Kingdom Hearts: Union χ adalah permua berdasarkan siri permainan Kingdom Hearts yang dilancarkan 2016 lepas di peranti iOS dan Android. Ianya ditempatkan di garis masa 100 tahun sebelum Kingdom Heart pertama dimana ianya memfokuskan pengguna Keyblade yang diketuai oleh lima Keyblade Masters.
Menariknya kini, Square-Enix mengumumkan bahawa kemaskini terbaru buat permua tersebut akan menyertakan mini permainan Classic Kingdom yang diumumkan oleh mereka sebelum ini.
Classic Kingdom asalnya merupakan mini permainan yang bakal tiba di permainan akan datang Kingdom Hearts 3 pada Januari kelak. Melaluinya, pemain berupaya untuk bermain mini permainan tersebut secara mudah-alih di peranti telefon pintar pemain seperti permainan klasik yang dilancarkan di tahun 80an.
Tambahan juga, Square-Enix juga mengadakan acara khas dimana mereka akan memberi ganjaran senjata “Starlight Keyblade” buat mereka yang bermain mini permainan tersebut. Kod untuk muat-turun senjata tersebut akan dikongsikan pada masa akan datang dan boleh digunakan di permainan penuh Kingdom Hearts 3 apabila ianya dilancarkan tahun hadapan.
Kingdom Hearts 3 bakal tiba di Playstation 4 dan Xbox pada 29 Januari 2019 ini. Kami juga telah berkongsi pandang pertama kami buat permainan tersebut ketika acara Playstation Experience SEA 2018 lepas.