Ketika E3 Jun lepas, CD Projekt Red (CDPR) mempertontonkan demo untuk permainan baharu mereka iaitu Cyberpunk 2077. Namun, ia dilakukan secara tertutup dan media hanya dapat berkongsi pendapat mereka tanpa sebarang video.
Hari ini, CDPR akhirnya berkongsi demo tersebut kepada semua melalui strim secara lansung dan juga kini boleh ditonton di Youtube. Demo ini memperlihatkan peringkat awal permainan ini.
Sebagai permulaan, demo tersebut memperlihatkan fungsi mereka watak yang memberikan kebebasan kepada pemain untuk memilih jantina, rekaan muka dan juga kebolehan watak. Selain itu, pemain juga boleh mereka penceritaan asal untuk watak mereka.
Demo ini kemudiannya memperlihatkan misi pertama iaitu menyelamatkan seorang perempuan dari penjahat. Semasa misi ini, ia juga memperlihatkan bentuk pertempuran permainan ini. Seperti sedia maklum, Cyberpunk 2077 adalah penembak pandang pertama dan berdasarkan demo ini ia adalah satu pertempuran yang sangat menarik.
Selain mempunyai pelbagai senjata, pemain juga berkebolehan untuk mendapat pelbagai kuasa melalui augmentation yang boleh dipasang. Senjata dan kuasa ini akan memberikan pelbagai pengalaman kepada pemain dan membolehkan menjadikan watak sepenuhnya seperti yang dikehendaki oleh pemain.
Dunia di dalam permainan ini juga nampak hidup dan direka dengan sangat teliti yang akan menjadikan pengembaraan sesuatu yang menarik. Demo ini juga memperlihatkan pemanduan kereta dan pemain masih boleh bertempur walaupun sedang berada di dalamnya.
Seperti permainan The Witcher, Cyberpunk 2077 juga memberi pilihan kepada pemain untuk menyelesaikan sesuatu misi dengan pelbagai cara. Berdasarkan misi yang diperlihatkan di dalam demo ini, setiap pilihan akan mempunyai penyelesaian dan juga permasalahan tersendiri.
Berdasarkan demo yang diperlihatkan, kami sudah semestinya tidak sabar untuk mencubanya sendiri akan tetapi setakat ini CDPR masih tidak berkongsi tarikh permainan ini akan dikeluarkan. Berita yang sedikit baik adalah mereka mengatakan permainan ini sudah boleh dimainkan dari awal hingga akhir tetapi memerlukan pelbagai penambah-baikkan lagi.
Cyberpunk 2077 di umum akan dikeluarkan untuk PC, Xbox One dan PlayStation 4.