Artifact adalah sebuah permainan kad berdasarkan kepada francais Dota yang turut dimiliki oleh Valve di mana ia memfokuskan bentuk pertempuran seperti Dota 2, dengan mempunyai 3 laluan, di mana setiap laluan akan mempunyai giliran dan nyawa tersendiri.

Minggu ini, Games Industry menemubual pengarah Richard Garfield dan pengatur cara Jeep Barnett dan beliau berkongsi lanjut mengenai Artifact yang akan dikeluarkan pada November ini.

Antara yang diperkatakan adalah mengenai persaingan dengan permainan kad oleh Blizzard iaitu Hearthstone. Barnett mengatakan Hearthstone adalah satu permainan kad yang baik akan tetapi Artifact tidak dibina untuk bersaing. Sebaliknya beliau percaya yang Artifact dan Hearthstone boleh dimainkan bersama kerana bentuk permainan yang berbeza. Tambah beliau lagi persamaan antara Artifact dan Hearthstone adalah kedua permainan ini adalah permainan kad.

Selain itu, beliau juga berkongsi mengenai ekonomi untuk Artifact. Permainan ini pada permulaan akan berharga $20 (~RM80) yang akan menyertakan dua dek permulaan serta 10 pek yang mengandungi kad secara rawak. Selepas itu pemain tidak akan dapat untuk menerima pek ataupun kad baharu tanpa berbelanja.

Jika pemain inginkan kad yang tidak dimiliki, pemain harus membeli pek ataupun membeli kad tersebut di kedai di dalam permainan tersebut. Pembelian di dalam kedai adalah antara pemain dan pemain.

Menurut Barnett, sistem kedai ini adalah perkara utama mengenai permainan ini. Melaluinya pemain boleh mencari kad yang diinginkan secara terus iaitu sesuatu yang tidak disediakan oleh permainan kad digital yang lain.

Apabila ditanya adakah permainan ini akan menjadi permainan “bayar untuk menang”, Garfield tidak bersetuju dan mengatakan ia adalah “bayar untuk bermain”. Tambah beliau lagi sebarang hobi yang pemain ada memerlukan pelaburan. Melalui Artifact mereka akan cuba untuk mengawal harga dengan menjadikan kad yang biasa sangat berguna.

Menariknya, Artifact juga akan mengandungi perbualan secara langsung semasa bermain. Pemain boleh menggunakan sistem chat yang ada untuk berbual dengan lawan, walaupun lawan tersebut bukan rakan anda. Apabila ditanya mengenai cara untuk membendung pemain bermasalah terutama semasa perbualan, Barnett dan Garfield tidak dapat menyatakan sebarang cara. Sebaliknya, mereka berharap komuniti sendiri yang tidak mencetus masalah.

Pada pendapat kami, sistem kedai adalah sangat menarik tetapi berharap harga yang diletakkan oleh pemain tidak menjadi terlampau seperti mana hiasan untuk senjata CS:GO. Namun, kami kecewa kerana pemain tidak berpeluang untuk mendapatkan kad ataupun pek dengan bermain. Mengenai sistem chat yang disediakan, tanpa sebarang pengawasan ia akan mencetus pelbagai masalah yang boleh menjejaskan pengalaman bermain. Agak naif untuk berharap komuniti tidak mencetuskan masalah.

Jika anda peminat permainan kad, adakah anda akan mencuba Artifact? Terutama ia bukan permainan percuma untuk dimainkan.

Sohor Kini