Informasi Permainan Video Terkini
5 Perkara Mengenai E-Sukan Yang Harus Diberi Perhatian Oleh Kementerian Belia dan Sukan

5 Perkara Mengenai E-Sukan Yang Harus Diberi Perhatian Oleh Kementerian Belia dan Sukan

Diterbitkan pada Ogos 10, 2018 oleh .

Arena e-sukan di Malaysia bukan lagi menjadi sesuatu yang diikuti oleh  para ‘gamers’ sahaja, ia kini turut menjadi sesuatu yang dibincangkan sehingga peringkat kementerian terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq memperlihatkan komitmen KBS untuk lebih memperkasakan e-sukan dengan mengumumkan keinginan untuk membina ‘e-stadium’ dan juga menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan untuk Asean.

Perkembangan ini adalah sangat menggalakkan dan kami sudah semestinya berharap ia adalah sesuatu yang berterusan. Namun, kami berpendapat ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian oleh KBS agar perkembangan e-sukan di Malaysia dilakukan dengan baik. Perkara-perkara tersebut adalah;

Permainan E-sukan Dimiliki oleh Syarikat Pembangun

Permainan-permainan yang menjadi asas kepada acara e-sukan merupakan satu produk yang dihasilkan oleh syarikat pembangun. Oleh kerana itu, permainan tersebut merupakan hak milik syarikat pembangun dan mereka kebiasaan mempunyai syarat dan peraturan tertentu untuk sebarang penganjuran kejohanan e-sukan.

Perkara ini agak berbeza dengan sukan-sukan biasa seperti bola sepak, badminton dan lain-lain yang tidak dimiliki oleh mana-mana pihak. Walaupun ada badan-badan organisasi yang mengurus sukan-sukan tersebut akan tetapi permainan itu sendiri bukanlah hak milik mereka.

Disebabkan itu, sebarang penganjuran ataupun aktiviti e-sukan seharusnya perlu dilakukan dengan meneliti syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh syarikat pembangun. Walaupun kejohanan e-sukan kebiasaannya tidak melibatkan KBS, akan tetapi KBS boleh menyelia ataupun mempromosikan cara yang betul agar ia tidak menjadi satu masalah.

Jika KBS sendiri ingin menganjurkan sesuatu kejohanan e-sukan adalah lebih baik syarikat pembangun secara rasmi terlibat di dalam kejohanan tersebut dan bukan sepenuhnya diserahkan kepada penganjur sahaja.

Permainan E-sukan Merupakan Perniagaan untuk Pembangun

Perkara ini boleh dikatakan kesinambungan kepada perkara di atas. Hampir kesemua permainan yang dijadikan sebagai asas untuk e-sukan merupakan produk yang dikeluarkan untuk membawa keuntungan kepada pembangun.

Permainan video terutama permua walaupun boleh dimuat-turun secara percuma, mengandungi pelbagai pembelian di dalam permainan termasuk juga yang melibatkan kotak tikam. Mobile Legend contohnya, merupakan antara permainan e-sukan yang popular. Permua tersebut dilaporkan menjana lebih RM808 juta dalam masa 2 tahun dan pemain di Malaysia mendahului dengan menyumbang sebanyak RM 170 juta.

Perkara ini tidak mempunyai kaitan secara terus dengan KBS akan tetapi jika permainan-permainan tersebut dipromosikan sebagai e-sukan oleh KBS ia boleh menggalakkan lebih ramai pemain termasuk juga kanak-kanak. Bahkan, antara sebab utama sesuatu permainan dijadikan sebagai e-sukan adalah untuk mempromosikan permainan tersebut.

Jika permasalahan perbelanjaan di dalam permainan menjadi satu isu, KBS yang sebelum ini mempromosi permainan tersebut walaupun sebagai satu e-sukan akan dipersalahkan. Ini terutamanya jika melibatkan ibu bapa dan kanak-kanak. Oleh disebabkan itu, selain mempromosi permainan tersebut sebagai satu e-sukan, kesedaran mengenai bahagian perniagaan permainan ini harus juga ditekankan oleh KBS.

PUBG Payung Terjun

E-sukan Merangkumi Pelbagai Permainan

Seperti kita sedia maklum, e-sukan melibatkan pelbagai permainan yang berbeza. Satu genre permainan juga mempunyai pelbagai permainan yang berlainan. Walaupun begitu, kebanyakan perbincangan mengenai e-sukan masih di bawah satu payung yang besar dan tidak memfokuskan kepada permainan itu sendiri.

Demi menjadikan pembangunan e-sukan lebih rancak, kami berpendapat perbincangan turut harus memfokuskan kepada permainan itu sendiri. Kita sekali lagi boleh mengambil sukan sebagai contoh – sebarang perbincangan untuk bola sepak ataupun sukan-sukan lain, ia dibincangkan dengan memfokuskan kepada sukan itu sendiri sahaja dan bukan sebagai satu sukan.

