Informasi Permainan Video Terkini
Pencipta Uncharted Meninggalkan EA Kini Membuka Studio Sendiri

Pencipta Uncharted Meninggalkan EA Kini Membuka Studio Sendiri

Diterbitkan pada June 29, 2018 oleh .

Amy Hennig merupakan nama yang gah di dalam industri permainan video. Beliau menghasilkan permainan seperti The Legacy of Kain akan tetapi lebih dikenali kerana merupakan penulis utama untuk permainan terkenal Naughty Dog iaitu Uncharted.

Pada awal pembangunan Uncharted 4, beliau secara mengejut meninggalkan Naughty Dog. Ada laporan yang mengatakah ia disebabkan permasalahan antara beliau dan Neil Druckmann iaitu penulis The Last of US akan tetapi Naughty Dog mengatakan Druckmann tidak terlibat dalam perkara tersebut.

Selepas meninggalkan Naughty Dog, Amy Hennig dilantik oleh EA untuk mengetuai pembangunan satu permainan Star Wars baharu bersama dengan studio Visceral Games. Pada Oktober tahun lepas, studio tersebut di tutup oleh EA dan projek permainan Star Wars diambil alih oleh EA Vancouver.

Penglibatan Amy Hennig dalam pembangunan permainan tersebut masih menjadi tanda tanya, tetapi minggu ini beliau mengesahkan sudah meninggalkan EA semenjak bulan Januari lagi.

Beliau juga mengatakan kini beliau memulakan studio sendiri dan berharap untuk melantik lebih ramai pekerja tetapi tidak lebih pada 15 orang. Melalui studio ini beliau berminat untuk melakukan pelbagai projek termasuk VR.

Mengenai projek Star Wars, beliau mengatakan EA Vancouver sedang membangunkannya tetapi agak berlainan dengan apa yang beliau inginkan. Menurutnya, apabila permainan menjadi dunia terbuka ia adalah satu permainan yang lain. Beliau juga masih berharap dapat menunjukkan permainan yang cuba dibangunkan oleh beliau.

Bagi kami beliau adalah tokoh yang besar di dalam industri permainan video dan semangat beliau untuk menghasilkan permainan yang memfokuskan penceritaan adalah sesuatu yang harus kekal. Kami berharap beliau akan lebih berjaya melalui studio sendiri.


TIPS & ULASAN