ICBC (Asia) Festival e-Sukan & Muzik Hong Kong merupakan acara yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) dengan tajaan utama oleh Industrial Commercial Bank of China (ICBC).
Seperti yang kami kongsi pada bulan lepas, festival yang bermula pada 24 Ogos sehingga 26 Ogos akan menyertakan pelbagai acara e-sukan dan juga muzik yang merupakan antara acara terbesar yang dianjurkan di Hong Kong.
Kelmarin, Aksiz telah diberi kesempatan untuk menghadiri dan mengalami sendiri festival ini oleh HKTB. Berikut adalah serba sedikit pengalaman kami.
Experience Zone
Acara utama semasa festival ini sudah semestinya adalah kejohanan-kejohanan e-sukan yang dianjurkan. Namun, Experience Zone boleh dikatakan adalah satu kawasan yang banyak kami meluangkan masa.
Di kawasan ini terdapat pelbagai booth yang dibuka oleh pelbagai syarikat untuk memperlihatkan permainan dan juga teknologi mereka. Antara booth yang menarik minat kami sudah semestinya PlayStation. Di sini anda boleh mencuba pelbagai permainan yang akan datang seperti Spider-man dan Resident Evil 2.
Booth lain yang juga terdapat di kawasan ini kebanyakannya memfokuskan kepada realiti maya. Seperti ICBC sendiri yang memberi peluang untuk anda mencuba permainan realiti maya iaitu Overkill, City Hero dan Zombie Jail. Manakala, HTC Vive dan ZOTAC juga berkongsi pelbagai perkara baharu untuk realiti maya seperti kejohanan e-sukan pertama di Asia yang menggunakan realiti maya.
Selain booth terdapat juga pelbagai aktiviti dianjurkan di pentas kecil yang terdapat di kawasan ini. Untuk hari pertama terdapat aktiviti seperti influencer bertanding di dalam permainan FRANTICS dan Mario kart dan juga persembahan muzik oleh Lili Forest, Rona Tsui dan Mr Wally.
Aktiviti ini sudah semestinya boleh mengisi masa anda, terutama jika penat beratur untuk mencuba permainan-permainan di booth.
Persembahan Muzik oleh DJ Soda
Terdapat pelbagai persembahan muzik yang disediakan sepanjang festival ini dan persembahan oleh DJ Soda iaitu pemuzik dari Korea ini sudah semestinya menjadi tumpuan utama.
Tambahan, persembahan beliau berlaku di pentas utama yang bagi kami berada di dewan yang sangat gah dengan pelbagai hiasan lampu dan juga sistem audio yang sangat-sangat baik.
Persembahan beliau lebih kurang 30 minit sahaja akan tetapi sudah cukup untuk menghidupkan suasana terutama ia menjadi pembuka kepada acara yang menjadi tumpuan ramai iaitu Return of the Legends 2018.
Return of the Legends 2018
Kejohanan e-sukan untuk permainan League of Legends ini bukanlah kejohanan yang biasa. Sebaliknya ia adalah di antara dua pasukan yang ditubuhkan khas untuk kejohanan ini.
Dua pasukan tersebut adalah Team East dan Team West dan terdiri daripada pemain-pemain terkenal yang ada masih aktif dan juga sudah bersara. Namun, sudah semestinya dikenali ramai oleh pengikut e-sukan untun League of Legends.
Team East terdiri daripada pemain dari negara-negara Asia iaitu Gogoing dari China, inSec dari Korea, Bebe dari Taiwan, Tabe dari Hong Kong dan U dari China. Manakala, Team West terdiri daripada pemain dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah iaitu Dyrus, Hai, Lemonation dari AS, Alex Ich dari Russia dan Tabzz dari Belanda.
Seperti yang kami katakan di atas, dewan dan juga pentas yang digunakan untuk penganjuran kejohanan ini adalah bertaraf antarabangsa. Ia menjadikan pertandingan tersebut dapat diikuti dengan sangat baik.
Team West memenangi kejohanan ini dengan score 3-2 dan mereka membawa pulang hadiah berjumlah HK$100,000 (~RM50,000).
Untuk hari pertama ini, kami sangat memuji kualiti penganjuran acara ini tidak kira ketika persembahan muzik ataupun kejohanan e-sukan. Keadaan di Experience Zone juga baik, walaupun menerima pengunjung yang agak ramai akan tetapi disebabkan diadakan di satu kawasan yang luas dan jarak antara booth membuatkan pengalaman melawat lebih selesa.
Selain itu, kami juga agak terkejut dengan pengunjung yang hadir, ia bukan sahaja terdiri daripada remaja akan tetapi ramai yang hadir bersama keluarga yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Pada pemerhatian kami, ini membuktikan acara e-sukan boleh menjadi acara yang boleh diterima bukan sahaja anak tetapi juga ibu bapa.
Untuk hari kedua terdapat dua kejohanan e-sukan iaitu Hong Kong PUBG Invitational dan ZOTAC CUP MASTERS (CS:GO). Kami semestinya akan berkongsi sekitar festival ini untuk hari kedua pada esok hari.
Jika anda kebetulan berada di Hong Kong, pastikan anda mengambil masa untuk berkunjung ke acara ini yang berlangsung di Hong Kong Convention and Exhibition Centre. Untuk tiket dan butiran lain mengenai ICBC (Asia) Festival Muzik & e-Sukan Hong Kong, anda boleh layari laman web: www.emfhk.com.