KBS juga harus menggalakkan penubuhan dan juga memajukan kelab-kelab e-sukan yang berdasarkan permainan itu sendiri. Pada hemat kami, persatuan-persatuan yang ada sekarang lebih memfokuskan kepada e-sukan secara keseluruhan. Dengan adanya persatuan-persatuan yang berdasarkan permainan itu sendiri, sudah semestinya kemajuan untuk sesuatu permainan itu menjadi lebih berkesan.

Contohnya, permasalahan “Bagaimana ingin meningkatkan kualiti pemain tempatan untuk Overwatch?” adalah lebih mudah untuk dibincangkan dan juga diselesaikan berbanding “Bagaimana ingin meningkatkan kualiti pemain e-sukan tempatan?”.

Kesihatan Fizikal dan Mental

Aktiviti sukan kebiasaannya dikaitkan dengan kesihatan. Kita sering mendengar jika ingin sihat, haruslah bersukan. Akan tetapi berbeza dengan e-sukan, ia merupakan sukan yang melibatkan permainan video dan permainan video sering dikaitkan dengan aktiviti yang tidak sihat.

Ini adalah disebabkan permainan video termasuk di acara e-sukan merupakan aktiviti tidak melibatkan banyak pergerakan aktif sepertimana sukan-sukan biasa.

Selain itu, kesihatan mental juga merupakan satu masalah yang tidak asing lagi untuk e-sukan. Ada pelbagai contoh untuk kita rujuk mengenai kesihatan mental. Antaranya pemain Overwatch untuk New York Excelsior bagi kejohanan liga Overwatch Kim “Pine” Do-hyeon yang terpaksa berhenti sementara bermain. Menurut penulisan beliau sendiri, keputusan tersebut dibuat atas sebab beliau mengalami kemurungan, tekanan dan panik yang menjadikan beliau tidak dapat untuk memfokuskan kepada latihan.

Oleh demikian, KBS harus mempromosikan kesihatan fizikal dan mental bersama dengan kemajuan e-sukan itu sendiri. Ini adalah agar ia tidak menjadi permasalahan di masa hadapan yang turut boleh membantutkan perkembangan e-sukan.

Esport Esukan

Penganjuran Kejohanan E-Sukan

Perkara terakhir adalah mengenai penganjuran kejohanan e-sukan itu sendiri. Sudah semestinya bagi kapasiti KBS mereka tidak dapat melibatkan diri di dalam kesemua kejohanan e-sukan yang dianjurkan.

Namun, sepertimana kejohanan-kejohanan lain, penganjuran bukanlah sesuatu yang boleh diambil lewa. Ada pelbagai masalah yang boleh berlaku seperti masalah dengan syarikat pembangun, disiplin pemain, kelancaran penganjuran dan juga pemberian hadiah-hadiah yang ditawarkan.

Walaupun KBS tidak terlibat di dalam penganjuran tetapi kami berpendapat KBS sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan garis panduan untuk penganjuran. Selain itu, KBS juga boleh menawarkan bantuan untuk memastikan penganjuran dapat dilakukan dengan baik dan tidak mencetuskan masalah.

Sebarang masalah yang tercetus semasa penganjuran kejohanan e-sukan boleh menjejaskan nama e-sukan itu sendiri dan secara langsung membantutkan perkembangan arena ini. Tambahan, ia juga mungkin akan menjadi masalah KBS sendiri jika berlarutan.


Akhir kata, perkembangan e-sukan adalah usaha yang harus diteruskan dan penglibatan KBS secara terus semestinya sesuatu yang dialu-alukan. Namun, pada masa yang sama kami juga berharap perkara-perkara di atas diberi perhatian agar perkembangan e-sukan di Malaysia dilakukan dengan baik dan secara tepat dari awal agar tidak mencetus masalah di masa hadapan yang boleh melambatkan perkembangan.

Perkara-perkara yang kami nyatakan di atas bukanlah senarai penuh ada pelbagai lagi perkara lain yang harus diberi perhatian oleh KBS. Ia juga bukan ditujukan kepada KBS sahaja, namun mana-mana organisasi yang terlibat di dalam perkembangan e-sukan harus memainkan peranan penting untuk memastikan perkara-perkara di atas tidak menjadi penghalang kepada perkembangan e-sukan di Malaysia.

Di atas merupakan pendapat kami, bagaimana dengan anda? Selain kemajuan e-sukan itu sendiri, apa lagi perkara yang harus diberi perhatian oleh KBS dan juga organisasi-organisasi e-sukan yang lain?


TIPS & ULASAN