Dragon Ball Xenoverse 2 telah pun dilancarkan sejak 2016 lepas di Playstation 4, Xbox One dan PC. Bandai Namco juga melancarkan permainan tersebut di Switch pada tahun lepas.
Kini melalui video di saluran Youtube rasmi Bandai Namco, penerbit permainan tersebut, Masayuki Hirano mengumumkan kenyataan rasmi berkenaan masa depan permainan tersebut. Menurut beliau, sebelum ini mereka menjanjikan bahawa Bandai Namco akan terus menyokong permainan tersebut setelah setahun selepas pelancarannya.
Beliau juga menyatakan bahawa pada masa akan datang mereka masih lagi akan menyertakan pelbagai kandungan buat permainan tersebut, termasuklah DLC watak baru dan juga kemaskini keseimbangan bersama pernaik-tarafan atas-talian permainan tersebut.
Ini merupakan satu pengumuman yang menarik memandangkan Bandai Namco masih lagi akan menyokong permainan yang dilancarkan hampir 2 tahun lepas. Dengan pengumuman ini, kandungan-kandungan yang bakal tiba buat Dragon Ball Xenoverse 2 sememangnya akan memberi nilai permainan yang lebih buat permainan tersebut.