Skip to main content

Kingdom Hearts 3 adalah permainan yang sangat dinantikan oleh peminat setelah lebih dari 10 tahun selepas pelancaran Kingdom Hearts 2 di Playstation 2 pada 2005 lepas.

Namun, setelah penantian sekian lamanya, bersama-sama dengan pelbagai permainan sampingan yang dilancarkan Square-Enix, adakah Kingdom Hearts 3 satu permainan yang berbaloi untuk peminat? Ini adalah pandang pertama saya, buat permainan Kingdom Hearts 3 dimana saya berpeluang untuk mencubanya ketika acara Playstation Experience (PSX SEA) Asia Tenggara yang berlangsung di Bangkok, Thailand hujung minggu lepas.

Melalui demo permainan tersedia, Sony menyediakan dua peringkat permainan iaitu dunia Olympus daripada Disney’s Hercules dan dunia ToyBox daripada filem Pixar’s Toy Story. Melalui kedua-dua peringkat tersebut, bentuk permainannya agak berlainan dari segi senjata, musuh dan juga persekitaran permainan.

Walaubagaimana pun, perkara pertama yang saya ingin kongsikan adalah berkenaan visual grafik permainan ini. Sememangnya dengan penggunaan enjin permainan Unreal Engine 4 menghasilkan satu bentuk visual permainan yang sangat cantik. Bukan sahaja eskpressi muka yang sangat jelas, malah ketika saya berada di dunia ToyBox, saya berasa seolah-olah berada di dalam dunia filem Pixar’s Toy Story. Sememangnya grafik dan visualnya setaraf dengan filem tersebut.

Setiap rekaan model termasuklah persekitaran kawasan permainan Kingdom Hearts 3, dilakukan dengan baik sekali. Terutamanya di dalam dunia ToyBox dimana lokasi dan barangan penting di dalam bilik Andy dihasilkan dengan baik. Setiap terperinci yang diperlihatkan mencerminkan kualiti daripada filem Pixar’s Toy Story.

Namun, sebaliknya pula di dunia Olympus yang agak mengecewakan. Bukan sahaja visual batu-bata yang agak ringkas, malah penggunaan lokasi yang agak terhad dan kosong menghasilkan bentuk permainan yang agak mendatar bagi saya. Namun begitu, sesi permainan saya hanyalah terhad kepada demo tersebut sahaja, saya percaya apabila ianya dilancarkan secara rasmi kelak, Square-Enix akan menghasilkan satu kualiti permainan yang menarik.

Selain itu, bagi anda yang pernah bermain siri Kingdom Hearts sebelum ini, anda pasti menyukai visual-visual efek yang disertakan melalui permainan terkini siri tersebut. Bukan sahaja ia memaparkan visual yang sangat ceria, malah setiap pukulan dan kuasa-kuasa sihir watak-watak di dalam permainan ini menghasilkan bentuk visual efek yang sangat menawan.

Dari segi suara latar juga, setiap lakonan yang dilakukan oleh pelakon suara latar, termasuklah suara-suara watak utama dan sampingan dilakukan dengan baik. Walaupun suara latar Buzz dan Woody tidak dilakonkan oleh suara latar asal filem Pixar’s Toy Story, namun hasil kualiti suara mereka tidaklah begitu teruk ataupun berbeza dari suara asli. Manakala suara latar Rex dan Hamm dilakonkan oleh suara asal pelakon mereka dan ianya sememangnya membawa filem tersebut lebih hidup.

Dari segi audio permainan, segala yang anda suka berkenaan siri Kingdom Hearts sebelum ini, kali ini ianya pasti tidak akan mengecewakan anda. Segala muzik latar, bunyian efek dan sebagainya sememangnya mempunyai identiti Kingdom Hearts yang menarik.

Walaupun begitu, perkara yang paling penting untuk sesuatu permainan adalah bagaimana ia dimainkan. Pada pendapat saya, Kingdom Hearts 3 mempunyai bentuk permainan yang agak mendatar. Ini bermakna ianya tidaklah teruk, tetapi ianya juga tidaklah begitu menarik.

Ketika sesi demo permainan yang saya mainkan, bentuk permainannya sedikit sebanyak tidak berubah dari siri sebelum ini, malah ia berasa seolah hanya satu salinan terus daripada permainan Kingdom Hearts 2. Sememangnya, pemain berupaya untuk memanggil pelbagai watak bantuan seperti Ralph dari Wreck It Ralph ataupun Ariel dari The Little Mermaid. Namun konsep tersebut bukanlah sesuatu yang baru buat siri Kingdom Hearts.

Ketika saya bermain demo permainan tersebut, bentuk pertempuran Sora adalah sama seperti permainan sebelum ini dimana anda boleh memilih sebilangan jenis arahan yang anda boleh lakukan di kiri skrin permainan tersebut. Menu tersebut, menyertakan empat arahan asas seperti serang, sihir, barangan dan pautan. Dimana pautan tersebut anda boleh gunakan untuk memanggil panggilan seperti Ariel dan sebagainya seperti yang saya nyatakan di atas. Manakala, pemain juga boleh menggunakan butang pintas dengan menekan L1, untuk melakukan sebarang sihir dengan lebih pantas.

Jika anda pernah bermain siri Kingdom Hearts sebelum ini, anda pasti mengetahui kesemua perkara di atas, kerana ianya sememangnya mempunyai sistem yang sama. Selain itu, antara perkara yang diperkenalkan di Kingdom Hearts 2 juga adalah fungsi butang reaksi dimana pemain boleh menggunakan butang Segi Tiga untuk melakukan sebarang bentuk serangan berlainan ataupun kuasa kemahiran Sora. Namun, kali ini di dalam Kingdom Hearts 3, fungsi tersebut sememangnya ada, tetapi pada pendapat saya, ianya hanya sebuah satu gimik sahaja.

