Skip to main content

Konami hari ini melancarkan kemaskini buat permainan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain secara mengejut yang mana setelah sekian lama kita tidak mendapat sebarang kemaskini berkenaan permainan tersebut.

Terkini, melalui kemaskini terbaru permainan tersebut, pemain kini berupaya untuk bermain sebagai watak Quiet, iaitu watak wanita penembak hendap di dalam permainan tersebut di dalam mod Forward Operating Base (FOB).

Namun, melalui penggunaan watak Quiet tersebut, anda tidak berupaya untuk menukar sebarang kostum termasuklah aksesori kepalanya. Memandangkan Quiet seorang penembak hendap, anda juga berupaya untuk menggunakan kemahiran beliau seperti menyasar tembakan anda dengan pergoyangan yang rendah.

Menariknya juga, kemahiran pergerakkan pantas beliau juga disediakan buat pemain bersama dengan kemahiran melompat ke kawasan yang tinggi. Selain itu, Quiet juga mempunyai kemahiran untuk menjadi lutsinar jika pemain tidak melakukan sebarang pergerakkan untuk seketika.

Selain daripada itu, Konami juga menyertakan sebilangan kandungan senjata baru untuk pemain bangunkan di dalam fungsi pembangun senjata atas-talian permainan tersebut. Antara senjata yang ditambah adalah senapang hendap baru Renov-Ickx bis bersama dinding tenaga untuk pemain gunakan sebagai perisai.

Metal Gear Solid V: The Phantom Pain merupakan siri kelima buat Metal Gear Solid yang mana ia merupakan permainan terakhir yang dibangunkan oleh Hideo Kojima pada 2015 lepas. Ia telah pun dilancarkan di konsol Playstation 3, Playstation 4, Xbox 360, Xbox One dan PC sebelum ini dan mendapat pelbagai kemaskini termasuklah mod Metal Gear Online yang disertakan bersama.

Leave a Reply