EA hari ini mengumumkan bahawa mereka akan menunda permainan Battlefield V sehingga 20 November 2018 ini. Permainan penembakkan perang tersebut asalnya dijadualkan untuk dilancar pada 19 Oktober ini.
Menurut EA, ketika mereka berkongsi sebilangan demo permainan tersebut di acara permainan video di E3 dan Gamescom baru-baru ini, mereka mendapat sebilangan kritikan dimana pemain ingin pembangun untuk memfokuskan bentuk permainan secara berkumpulan.
Mereka juga menyatakan terdapat sebilangan pernaik-tarafan yang perlu mereka lakukan sepanjang demo permainan yang mereka sertakan, sekaligus mereka berharap, segala pembaikkan buat permainan tersebut, akan dilaksana sempena beta terbuka yang bakal berlangsung 6 September ini.
Ini mungkin satu berita yang agak menyedihkan buat peminat siri Battlefield diluar sana, namun pada pendapat kami sendiri, ianya merupakan satu tarikh yang menarik memandangkan pada Oktober kelak, terdapat pelbagai permainan yang bakal dilancarkan pada bulan tersebut seperti Call Of Duty: Black Ops 4 dan juga Red Dead Redemption 2 yang pasti akan mencuri perhatian pemain lain.
Mungkin juga ini adalah satu petanda yang baik untuk EA akhirnya melihat dan menilai permainan-permainan yang dikeluarkan oleh mereka selama ini seperti perkara yang sama berlaku buat permainan Titanfall 2 beberapa tahun lepas.
Battlefield V merupakan permainan seterusnya buat siri tersebut yang memfokuskan perang dunia kedua. Ia adalah permainan penembak pandang pertama yang mempunyai pelbagai bentuk permainan termasuklah keupayaan untuk bermain secara solo dan multi-pemain. Tarikh baru pelancarannya adalah 20 November 2018 ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan juga melalui EA Origins, buat PC.