Bersempena dengan acara Comic Con San Diego yang berlangsung minggu ini, Capcom mengumumkan edisi terhad buat permainan Resident Evil 2 yang mana ia menyertakan sebilangan kandungan tambahan dan juga figura khas.

Buat masa ini, edisi ini hanya dijual di Amerika Syarikat melalui Gamestop dengan harga $199.99(~RM813), namun kami berasa ianya pasti akan tiba di pasaran Malaysia seperti edisi-edisi yang dilancarkan oleh Capcom sebelum ini. Melalui edisi ini, Capcom akan menyertakan:

  • Permainan Resident Evil 2
  • Bekas khas edisi Deluxe
  • DLC pek tambahan – Menyertakan kostum dan senjata tambahan Leon dan Claire.
  • Muzik latar digital
  • Figura watak Leon S. Kennedy bersaiz 12 inci.
  • Buku karya seni khas Resident Evil
  • Poster khas balai polis Raccoon City

Selain daripada itu, Capcom juga berkongsi poster baru khas yang memperlihatkan watak Claire Redfield, iaitu salah satu watak utama permainan Resident Evil 2 ini.

Menurut Capcom, melalui permainan Resident Evil 2, mereka ingin memfokuskan visual grafik yang lebih nyata dimana setiap rekaan baju watak Leon dan Claire dihasilkan di dunia nyata dan diimbas untuk mendapat visual foto realisitik. Tambah Capcom, dengan melalui enjin permainan RE Engine, mereka berjaya menghasilkan satu bentuk visual yang bukan sahaja nampak lebih nyata, malah lebih menakutkan dan menggelapkan.

Capcom juga ingin memfokuskan tema kehujanan dan kegelapan di dalam permainan Resident Evil 2 ini juga dimana setiap rekaan bandar dan zombi mempunyai hasil seram yang lebih menakutkan berbanding dengan permainan asal.

Resident Evil 2 merupakan permainan yang diolah semula daripada permainan asalnya Resident Evil 2 di Playstation 1 pada 1998 lepas. Ia kini bukan sahaja mempunyai bentuk permainan baru, malah ia mempunyai visual yang dinaik-taraf dan dibangunkan khas oleh Capcom. Permainan ini akan dikeluarkan pada 25 Januari 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.

Selain itu, menurut Playstation Asia, permainan ini juga akan boleh dimainkan ketika acara Playstation Experience SEA 2018 yang bakal berlangsung Ogos ini di Bangkok, Thailand.

Sohor Kini