Informasi Permainan Video Terkini
Kemaskini New Game+ Buat God Of War Bakal Tiba Bulan Ini

Kemaskini New Game+ Buat God Of War Bakal Tiba Bulan Ini

Diterbitkan pada Ogos 9, 2018 oleh .

Sony hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa kemaskini percuma buat permainan God Of War iaitu kemaskini New Game+ yang mana akan memberi peluang kepada pemain untuk bermain semula permainan tersebut setelah mereka tamat dengan pelbagai kandungan baru.

Menurut Sony, kemaskini tersebut bakal tiba pada 20 Ogos ini dan untuk mendapat akses mod New Game+ tersebut. Pemain perlu dahulu menamatkan permainan God Of War tersebut untuk menyah kunci mod tersebut.

Melalui mod tersebut, pemain berupaya untuk bermain semula permainan God Of War dari awal dengan kesemua kelengkapan, kemahiran dan barangan daripada sesi permainan pemain sebelum ini.

Pemain juga berpeluang untuk bertempur dengan musuh yang lebih kuat dan pada masa yang sama, Santa Monica Studio juga menyertakan pernaik-tarafan baru untuk kelengkapan pemain ketika pemain berjumpa dengan tukang besi Brok. Sekaligus, melalui pernaik-tarafan baru ini, pemain akan mendapat pelbagai set perisai baru yang pasti akan memberi satu pengalaman permainan yang berbeza.

Akhir sekali, pemain juga berupaya untuk melangkau adegan-adegan permainan jika pemain ingin beraksi dengan lebih cepat tanpa melihat sesi adegan tersebut.

God Of War merupakan permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Santa Monica Studio secara esklusif buat konsol Playstation 4. Ia dilancarkan pada April lepas dan kami di Aksiz juga membuat ulasan permainan tersebut. Selain itu, kami juga telah berkongsi video khas nyah kotak bagi edisi Collector permainan tersebut.


TIPS & ULASAN