Skip to main content

Pada acara Playstation Experience (PSXSEA) 2018 hujung minggu lepas, saya berpeluang untuk mencuba permainan Mega Man 11, yang mana ia merupakan permainan yang sangat dinantikan buat peminat siri Mega Man, memandangkan Mega Man terakhir, iaitu Mega Man 10 dilancarkan hampir 8 tahun lepas.

Seperti yang anda sedia maklum, Capcom sebelum ini mengumumkan permainan Mega Man 11 yang mana ia dirancang untuk dilancarkan pada 3 Oktober ini di konsol Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.

Mega Man 11 merupakan siri seterusnya buat siri utama Mega Man. Sekaligus, penceritaannya memfokuskan Mega Man asal bersama Dr. Light dan antagonis, Dr. Willy.

Walaupun begitu, ketika acara PSXSEA 2018, saya sempat mencuba demo permainan Mega Man 11 di peringkat kawasan bagi ketua musuh Block Man, dimana ianya merupakan salah satu peringkat yang dikongsikan oleh Capcom ketika pengumuman permainan tersebut.

Bagi anda yang baru dengan siri Mega Man, ianya merupakan permainan yang mana anda akan menggunakan watak Mega Man, iaitu seorang adiwira berwarna biru kecil dan bertempur dengan pelbagai jenis musuh mengikut peringkat permainan.

Pada permulaan permainan, pemain akan memilih peringkat permainan dengan memilih ketua musuh yang pemain ingin menewaskan. Selepas itu, pemain perlu mengembara ke seluruh kawasan peringkat tersebut sehinggalah bertembung dengan ketua musuh yang mana pemain perlu menewaskannya. Setelah mengalahkan ketua musuh tersebut, pemain juga akan memperoleh senjata ketua musuh itu untuk digunakan sebagai senjata tersendiri dan menewaskan ketua-ketua musuh lain dengan menggunakan senjata tersebut.

Secara asasnya, siri permainan Mega Man sangatlah ringkas. Pemain hanyalah perlu menembak dan melompat dari sebarang halangan dan cabaran setiap peringkat dan bertempur dengan musuh.

Namun, kali ini Mega Man 11 memperkenalkan sebilangan fungsi-fungsi baru buat Mega Man. Antaranya adalah sistem Double Gear, dimana pemain berupaya untuk memperlahankan masa ataupun meningkatkan kuasa.

Sistem Gear pertama iaitu Speed Gear, akan membenarkan pemain memperlahankan masa. Untuk mengaktifkan fungsi ini, saya hanya perlu menekan butang R1 sahaja. Fungsi ini sangat berguna dimana saya berupaya untuk memperlahan keadaan masa ketika bermain, dan ianya memberi peluang saya untuk menembak tepat ke arah kelemahan musuh.

Fungsi ini juga membenarkan saya untuk mengelak sebarang serangan musuh dengan lebih mudah dan juga melompat di kawasan persekitaran dengan lebih selamat.

Sistem Gear kedua pula adalah Power Gear, yang mana ianya boleh diaktifkan dengan menekan butang L1. Melalui fungsi ini, Mega Man akan mempunyai kuasa tembakan yang lebih kuat. Ianya juga memberi kuasa pengecasan yang lebih berkuasa buat Mega Buster iaitu senjata utama Mega Man.

Namun, kedua-dua fungsi ini tidak boleh digunakan secara serentak. Sekaligus pemain perlu memilih waktu dan masa yang sesuai untuk menggunakan salah satu fungsi Double Gear tersebut. Selain itu, pemain juga mempunyai had untuk menggunakan kedua-dua fungsi tersebut. Ini kerana, ketika pemain menggunakan sistem Double Gear, pemain diberi masa yang agak terhad dengan meter yang berada di atas kepala Mega Man. Melaluinya, jika pemain melebihi had meter tersebut, Mega Man akan dicas secara berlebihan dan pemain tidak boleh menggunakan sistem Double Gear tersebut untuk sementara waktu.

Dari segi bentuk permainan yang lain, seperti penembakan, loncatan dan juga fungsi gelongsor klasik Mega Man, permainan ini masih lagi menyertakan kesemua bentuk asas permainan Mega Man. Malah pada pendapat saya, dari segi tindak balas kawalan, permainan ini dimainkan dengan baik sekali dan ianya mengingatkan saya dengan permainan-permainan klasik Mega Man.

Akan tetapi apa yang saya sangat menyukai berkenaan Mega Man 11 adalah visual grafiknya yang baru. Kali ini, Mega Man tidak lagi mempunyai visual grafik pixel klasik seperti Mega Man 9 atau Mega Man 10 yang mana kali ini, segala visual model watak, musuh dan juga persekitaran kawasan dihasilkan dengan kualiti model 3D. Sekaligus, ia memaparkan visual yang sangat terang, menarik dan membuat saya teringat akan permainan Mega Man Maverick Hunter X yang dilancarkan di Playstation Portable sebelum ini.

Bagi anda peminat tegar siri Mega Man, anda tidak perlu khuatir berkenaan tahap kesukaran permainan ini, dimana Mega Man 11 masih lagi merupakan permainan yang sangat sukar. Sepanjang sesi permainan ketika acara PSXSEA 2018 minggu lepas, saya sememangnya menghadapi kesukaran untuk menghabiskan peringkat permainan tersebut.

Ini bukanlah sesuatu yang baru, dimana seperti siri Mega Man sebelum ini, ianya merupakan satu jenis permainan yang mana anda akan bermain berulang kali seperti satu latihan kerana siri Mega Man sememangnya sinonim dengan permainan yang dimainkan secara berkali-kali untuk menghabiskan sesuatu peringkat. Ini juga menghasilkan sesuatu apa yang saya sangat sukai berkenaan permainan tersebut dimana ianya masih lagi mengekalkan konsep dan kesukaran seperti permainan klasik Mega Man.

Selain itu Mega Man 11 juga menyertakan sebilangan ketua musuh sampingan yang pasti akan memberi cabaran buat pemain. Dimana seperti permainan Mega Man X sebelum ini, ketua musuh sampingan tersebut tidak mempunyai bar nyawa, sekaligus pemain perlu sentiasa menyerangnya berkali-kali sehingga ia tertewas.

Akhir kata, Mega Man 11 sememangnya adalah satu permainan Mega Man baru yang sangat menarik. Ianya bukan sahaja mengekal konsep asal siri Mega Man, malah mempunyai pelbagai fungsi baru seperti fungsi Double Gear yang pasti akan memberi bentuk permainan yang lebih menarik dan mencabar buat pemain.

Apa yang boleh saya katakan ketika saya mencuba demo permainan Mega Man 11 ini, ianya sememangnya satu permainan tidak lapuk dari segi zaman. Ini kerana, konsep asas permainan Mega Man, masih mengekalkan konsep yang sama lebih dari 30 tahun lepas, namun ianya masih lagi mempunyai bentuk permainan yang sangat menyeronokkan untuk dimain walaupun 30 tahun kemudian.

Bagi anda yang tidak sabar untuk bermainnya, Mega Man 11 akan dilancarkan pada 3 Oktober ini di kesemua konsol dan juga di PC. Seperti biasa, kami akan membuat ulasan penuh apabila ianya dilancarkan kelak.

Leave a Reply