Skip to main content

Sebelum ini, Microsoft mengumumkan bahawa mereka kini sedang membangunkan konsol generasi seterusnya buat Xbox ketika acara E3 2018 lepas. Kini, tampaknya Xbox mungkin sedang membangunkan lebih dari satu versi konsol.

Terkini melalui laporan Thurrott, mereka menyatakan bahawa Microsoft kini sedang membangunkan dua jenis konsol Xbox – salah satunya adalah konsol yang lebih murah dan hanya memfokuskan penstriman manakala konsol kedua pula adalah konsol generasi seterusnya yang mempunyai kuasa lebih tinggi dan bentuk kawalan seperti konsol Xbox One sedia ada.

Buat masa ini, dari segi spesifikasi mahupun informasi lanjut berkenaan konsol generasi seterusnya tersebut masih belum diketahui, namun menurut Thurrot, konsol kedua iaitu konsol Xbox yang memfokuskan penstriman direka khas untuk servis awan terbaru Xbox kelak.

Thurrot juga melaporkan bahawa buat masa ini, konsol tersebut dikenali sebagai Scarlett dan ianya dibangunkan khas dengan perkakasan yang lebih murah dengan spesifikasi minima hanya untuk penstriman dan kawalan pengeluaran video bersama input permainan.

Ini merupakan sesuatu tindakan yang menarik memandangkan tidak semua pemain sanggup atau mampu membeli konsol ataupun set permainan video yang mahal. Dengan melanggan servis seakan ini, ini bukan sahaja menjimatkan untuk pemain, malah bakal membuka satu bisnes modal yang baru buat Microsoft.

Konsol yang memfokuskan penstriman ini bukanlah sesuatu yang baru dimana sebelum ini, Onlive juga cuba melakukan perkara sedemikian. Namun, beberapa tahun lepas, tahap kelajuan internet masih belum ditahap untuk penstriman permainan video dimana kini, ianya bukan lagi sesuatu yang mustahil. Ini kerana, Playstation sendiri juga mempunyai servis yang sama iaitu PlaystationNow yang memfokuskan penstriman permainan di konsol Playstation 4.

Walaupun begitu, buat masa ini perkara ini masih lagi merupakan ura-ura dan belum lagi dipastikan oleh pihak Microsoft. Namun, dengan pelbagai servis yang dilakukan oleh Microsoft untuk Xbox seperti Xbox Game Pass, Xbox Live Gold dan sebagainya, penstriman permainan video juga mungkin bakal menjadi servis seterusnya oleh mereka.

Leave a Reply