Antara fungsi yang memudahkan pemain di konsol Playstation 4 adalah keupayaan untuk memainkan dan penyimpan permainan melalui cakera keras luaran. Fungsi tersebut bukan sahaja memberi ruangan penyimpanan tambahan buat konsol tersebut, malah memberi peluang untuk pemain menyimpan sebarang permainan dan membawanya ke konsol lain.

Terkini, Western Digital ataupun WD memberi peluang kepada kami di Aksiz untuk mengulas salah satu produk terbaru mereka iaitu cakera keras luaran yang mana ianya antara cakera keras yang memfokuskan penggunaan bersama Playstation 4. Berikut adalah ulasan penuh kami buat WD My Passport.

Sememangnya, cakera keras luaran ini boleh digunakan bersama komputer ataupun peranti lain. Namun, kali ini di Aksiz, kami ingin memfokuskan penggunaan cakera keras luaran ini bersama Playstation 4 dengan fungsi-fungsinya.

Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan penggunaan Playstation 4 bersama cakera keras luaran, Sony Interactive Entertainment mengemaskini fungsi tersebut buat sistem operasi Playstation 4 tahun lepas, yang mana ianya merupakan salah satu fungsi yang sangat dinantikan oleh pemain.

Melalui fungsi ini, pemain berupaya untuk menyimpan permainan di cakera keras luaran tersebut dan pada masa yang sama memainkan permainan tersebut secara terus melaluinya. Namun, ianya hanya berfungsi dengan baik buat permainan yang dibeli secara digital sahaja.

Melalui ulasan ini, saya menggunakan cakera keras luaran oleh Western Digital My Passport berstorankan 2TB. Sebelum memulakan ulasan kami berkenaannya, pertama sekali kami ingin berkongsi dengan anda bagaimana caranya untuk menggunakan cakera keras luaran tersebut bersama Playstation 4.

Namun anda tidak perlu khuatir berkenaan sebarang jenama mahupun jenis cakera keras luaran kerana sebarang cakera keras luaran yang mempunyai penyambungan USB 3.0 boleh digunakan bersama Playstation 4.

Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah menyambungkan cakera keras luaran tersebut bersama Playstation 4 anda melalui sambungan USB yang terdapat di Playstation 4. Kemudian, di Playstation 4, anda perlu ke tetapan Setting > Devices > USB Storage Devices dan memilih cakera keras luaran yang terpapar.

Selepas memilih cakera keras luaran tersebut, apa yang anda perlu lakukan adalah memilih pilihan untuk Format as Extended Storage untuk menggunakan cakera keras luaran tersebut. Ini kerana, cakera keras tersebut mesti mempunyai bentuk penggunaannya sendiri jika ianya ingin digunakan bersama Playstation 4.

Sekaligus, dengan membuat pilihan ini, anda juga tidak boleh menggunakan cakera keras luaran tersebut di PC, kecuali jika anda memadamkannya sekali lagi melalui PC.

Selesai sahaja seperkara di atas, anda terus akan boleh gunakan cakera keras luaran tersebut sebagai storan tambahan untuk konsol Playstation 4. Anda juga berupaya untuk memindah permainan-permainan dari cakera keras dalaman Playstation 4 ke cakera keras luaran tersebut melalui tetapan permainan yang disediakan.

Melalui fungsi ini juga, anda boleh memindahkan permainan anda dari konsol Playstation 4 ke konsol Playstation 4 yang lain. Namun, ianya hanya boleh dimainkan jika ia mempunyai akaun PSN yang asal dari Playstation 4 yang anda pindahkan. Ini bermakna, Playstation 4 baru yang anda ingin pindahkan permainan tersebut, ianya perlu mempunyai akaun PSN asal pemilik daripada permainan yang anda pindahkan.

Selain itu, anda juga berupaya untuk memainkan permainan tersebut secara terus melalui cakera keras luaran. Sekaligus anda tidak perlu memindah sebarang permainan berkali-kali jika anda ingin bermain di konsol Playstation 4 yang lain.

Jadi selesainya tetapan untuk cakera keras luaran tersebut, berikut adalah ulasan saya mengenai WD My Passport.

Dari segi rekaan, cakera keras luaran ini menyertakan sebilangan warna seperti warna merah, oren, hitam dan sebagainya. Dari segi saiz storan pula, anda boleh pilih bermula dengan saiz storan 1TB sehinggalah 4TB dengan harga RM189 untuk storan 1TB. Manakala storan 2TB pula berharga RM269 dan 4TB berharga RM459.

Bagi penyambungan pula, cakera keras luaran ini menyertakan satu penyambungan mikro-USB 3.0 yang bersama-sama kabel USB 3.0. Dari segi seperkara lain seperti rekaan, ianya hanyalah sebuah kotak ringkas dengan bahan plastik sahaja.

Namun semestinya perkara yang penting sekali berkenaan cakera keras luaran tersebut adalah fungsi dan prestasinya. Di sini kami membuat cubaan untuk memainkan dua permainan esklusif oleh Sony di konsol Playstation 4 melalui cakera keras dalaman dan cakera keras luaran.

Seperti yang anda tontonkan di video di atas, sememangnya dari segi prestasi cakera keras luaran tersebut, bermain permainan melalui cakera keras dalaman semestinya lebih pantas. Namun dari segi perbezaan, ianya tidaklah mempunyai perbezaan yang ketara dengan hanya perbezaan 4 hingga 5 saat sahaja. Jadi buat anda yang tidak menghiraukan perbezaan tersebut, ianya sememangnya tidak memberi sebarang masalah.

Dari segi prestasi sesi permainan pula, kami tidak menghadapi sebarang masalah walaupun bermain secara terus melalui sambungan USB di cakera keras luaran tersebut. Kesemua prestasi permainan, kadar bingkai sesaat dan juga visual permainan masih mengekalkan bentuk dan keadaan seperti mana permainan yang berada di dalam cakera keras dalaman.

Dari segi storan pula, dengan saiz storan 2TB, jika berpuratakan permainan Playstation 4 dengan saiz 40GB, ianya boleh menyimpan sehingga 50 permainan. Sekaligus pada pendapat kami, ianya adalah saiz storan yang mencukupi buat pemain diluar sana.

Pada pendapat saya, WD My Passport ini sememangnya satu cakera keras luaran yang sangat sesuai dan terbaik untuk penggunaan bersama Playstation 4. Bukan sahaja ianya cukup untuk penggunaan harian bermain permainan, malah ianya tidak mencacatkan langsung prestasi permainan saya ketika bermain di Playstation 4.

Dengan harga RM269 untuk storan 2TB, ianya juga  cukup untuk menyimpan segala permainan-permainan yang saya muat-turun di Playstation 4 dan juga memudahkan saya untuk memindah permainan-permainan tersebut dari konsol Playstation 4 saya di rumah dan juga di ofis.

Jika anda seorang yang sering bergerak ataupun tidak ingin menaik-taraf cakera keras dalaman di Playstation 4 anda, saya sangat mengesyorkan anda untuk mendapatkan cakera keras luaran WD My Passport dan menggunakannya sebagai salah satu cakera keras utama Playstation 4 anda.

Penafian: Cakera Keras Luaran WD My Passport Disediakan Oleh Western Digital

Sohor Kini