Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan The Walking Dead: The Final Season – Episod Pertama: Done Running

Ulasan The Walking Dead: The Final Season – Episod Pertama: Done Running

Diterbitkan pada Ogos 17, 2018 oleh .

The Walking Dead merupakan siri permainan yang dikeluarkan oleh Telltale Games berdasarkan siri komik dan juga siri TV bernama sama. Pertama kali dikeluarkan pada tahun 2012, 6 tahun kemudian siri terakhir untuk permainan ini akhirnya dikeluarkan iaitu The Walking Dead: The Final Season.

The Walking Dead: The Final Season merupakan permainan keenam untuk siri ini dan keempat untuk permainan utama manakala 2 lagi merupakan siri sampingan iaitu The Walking Dead: 400 days dan The Walking Dead: Michonne.

Seperti kebiasaan permainan Telltale Games, permainan ini juga akan dikeluarkan secara episod. Episod pertama iaitu ‘Done Running’ dikeluarkan pada 14 Ogos untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC. Tiga episod seterusnya akan dikeluarkan secara berperingkat dan anda boleh mengetahui tarikhnya di pautan ini.

The Walking Dead merupakan satu siri yang penting untuk Telltale Games, ia juga merupakan permainan yang sangat penting untuk ramai pemain. Adakah permainan terakhir ini memberi satu kesudahan yang selayaknya untuk siri The Walking Dead?

Cerita

Penceritaan episod pertama bermula beberapa tahun selepas kejadian di dalam The Walking Dead: A New Frontier dan akan menggunakan Clementine sebagai watak utama. Selepas meninggalkan Richmond di pengakhiran A New Frontier, di dalam The Final Season, Clementine sudah bersama dengan AJ.

Mengekalkan tema utama permainan ini iaitu ketahanan hidup, Clementine bersama dengan AJ yang kini sudah dapat mempertahankan diri sendiri meneruskan hari mereka dengan mencari bekalan makanan. Berkereta, mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sehingga satu kejadian yang tidak dijangkakan berlaku menyebabkan mereka kemalangan dan Clementine tercedera.

Dalam keadaan separa sedar, Clementine dan AJ dibawa ke satu sekolah yang menjadi tempat tinggal untuk beberapa orang remaja yang menjadikan sekolah sebagai kubu mereka. Mereka menerima Clementine dan AJ dengan baik akan tetapi seperti permainan-permainan sebelum ini, mereka juga mempunyai sejarah hitam.

Episod pertama untuk permainan ini memfokuskan kepada perhubungan Clementine dengan AJ, dan juga remaja-remaja yang berada di sekolah. Dinamik hubungan dilakukan dengan baik, Clementine kini tidak lagi mempunyai orang dewasa untuk membantu sebaliknya beliau sendiri perlu menjaga AJ.

Selain itu, walaupun baru sahaja tiba di sekolah tersebut namun hubungan Clementine dengan watak-watak lain terus dilakukan dengan agak mendalam dan setiap watak mempunyai perwatakan dan juga penceritaan tersendiri. Di dalam The Final Season ini, penceritaan bagaikan menjadikan Clementine watak yang akan menentukan masa depan untuk kesemua watak lain.

Sepanjang penceritaan ia banyak diisi dengan pengenalan dan ia juga mengunakan resipi yang sama seperti permainan sebelum ini. Namun, apabila konflik mula ditambah di dalam penceritaan ia dengan serta merta menjadi lebih cemas dan menarik. Pengakhiran episod pertama sudah cukup untuk membuatkan anda tidak sabar untuk episod seterusnya.

Bentuk Permainan

Permainan ini masih mengekalkan bentuk permainan yang sama dengan permainan-permainan lain oleh Telltale Games namun ia mempunyai beberapa perubahan yang positif.

Pemilihan dialog dan aksi masih menjadi bentuk permainan utama. Setiap dialog ataupun tindakan oleh Clementine akan memberikan penceritaan dan kesan yang berbeza. Menariknya, di dalam permainan ini ia juga akan membentuk tingkah laku AJ yang memerhati segala tindakan yang dilakukan oleh Clementine.

Disebabkan itu, semasa membuat pemilihan dialog dan aksi, pemain bukan sahaja harus memikirkan mengenai kesan kepada mereka tetapi juga kesan kepada AJ. Ia menjadikan pemilihan lebih mendalam dan agak menarik untuk melihat kesan-kesan yang berlainan dan semestinya pemain tidak akan bermain satu episod sekali sahaja.

Selain itu, permainan ini juga mengekalkan elemen pengembaraan ringkas yang memerlukan pemain menuju ke satu tempat tertentu. Kawasan yang disediakan agak sempit jadi ia bukanlah satu pengembaraan yang lama ataupun tempat yang luas.

