Informasi Permainan Video Terkini
Sekitar ICBC (Asia) Festival e-Sukan & Muzik Hong Kong – Hari Kedua

Sekitar ICBC (Asia) Festival e-Sukan & Muzik Hong Kong – Hari Kedua

Diterbitkan pada Ogos 26, 2018 oleh .

ICBC (Asia) Festival e-Sukan & Muzik Hong Kong (EMFHK) merupakan acara yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) dengan tajaan utama oleh Industrial Commercial Bank of China (ICBC).

Semalam kami berkongsi beberapa perkara menarik yang berlaku pada hari pertama acara ini, jika anda tidak membacanya lagi anda boleh menggunakan pautan ini – Sekitar ICBC (Asia) Festival e-Sukan & Muzik Hong Kong – Hari Pertama.

Untuk hari kedua, terdapat dua acara utama iaitu Hong Kong PUBG World Invitational dan ZOTAC CUP MASTER CS:GO 2018 (Separuh Akhir). Namun, kami juga berkesempatan untuk berkunjung ke Festival Komputer & Komunikasi Hong Kong 2018 yang berlangsung seiring dengan EMFHK di tempat yang sama iaitu Hong Kong Convention and Exhibition Centre.

Festival Komputer & Komunikasi Hong Kong 2018

Festival ini boleh dikatakan sebagai PC Fair jika di Malaysia. Terdapat pelbagai barangan komputer, elektronik dan komunikasi yang dijual dengan harga yang lebih murah. Berbeza dengan ruangan “Experience Zone” di EMFHK, festival ini agak padat walaupun mempunyai saiz dewan yang lebih besar.

Terdapat hampir 100 booth yang menjual serta memperlihatkan pelbagai teknologi terkini akan tetapi disebabkan kesuntukan masa, kami hanya dapat mengunjungi untuk masa yang pendek.

Hong Kong PUBG World Invitational

Selepas meluangkan sedikit masa di Festival Komputer dan Komunikasi, kami kembali ke pentas utama EMFHK untuk mengikuti kejohanan Hong Kong PUBG World Invitational. Kejohanan ini merupakan kejohanan PUBG yang ditandingi oleh 16 pasukan terbaik dari pelbagai negara. Daripada 16 pasukan, 14 pasukan adalah dijemput manakala 2 lagi yang melayakkan diri melalui pusingan kelayakan.

Pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan ini adalah Cloud 9 dari Amerika Utara, Team SoloMid dari Eropah, FaZe Clan dari Eropah, Team Liquid dari Eropah, ahq e-Sport Club dari Taiwan, Flash Wolves dari Taiwan, Cloud 9 Korea dari Korea, ROCCAT Armor dari Korea, 17 Gaming dari China, LGD Gaming dari China, Oh My God dari China, SunSister dari Japan, Aerowolf ADS dari Indonesia, Refund Gaming dari Hong Kong, Game Dimension dari Hong Kong dan HK9 dari Hong Kong.

Secara keseluruhan kejohanan ini mempunyai 8 pusingan dan hari ini mereka bertempur sebanyak 4 pusingan. Setakat 4 pusingan tersebut, Cloud 9 mendahului dengan mengumpul 2085 mata selepas memenangi 2 pusingan daripada 4 manakala Team Liquid dan FaZe Clan berada di tempat kedua dan ketiga dengan 1680 mata dan 1590 mata.

Pusingan 4 hingga 8 akan berlangsung esok dan kami akan kongsikan keputusan penuh selepas ia berakhir.

ZOTAC CUP MASTER CS:GO 2018

Selepas berakhirnya pusingan keempat kejohanan PUBG, DJ Soda sekali lagi kembali untuk menghiburkan pengunjung yang hadir pada hari ini. Namun, tumpuan sudah semestinya adalah acara yang berlangsung selepas itu iaitu kejohanan ZOTAC Cup Master CS:GO 2018.

Kejohanan CS:GO peringkat akhir ini melihat 8 pasukan dari serata dunia bertempur untuk merebut kejuaraan yang akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $200 ribu (~RM818 ribu). 8 pasukan tersebut adalah MIBR dari Brazil, OpTic Gaming dari Amerika Utara, TyLoo dari China, Virtus.Pro dari Poland, Ghost Gaming dari Amerika Utara, Team MVP dari Korea dan VG.FLashGaming dari China.

Untuk hari kedua ini, yang berlangsung adalah peringkat separuh akhir. Peringkat suku akhir berlangsung kelmarin tetapi di dewan Festival Komputer & Komunikasi Hong Kong 2018. Pada peringkat suku akhir, Team Kinguin mengalahkan TyLoo, Ghost Gaming mengalahkan OpTic Gaming, Team MVP mengalahkan Virtus.pro dan MIBR mengalahkan Flash Gaming.

Di peringkat separuh akhir Team Kinguin bertemu dengan Ghost Gaming yang melihatkan Team Kinguin melayakkan diri ke peringkat akhir dengan keputusan 2-1 untuk bertemu dengan MIBR selepas mengalahkan Team MVP dengan keputusan 2-0.

Peringkat akhir akan berlangsung pada hari ketiga EMFHK. Kami akan kongsikan keputusan penuh selepas berakhirnya kejohanan ini.

PLAYDIUM VR

Selain mengunjungi EMFHK, kami juga dibawa ke Playdium VR iaitu pusat permainan video berasaskan realiti maya yang bertempat di Canoon Street, Causeway Bay, Hong Kong.

Di sini, anda boleh mencuba pelbagai permainan realiti maya secara berseorangan ataupun berkumpulan. Mereka menggunakan HTC Vive dan permainan yang anda main adalah permainan-permainan yang dikeluarkan untuk set realiti maya tersebut.

Antara permainan yang disediakan adalah Arizona Sunshine, Beat Saber, Keep Talking and Nobody Explodes dan Balloon Chair Death Match. Untuk maklumat lanjut dan juga senarai permainan lain anda boleh layari playdiumvr.com


Hari kedua untuk ICBC (Asia) Festival e-Sukan & Muzik Hong Kong sudah semestinya memfokuskan kepada dua kejohanan bertaraf antarabangsa untuk permainan PUBG dan juga CS:GO. Seperti yang kami katakan sebelum ini, kualiti penganjuran yang baik membuatkan kejohanan ini dapat sepenuhnya dialami oleh kami dan juga pengunjung.

Selain itu, atas kesempatan untuk kami berkunjung ke Festival Komputer & Komunikasi Hong Kong 2018 dan juga Playdium VR memberikan pengalaman yang lebih berbeza. Walaupun Experience Zone dipenuhi dengan permainan realiti maya tetapi dapat bermain secara multi-pemain untuk permainan realiti maya adalah satu pengalaman yang unik.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk EMFHK, jika anda berada berhampiran, pastikan anda mengunjunginya. Untuk tiket dan butiran lain mengenai ICBC (Asia) Festival Muzik & e-Sukan Hong Kong, anda boleh layari laman web: www.emfhk.com.


TIPS & ULASAN