Pada bulan Disember 2017 yang lalu, Square Enix memperacahkan di mana permainan video Tomb Raider baru bakal hadir tidak lama lagi. Mereka turut menggunakan mesej berkod melalui pengumuman mereka di laman Twitter rasmi Tomb Raider. Hari demi hari, lebih banyak video acah dipertontonkan dan membuatkan peminat berasa tidak sabar untuk bermain.
Shadow of Tomb Raider – iaitu siri Tomb Raider terbaru daripada Square Enix akhirnya menerbitkan satu video acah baru yang mana kali ini mereka memperlihatkan lokasi baru yang dinamakan The Hidden City of Paititi. Bandar Paititi ini dilihat adalah hub utama untuk siri Tomb Raider baru ini.
Melaluinya, Square-Enix memperlihatkan pengembaraan yang lebih menarik buat pemain dan juga bentuk pengalaman bermain yang baru berbanding siri sebelum ini. Selain itu, pemain turut boleh bersosial melalui “pasar” (marketplace) yang membenarkan pemain berinteraksi antara penjual dan juga penduduk di kawasan berkenaan. Pemain turut boleh membeli pakaian, senjata, memburu, dan juga mengumpul harta karun. Tidak lupa juga kepada cabaran yang pelbagai di dalam permainan baru ini yang pasti memerah otak untuk mencari jalan.
Square Enix kali ini telah menukar sedikit konsep permainan buat siri permainan ini yang lebih berkonsepkan RPG berbanding hanya aksi pengembaraan seperti sebelum ini. Bagi anda yang ingin bermain permainan ini, Shadow Of The Tomb Raider akan dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC bermula 14 September ini.