Informasi Permainan Video Terkini
Informasi Lanjut Berkenaan Battlefield V Dipertontonkan – Memperlihatkan Mod Pertempuran Royale Sebanyak 64 Pemain Serentak
PC

Informasi Lanjut Berkenaan Battlefield V Dipertontonkan – Memperlihatkan Mod Pertempuran Royale Sebanyak 64 Pemain Serentak

Diterbitkan pada Sep 5, 2018 oleh .

EA hari ini berkongsi satu video khas yang mana mereka menerangkan pelbagai informasi berkenaan permainan Battlefield V yang bakal tiba November ini.

Antara perkara yang diperlihatkan adalah bentuk permainan dan mod-mod permainan yang bakal tiba buatnya. Namun, apa yang menarik sekali adalah mod pertempuran royale yang dikongsikan oleh kami sebelum ini, dipanggil Firestorm.

Seperti mod pertempuran Royale di dalam permainan PUBG ataupun Fortnite, Firestorm akan meletakkan 64 pemain di dalam satu kawasan yang luas dan pemain akan bertempur sehingga menjadi pemain terakhir.

Namun, berdasarkan trailer yang dikongsikan, Firestorm tampaknya akan hanya menyertakan bentuk permainan secara berkumpulan dengan sejumlah 16 pasukan. Sekaligus, empat pemain berada dalam satu kumpulan akan bekerjasama untuk menentang 15 pasukan lain untuk menjadi pasukan terakhir di dalam pertempuran royale.

EA juga menyatakan bahawa peta kawasan bagi mod Firestorm juga adalah peta kawasan terbesar buat permainan tersebut dengan pelbagai kenderaan yang pemain boleh gunakan untuk bertempur.

Selain itu, Battlefield V juga memperlihatkan bentuk permainan yang baru iaitu Fortification dimana pemain berupaya untuk membina pelbagai pertahanan seperti beg pasir, jambatan dan sebagainya. Menariknya juga, pemain juga berupaya untuk membina pelbagai barangan pertahanan tersebut di sebarang bangunan yang telahpun dimusnahkan oleh hasil peperangan tersebut.

Selain itu, EA juga berkongsi sebilangan mod penceritaan solo yang bakal tiba dimana salah satunya akan dilancarkan selepas permainan tersebut dilancarkan. Bagi anda yang ingin melihat segala perkongsian EA, anda boleh menontonnya dibawah.

Battlefield V akan dilancarkan pada 20 November 2018 ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Bagi anda yang berminat untuk mencuba permainan ini sebelum membelinya, beta terbuka permainan tersebut akan bermula esok dimana anda boleh memuat-turunnya sekarang.


TIPS & ULASAN