Sebelum ini, kami berkongsi yang mana Toshihiro Nagoshi, pengarah buat siri permainan Yakuza akan mengumumkan permainan baru di Tokyo Game Show tahun ini. Kini, permainan terbaru tersebut akhirnya diumumkan ketika acara persidangan Playstation yang berlangsung hari ini.
Judge Eyes, iaitu permainan yang seterusnya oleh Toshihiro Nagoshi dan buat masa ini bagi versi global, ianya hanya dipanggil Project Judge. Ianya mungkin akan ditukarkan namanya pada masa akan datang.
https://www.youtube.com/watch?v=nEIlMFq40dQ
Project Judge merupakan permainan yang dibangunkan oleh pembangun yang sama buat siri Yakuza dimana ianya merupakan permainan hak intelek terbaru oleh mereka.
Melalui trailer tersebut, permainan ini memfokuskan watak seorang peguam bernama Takayuki Yagami dimana beliau dibintangi oleh pelakon Jepun terkenal iaitu Takuya Kimura.
Seperti permainan Yakuza, permainan ini juga akan menyertakan sebilangan bentuk pertempuran dan pada masa yang sama, pemain perlu menyelesaikan beberapa kes pembunuhan dan pelbagai lagi kes-kes lain dengan menggunakan pelbagai kelengkapan seperti dron, menyelesaikan kata kunci dan sebagainya.
Menurut Toshihiro Nagoshi, permainan ini akan dilancarkan pada 13 Disember ini di Jepun dan versi global bakal tiba pada tahun hadapan. Menariknya, bagi anda yang mempunyai akaun PSN Jepun, anda kini boleh memuat-turun demo permainan tersebut secara percuma di PSN Store.
Sememangnya ini merupakan satu pengumuman menarik memandangkan siri permainan Yakuza mendapat sambutan ramai dengan bentuk dan penceritaannya yang menarik. Dengan pengumuman permainan baru oleh Studio pembangun yang sama, kami percaya Project Judge bakal menjadi satu lagi permainan menarik oleh mereka.
Seperti biasa buat masa ini, tidak banyak lagi informasi yang dikongsikan. Menjelang acara Tokyo Game Show yang bakal berlangsung bulan ini, kami pasti akan terdapat pelbagai lagi informasi lanjut akan dikongsikan oleh SEGA kelak.