Nampaknya mod foto menjadi satu kegilaan untuk permainan-permainan terkini dimana kali ini, giliran Shadow Of The Tomb Raider pula bakal menerima mod tersebut.
Terkini, Square-Enix berkongsi satu video khas yang mana mereka mempertontonkan mod foto buat buat permainan akan datang Shadow Of The Tomb Raider. Melaluinya, pemain bukan sahaja berupaya untuk mengambil gambar dengan pelbagai bentuk penuras, malah pemain juga berupaya untuk mengubah eskspresi wajah Lara Croft.
Ianya tidak asing lagi untuk sesuatu permainan yang mempunyai visual grafik yang tinggi untuk mempunyai mod foto dan sememangnya visual yang dipaparkan melalui permainan ini nampak sangat menawan terutamanya kawasan-kawasan hutan belantara yang dikongsikan oleh mereka.
Selain itu, Square-Enix juga berkongsi video penceritaan setakat ini buat permainan tersebut memandangkan ianya bakal dilancarkan tidak lama lagi. Melalui video tersebut, buat pemain yang tidak pernah bermain dua permainan sebelum ini buat siri tersebut, ataupun tidak mengingati penceritaannya, pemain boleh menonton semula video tersebut sebagai rujukkan penceritaan.
Shadow Of The Tomb Raider merupakan permainan ketiga buat siri Tomb Raider yang diolah semula bermula dengan Tomb Raider yang dilancarkan 2013 lepas dan diikuti dengan Rise Of The Tomb Raider pada 2015 lepas. Permainan ketiga Tomb Raider tersebut akan dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC bermula 14 September ini.