Permainan ini ada menyertakan collectible yang pemain boleh cari sepanjang pengembaraan dan mungkin memberi alasan untuk pemain meluangkan sedikit masa untuk mengembara. Namun, ia masih satu pengembaraan yang ringkas dan terhad.

Pertempuran dan aksi masih mengekalkan bentuk permainan secara Quick Time Events (QTE) tetapi untuk permainan ini, ia dilakukan dengan lebih bebas. Pertempuran tidak kesemuanya adalah mengikut urutan tertentu ataupun berdasarkan skrip. Sebaliknya, pemain boleh memilih cara tersendiri untuk melakukannya. Ia bukan sahaja memberikan kebebasan kepada pemain tetapi pada masa yang sama menambah kesukaran kepada pertempuran yang sudah semestinya satu perkara yang baik.

Untuk episod pertama, kami mengambil masa selama 3 jam untuk menghabiskannya dan ia merupakan 3 jam yang dipenuhi dengan pelbagai adegan yang menarik.

Grafik dan Audio

Grafik permainan ini terus mengekalkan arahan seni yang sama seperti permainan-permainan sebelum ini dan tidak banyak perubahan dilakukan. Untuk konsol yang menyokongnya, permainan ini menyokong HDR dan juga resolusi 4K yang sudah semestinya memberikan grafik yang lebih baik.

Walaupun tidak banyak perubahan yang dilakukan dari segi grafik akan tetapi kelancaran permainan adalah lebih baik jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini. Pergerakan tidak lagi merasa keras dan janggal, menjadikan pengalaman pengembaraan lebih baik.

Tambahan, permainan ini menggunakan kamera “over-the-shoulder” semasa pengembaraan dan secara langsung memberikan peluang untuk pemain melihat persekitaran dengan lebih jelas.

Kami bermain permainan ini di PC dan mengunakan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah kelancaran namun terdapat beberapa kejadian di mana tekstur pakaian dan watak tidak dimuat dengan sepenuhnya mengakibatkan watak-watak tidak jelas kelihatan. Sesuatu yang senang dah harus diperbaiki melalui kemaskini tampalan.

Visual juga diperbaharui dan lebih baik. Simbol-simbol QTE yang dikeluarkan lebih jelas dan tidak mengganggu adegan-adegan tertentu. Isyarat visual dilakukan bersesuaian dengan keadaan menjadikan pemain lebih mudah untuk melakukan sesuatu aksi.

Dari segi audio, permainan ini masih mengekalkan kualiti yang baik untuk lakonan suara. Walaupun Clementine sahaja watak yang kembali dari permainan sebelum ini, manakala AJ baru sahaja boleh bercakap dan watak-watak lain adalah wata baharu namun kesemua mereka memberikan persembahan yang baik.

Muzik latar turut membawa perasaan yang sama dengan permainan sebelum ini, sound effect yang ada juga agak baik dan memberikan kesan kepada adegan-adegan yang berlaku.

Selain itu tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai grafik dan audio permainan ini. Ia masih mengekalkan grafik dan audio yang lebih kurang sama dengan permainan sebelum ini akan tetapi bagi saya ia sudah cukup baik.

Rumusan

Akhir kata, episod pertama memberikan penceritaan yang baik walaupun menggunakan resipi yang sama seperti permainan-permainan sebelum ini. Perhubungan Clementine dan AJ serta watak-watak lain sudah semestinya akan menjadi penggerak utama dan ia dilakukan dengan baik.

Pelbagai pilihan berbeza yang dilakukan oleh Clementine yang kembali menjadi watak utama dan lebih matang akan memberikan pengalaman penceritaan yang berbeza. Ia bukan sahaja membuatkan pemain ingin mencuba penceritaan yang lain, ia juga membuatkan tidak sabar untuk bermain episod yang seterusnya.

Bentuk permainan masih sama dengan permainan yang sebelum ini tetapi membawa kelainan seperti kamera “over-the-shoulder” dan pertempuran yang tidak terlalu mendatar menjadikan pengalaman bermain sedikit berbeza dan lebih baik.

Grafik dan audio juga tidak membawa perubahan yang besar berbanding permainan sebelum ini. Ia masih baik dan cukup untuk membawa permainan ini. Walaupun secara keseluruhan ia masih seperti permainan Telltale Games yang lain akan tetapi untuk pemain yang mengikuti siri permainan ini, permainan terakhir ini sudah semestinya harus dimainkan.

Nota: Ulasan ini berdasarkan episod pertama untuk The Walking Dead: The Final Season, kami akan mengemaskini ulasan ini termasuk juga skor apabila episod seterusnya dikeluarkan kelak.


TIPS & ULASAN