Dengeki Online hari ini berkongsi satu video khas bentuk permainan baru buat permainan Resident Evil 2 sempena acara Gamescom 2018 yang berlangsung minggu ini. Kali ini, bentuk permainan bagi watak utama kedua buat permainan tersebut, iaitu Claire Redfield akhirnya dipertontonkan.

Melalui video diatas, Capcom mempertontonkan saat-saat ketika Claire Redfield berjumpa dan bertarung dengan William Birkin, iaitu salah satu ketua musuh yang terdapat di dalam permainan tersebut. Menariknya juga, Capcom juga memperlihatkan watak Sherry Birkin, iaitu anak perempuan kepada William Birkin.

Bagi anda yang pernah bermain permainan Resident Evil 2 asal di Playstation 1 dahulu, anda pasti mengetahui berkenaan watak William Birkin dengan mata di lengan ikonik beliau tersebut. Kali ini, tampaknya, rekaan watak William masih lagi menyerupai rekaan asal permainan tersebut, malah dari segi bentuk pertempuran ianya kelihatan lebih sukar.

Resident Evil 2 merupakan permainan yang diolah semula daripada permainan asalnya Resident Evil 2 di Playstation 1 pada 1998 lepas. Ia kini bukan sahaja mempunyai bentuk permainan baru, malah ia mempunyai visual yang dinaik-taraf dan dibangunkan khas oleh Capcom. Permainan ini akan dikeluarkan pada 25 Januari 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.

Ketika acara PSX SEA 2018 yang berlangsung hujung minggu lepas, kami juga berkesempatan untuk mencuba permainan tersebut. Bagi anda ingin mengetahui pendapat kami berkenaan permainan tersebut, anda boleh ke pautan dibawah.

PSXSEA 2018 – Pandang Pertama Resident Evil 2

Sohor Kini