Square Enix Memperlihatkan Bentuk Permainan The Quiet Man

Ketika persidangan E3 Jun lepas, Square Enix mengumumkan IP baharu iaitu The Quiet Man yang dibangunkan oleh Human Head Studios. Mereka juga mengatakan maklumat lanjut akan dikongsi pada bulan ini.

Hari ini melalui penstriman secara langsung oleh Square Enix Japan, mereka memperlihatkan bentuk permainan untuk permainan tersebut. Video yang durasi 1 jam 30 minit, selain berbincang mengenai permainan tersebut turut memperlihatkan permainan ini dimainkan.

https://youtu.be/wF6mmWQLmCE?t=39m35s

Melalui video bentuk permainan, ia memperlihatkan gabungan antara lakonan nyata untuk adegan dan animasi untuk pertempuran. Boleh dikatakan permainan ini akan memfokuskan penceritaan. Pertempuran yang diperlihatkan adalah brawler yang mempunyai pelbagai kombo dan juga pergerakan khas.

Namun, selain lakonan nyata, permainan ini nampak masih di awal pembangunan. Aksi-aksi permainan nampak kaku, dari segi pergerakan dan juga pertempuran. Video ini sepenuhnya di dalam bahasa Jepun tanpa sari kata.

Bagi kami, ia nampak menarik tetapi memerlukan penambah-baikkan yang lebih banyak sebelum ia bersedia untuk dikeluarkan. Setakat ini tiada tarikh pengeluaran dikongsikan. Permainan diumumkan untuk PC dan PlayStation 4.

Sohor Kini