Sempena acara Gamescom 2018 yang berlangsung minggu ini, Bandai Namco mempertontonkan trailer terbaru buat permianan perlawanan Soul Calibur VI yang mana mereka memperlihatkan mod baru iaitu Libra Of Soul bersama-sama dengan watak DLC pertama iaitu Tira.
Melalui trailer diatas, Bandai Namco memperlihatkan mod Libra Of Soul yang mana ia merupakan mod penceritaan solo kedua buat permainan tersebut selepas mod Chronicle Of Souls.
Melalui mod ini, pemain berupaya untuk mencipta watak mereka sendiri bersama-sama mengembara bersama watak-watak tersedia dan bertempur dengan pelbagai musuh.
Melalui fungsi penciptaan watak sendiri, Bandai Namco akan menyertakan pelbagai jenis pengubah-suaian dengan keupayaan untuk memilih 16 jenis kaum seperti manusia, cicak dan juga rangka tulang bersama-sama mengubah-suai pelbagai jenis bentuk muka, rambut, pakaian dan sebagainya.
Pemain juga berupaya untuk menggunakan watak yang dicipta oleh mereka untuk bertempur dengan pemain lain melalui mod multi-pemain secara kasual ataupun kompetitif.
Selain itu, Bandai Namco juga berkongsi watak DLC pertama buat permainan tersebut iaitu Tira, dimana beliau merupakan watak asal yang diperkenalkan melalui Soul Calibur III.
Melalui Soul Calibur VI ini, Tira masih lagi akan menggunakan senjata ikonik beliau iaitu Ring Blade, Eiserne Drossel bersama-sama gaya pertempuran Dance Of Death beliau.
Watak Tira akan disertakan bersama pas musim permainan dan menurut Bandai Namco, mereka juga akan melancarkan watak DLC tersebut secara berasingan jika pemain ingin mendapatkannya tanpa membeli pas musim.
Soul Calibur VI merupakan permainan perlawanan yang memfokuskan pertempuran secara bersenjata. Seperti permainan Soul Calibur sebelum ini, permainan Soul Calibur VI akan memfokuskan bentuk perlawanan secara 8 arah pergerakan. Soul Calibur VI bakal tiba di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC melalui Steam pada 19 Oktober 2018 ini.