Nintendo hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan berkas bersama konsol Switch buat permainan akan datang, iaitu Pokemon: Let’s Go Pikachu! dan Let’s Go Eevee! pada November ini.
Melalui berkas tersebut, Nintendo akan menyertakan dua pilihan iaitu sama ada permainan Pokemon: Let’s Go Pikachu! ataupun Pokemon: Let’s Go Eevee!. Namun kedua-dua berkas tersebut akan menyertakan konsol Switch rekaan yang sama bersama-sama dengan alat kawalan Pokeball Plus yang diumumkan oleh mereka sebelum ini.
Dari segi harga, Nintendo masih belum berkongsi sebarang informasi berkenaannya. Namun menariknya, melalui berkas ini, buat pertama kalinya Nintendo akan menyertakan konsol Switch yang mempunyai rekaan yang berlainan secara global dimana sebelum ini hanya JoyCon sahaja mempunyai warna rekaan yang berasingan dan konsol tersebut masih berwarna hitam.
Kini konsol Switch juga mempunyai rekaan Pikachu dan Eevee bersama-sama alat kawalan JoyCon yang berwarna coklat dan kuning.Menariknya juga, dok Switch tersebut juga mempunyai rekaan khas Pokemon Eevee dan juga Pikachu.
Pokemon: Let’s Go Pikachu! dan Let’s Go Eevee! merupakan permainan seterusnya Pokemon yang mana ia dibangunkan khas di konsol Switch. Ianya dilancarkan secara dua versi dimana pemain akan memilih pilihan Pokemon utama, melalui jenis permainan tersebut. Berkas tersebut akan dilancarkan bersama-sama dengan permainannya pada 16 November ini.