ‘melihat’ keadaan sonar sekeliling juga seperti bunyi yang dihasilkan oleh pemain. Namun, balingan barangan ini juga sangat penting kerana ianya akan menghasilkan sumber bunyi jauh daripada pemain.

Konsep ini merupakan satu konsep yang sangat menarik, bukan sahaja pemain perlu bijak menggunanya, malah pemain juga perlu memastikan setiap kali pemain menggunakan gema bunyian tersebut, pemain tidak membuat sebarang bunyian amaran yang terlalu kuat untuk menarik perhatian musuh-musuh.

Ini juga membawa ke satu lagi aspek penting di dalam permainan ini iaitu pemain perlu mengelak musuh-musuh ataupun makhluk yang terdapat di dalam permainan ini. Semestinya sesuatu permainan seram tidak lengkap jika tidak mempunyai sebarang makhluk yang memberi kesan ketakutan buat pemain, dan Stifled sememangnya mempunyai sebilangan musuh yang berbeza.

Menariknya juga, setiap musuh tersebut mempunyai bentuk pergerakkan yang berbeza dimana melaluinya, pemain perlu bijak mengeksploitasi musuh tersebut untuk bergerak ke sesuatu tempat. Ini kerana pemain tidak berupaya untuk bertempur dengan musuh tersebut, sekaligus pemain perlu sentiasa lari ataupun mengelak daripada mereka.

Contohnya terdapat satu kawasan dimana musuh tersebut hanya boleh bergerak di dalam air. Memandangkan pemain perlu bergerak ke satu tempat dengan melalui kawasan yang mempunyai air tersebut, pemain perlu bijak membaling barangan untuk menghasilkan gangguan di kawasan lain buat musuh tersebut untuk bergerak ke arah sana. Namun, pemain juga perlu bergerak dengan pantas kerana setiap kali pemain bergerak di atas air, ianya akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.

Sekaligus bentuk permainan ini merupakan satu bentuk yang sangat puji kerana ianya menghasilkan pengalaman yang sangat menakutkan. Bukan sahaja saya tidak berupaya untuk melihat rupa bentuk makhluk tersebut, malah berada di dalam satu kawasan yang sama dan mengetahui bahawa mereka sedang mencari saya, ianya menghasilkan satu pengalaman yang sangat menakutkan buat saya.

Namun, sepanjang permainan tersebut, pemain tidaklah akan mengembara di kawasan gelap sahaja, ini kerana antara sesentengah peringkat permainan, pemain juga akan mengembara di sebilangan kawasan lain dan menyelesaikan seberapa misteri berkenaannya.

Terdapat juga tekaria yang mana pemain perlu menyelesaikan untuk meneruskan penceritaan permainan tersebut dan membuka ataupun menyelesaikan misteri-misteri permainan yang terdapat di dalamnya. Namun dari segi tahap kesukaran tekaria tersebut, ianya tidaklah begitu sukar pada pendapat saya.

Mod Realiti-Maya (VR)

Stifled juga boleh dimainkan secara realiti-maya melalui Playstation VR. Ini bukan sahaja mengubah keseluruhan bentuk permainan, malah menghasilkan satu pengalaman yang lebih mengerikan. Jika dimainkan melalui mod biasa sudahpun menyeramkan, apatah lagi bermain melalui mod realiti-maya.

Seperti anda sedia maklum, realiti-maya bermain dengan baik bersama-sama dengan permainan seram. Dengan adanya mod ini di dalam Stifled, ianya juga memberi satu pengalaman yang sangat menakutkan kerana keadaan gelap yang ditayangkan, memberi sedikit ketidak selesaan buat saya.

Ini bukanlah sesuatu yang buruk, kerana kesan seram tersebut menghasilkan pengalaman yang pasti saya tidak akan lupa dan pasti akan menjadi mimpi ngeri saya pada masa akan datang. Kesan gelap tersebut juga membuat saya kurang selesa terutamanya ketika berada di dalam kawasan yang sama dengan makhluk-makhluk lain.

Walaupun begitu, pada pendapat saya, bagi anda yang menyukai permainan seram, saya mengesyorkan anda untuk memainkan permainan ini dalam bentuk realiti-maya dari mula sehinggalah habis permainan tersebut.

Rumusan

Akhir kata, Stifled sememangnya adalah satu permainan yang menyeramkan. Ianya bukan sahaja membawa konsep yang baru di dalam permainan seram, malah ianya menghasilkan satu pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan oleh saya. Tambahan juga dengan mod realiti-maya yang tersedia.

Walaupun begitu, dari segi penceritaanya, ianya pada pendapat saya agak lemah dicampur dengan misteri-misteri permainan yang agak kabur, ianya membuat saya agak pening dan tidak puas hati dengan pengakhiran permainan tersebut.

Bagi anda yang mempunyai Playstation VR, permainan ini sememangnya adalah permainan seram yang saya sangat syorkan buat anda.

Penafian: Kod ulasan untuk Stifled disediakan oleh PlayStation Asia.

Sohor Kini