Lanjutan perkongsian senarai permainan oleh Sony yang diumumkan baru-baru berkenaan jangka masa pengiraan ke E3, bagi hari ketiga, Sony menyatakan bahawa mereka akan mengumumkan permainan terbaru dan kini, permainan tersebut telahpun diumumkan iaitu Twin Mirror.
Twin Mirror merupakan permainan yang dibangun oleh DONTNOD Entertainment, iaitu mereka terkenal dengan Vampyr dan Life Is Strange. Permainan tersebut juga dilancarkan oleh Bandai Namco.
Menurut Sony, permainan tersebut merupakan permainan yang memfokuskan bentuk penceritaan secara solo dengan watak bernama Sam. Permainan ini juga akan bertempatkan di perkampungan Basswood di West Virginia dimana watak Sam pulang ke kampung tersebut untuk menghadiri upacara pengembumian rakan karib beliau. Namun, perkara menjadi huru-hara dimana pagi berikutnya, Sam bangun di hotel dengan baju yang berdarah dan hilang ingatan akan perkara yang berlaku malam sebelum itu.
Berdasarkan sipnosis yang dikongsikan oleh Sony, tampaknya permainan ini mungkin mempunyai bentuk permainan yang seakan Life Is Strange. Permainan ini juga mengingatkan kami dengan Farenheit: Indigo Prophecy oleh Quantic Dream.
Walau bagaimana pun, kami di Aksiz tidak sabar untuk mengetahui informasi tambahan apabila ia diumumkan kelak oleh Sony. Menurut Sony, permainan tersebut bakal tiba di Playstation 4 pada 2019 ini.