Ini kerana, untuk melakukan sebilangan serangan dengan menggunakan butang reaksi tersebut, saya seolah perlu mengumpul meter kemahiran tersebut, dan apabila saya melakukannya, Sora dan rakan-rakannya akan melakukan pelbagai jenis gerakkan yang kelihatan menarik, namun tidaklah begitu efektif. Serangan tersebut pula merupakan sebahagian daripada ‘taman tarikan Disneyland’ seperti kapal lanun, cawan pusingan dan sebagainya. Sememangnya bentuk serangan tersebut membuat Sora menjadi kebal, namun apa yang anda lakukan adalah hanya menekan butang serangan berkali-kali sehinggalah anda melakukan serangan akhir dengan menekan butang reaksi tersebut sekali kali lagi untuk melihat Sora melakukan pelbagai jenis loncatan ataupun serangan gimik yang pelbagai.

Selain itu, terdapat juga fungsi dimana Sora berupaya untuk mengubah-suai senjata Keyblade beliau yang mana juga menggunakan butang reaksi tersebut setelah meter kemahiran tersebut itu penuh. Terdapat pelbagai peringkat perubahan Keyblade yang Sora boleh lakukan, antaranya seperti menukarnya kepada satu penukul ataupun menjadinya satu gerudi.

Namun fungsi ini terlalu rawak, dan ianya membuat saya berasa seolah tidak ada sebarang kawalan terhadap Sora langsung. Ianya semua berasa seolah diletakkan hanya untuk menunjukkan gimik-gimik yang boleh dilakukan oleh Sora.

Ketika di dunia Olympus, saya mengawal Sora dan dia ditemani oleh Goofy bersama Donald dimana misi utama peringkat tersebut adalah mengalahkan Titan. Dari segi bentuk permainan demo peringkat ini, ianya agak ringkas. Pada permulaan permainan, saya perlu berlari di dinding dan mengelak sebarang serangan batu-bata yang jatuh daripada atas.

Setelah sampainya di atas, apa yang perlu saya lakukan adalah mengalahkan Titan tersebut dengan menyerangnya di kaki dan secara berperingkat sehinggalah ke kepala Titan tersebut. Sepanjang perlawanan tersebut agak membosankan. Ini kerana setiap perlakuan serangan yang dilakukan oleh Titan tersebut, agak berulangan. Ianya bukan sahaja mudah, malah saya berasa permainan ini seolah terlalu senang dimana saya hanya menekan butang serangan tanpa perlu melakukan sebarang elakkan yang melampau.

Akan tetapi terdapat juga bentuk serangan dimana saya berupaya untuk menggunakan ‘senjata’ keretapi dimana Sora akan menaiki kereta api tersebut dan menyerang Titan di udara. Namun, serangan ini agak ringkas dan seperti sesi pertempuran sebelum ini, saya hanya menekan butang serangan dan menyasarkan sasaran saya sahaja.

Walaupun begitu, untuk demo permainan peringkat dunia ToyBox, ianya menjadi lebih menarik. Ini adalah sebab ia mempunyai sedikit adegan-adegan antara watak dari dunia Pixar’s Toy Story dan juga bentuk permainan baru dimana Sora berupaya untuk mengendali sebuah robot untuk bertempur dengan musuh. Mod ini agak menarik, memandangkan ianya sesuatu yang baru buat siri tersebut.

Akan tetapi, ianya masih mengekal konsep yang sama, dimana kebanyakkan anda hanyalah menewaskan musuh dengan menembak, ataupun menumbuk. Terdapat juga serangan yang kuat dimana pemain berupaya untuk melakukannya. Namun, ianya agak terhad dan mempunyai sedikit masa untuk dicas semula sebelum ia boleh digunakan semula.

Sepanjang sesi permainan saya, saya berasa agak bosan kerana musuh-musuh yang dipamerkan mempunyai bentuk dan serangan yang sama. Apa yang saya lakukan adalah hanya menekan butang kawalan X berkali-kali hanya untuk mengalahkan mereka. Dari semasa, saya juga perlu tekan butang Segi Tiga, hanya untuk melakukan serangan yang berlainan seperti yang saya kongsikan di atas dan ianya hanya setakat itu sahaja.

Sememangnya ini hanyalah sebuah demo dan dari segi penceritaannya, tak banyak yang dipamerkan melalui demo ini. Namun, dengan kualiti dan bentuk permainan yang dimainkan oleh saya ketika acara PSX SEA 2018 tersebut, ianya membuat saya berasa ragu-ragu dengan kualiti permainan tersebut dan secara jujurnya, saya tidak terkejut jika Square-Enix mengambil keputusan untuk menunda permainan ini pada masa akan datang.

Akhir kata, Kingdom Hearts 3 sememangnya satu permainan yang menarik. Dari segi bentuk permainan, visual grafik dan juga penceritaan, ia sememangnya dibangunkan khas untuk peminat. Namun, dari segi kualiti demo yang saya mainkan, permainan ini masih lagi hanya sebuah permainan Kingdom Hearts tanpa sebarang perkara baru yang menarik.

Namun, kami percaya penceritaannya pasti akan menjadi tumpuan utama permainan tersebut dan setelah ianya dilancarkan kelak, Square-Enix pasti akan menyertakan pelbagai kandungan baru. Namun, dengan apa yang saya mainkan setakat, ianya masih lagi sebuah permainan yang masih lagi terpaku di tahun 2005 lepas.

Leave a Reply