Skip to main content

Sebelum ini, tarikh pelancaran Mega Man 11 tertiris di laman kedai atas-talian Playstation Store yang mana ia tersenarai akan dilancarkan pada 3 Oktober ini.

Kini tampaknya, tarikh tersebut merupakan tarikh yang betul dimana hari ini, Capcom akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran permainan tersebut iaitu 3 Oktober (tarikh waktu tempatan) buat Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC.

Berdasarkan video yang dipertontonkan, Dr. Wily iaitu antagonis utama siri Mega Man akan kembali dan seperti biasa, Mega Man akan sekali lagi menghentikan rancangan Dr. Wily. Dengan teknologi Double Gear, Dr. Wily sekali lagi akan merampas robot-robot Dr. Light dan membuat mereka menjadi robot yang jahat dan lebih kuat.

Menariknya, Mega Man 11 kali ini akan menyertakan bentuk permainan yang baru dengan sistem Double Gear, iaitu teknologi yang sama digunakan oleh Dr. Wily.

Sistem Double Gear tersebut akan membenarkan dua fungsi baru buat Mega Man, antaranya adalah kemahiran kelajuan yang pantas, Speed Gear yang membenarkan pemain untuk bergerak lebih laju dan keadaan sekeliling Mega Man, ataupun pemain akan menjadi lebih perlahan. Fungsi ini juga akan memberi peluang kepada pemain untuk mengelak sebarang serangan musuh ataupun bergerak di persekitaran dengan lebih selamat.

Sistem kedua pula adalah Power Gear, yang akan membenarkan Mega Man untuk meningkatkan serangan tembakannya daripada biasa. Melaluinya, pemain berupaya untuk mengecas senjata Mega Buster dengan lebih tinggi dan menembak dua tembakan cas. Ia juga akan memberi peningkatan kuasa buat senjata-senjata Mega Man yang diperolehnya setelah mengalahkan ketua musuh.

Namun, kedua-dua fungsi tersebut tidak boleh digunakan secara berterusan dimana setelah penggunaannya, pemain perlu menunggu masa sebelum ia diaktifkan semula. Pemain juga berupaya untuk mengaktifkan kedua-dua fungsi Gear tersebut, namun setelah penggunaannya, ia akan memberi kesan kepada Mega Man dimana beliau mudah diserang selepas itu.

Capcom juga berkongsi dua daripada lapan robot ketua musuh yang bakal tiba buat permainan tersebut iaitu Fuse Man dan Block Man. Seperti biasa, kedua-dua ketua musuh tersebut akan memberi kuasa senjata mereka kepada Mega Man setelah Mega Man mengalahkan mereka.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permainan ini, ia kini boleh dipra-tempah melalui pengedar rasmi permainan tersebut.

Mega man 11 merupakan siri Mega Man klasik yang diolah semula dan diberi nafas yang baru dan ia dirancang untuk dilancarkan di Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC pada 3 Oktober ini.

Leave a Reply