Penulisan ini adalah dikhususkan untuk anda yang sudah membeli permanian Detroit: Become Human, oleh kerana itu kami akan menulis dengan memikirkan yang anda sudah mengetahui beberapa perkara asas mengenai permainan ini. Bagi anda yang masih tidak bercadang atau tidak pasti untuk membelinya, anda boleh membaca ulasan kami menggunakan pautan ini.

Untuk memberi panduan bagi permainan ini kami terpaksa berkongsi beberapa perkara yang mungkin menjadi spoiler untuk anda terutama bagi no 4 dan 5. Jadi kami cadangkan anda habiskan sekali permainan ini sebelum membacanya, kami juga akan cuba mengurangkan spoiler sebaik mungkin.

1. Main secara Penuh Untuk kali pertama sebelum menggunakan Flowchart

Setiap kali anda menghabiskan satu bab, Flowchart akan ditampilkan untuk menunjukkan apa yang sudah anda buat. Walaupun pada bila-bila masa anda boleh kembali ke menu utama dan bermain balik bab yang sama (mungkin kerana anda tidak menggemari dengan penceritaan yang anda dapat) akan tetapi seperti permainan ini sendiri mencadangkan, kami juga sangat mengesyorkan untuk anda menghabiskan dahulu permainan ini untuk kali pertama.

Ini adalah kerana anda akan lebih memahami dengan penceritaan permainan ini sebelum dapat memilih laluan perjalanan kegemaran anda. Ia juga disebabkan permainan ini mempunyai satu sahaja file simpanan permainan, jika anda kembali bermain bab yang sama anda akan menggantikan bab itu dengan laluan perjalanan baru dengan menghabiskan terlebih dahulu permainan anda dapat mengurangkan perlu membuat perkara sama lebih dari sepatutnya.

2. Penceritaan lebih mudah untuk di hadam jika bermain secara perlahan

Penceritaan Detroit: Become Human mengikut citarasa anda mungkin sangat suram dan mendatar. Selain emosi sedih dan takut, tidak banyak emosi lain yang ditampilkan. Baik atau buruk ini sudah menjadi kebiasaan untuk penulisan David Cage, beliau mungkin tidak pandai untuk menulis lawak.

Permainan ini agak pendek untuk dihabiskan, satu permainan memerlukan 8 hingga 10 jam. Disebabkan itu kami mengesyorkan untuk anda bermain secara perlahan dan mengambil masa anda dan diselangkan dengan permainan lain. Dengan bermain secara perlahan pun mungkin memenatkan kerana cara penceritaan permainan ini, inikan lagi jika anda bermain terus menerus.

3. Periksa setiap sudut sesuatu kawasan

Untuk ini R2 adalah sahabat anda, dalam sesuatu kawasan walaupun anda mempunyai satu atau dua objektif tetapi kebiasaan akan ada perkara sampingan yang mungkin sekadar tambahan dan juga penting untuk digunakan di bab-bab yang ke depan.

Ada kawasan yang mempunyai had masa, jadi kami kebiasaan sering menekan R2 dan melihat kepada tempat yang mungkin penting dan tempat itu kami akan utamakan untuk memeriksa. Dalam permainan ini akan ada banyak pilihan dialog berdasarkan apa yang anda jumpa di sesuatu kawasan dan untuk elakkan “apa yang aku tertinggal?” rajin-rajinlah menekan R2 dan periksa.

4. Tidak perlu sentiasa mengikut satu laluan sahaja

Di dalam permainan ini mempunyai banyak laluan dari segi perhubungan dan penceritaan. Antara perkara yang akan mendapat kesan berdasarkan pilihan anda adalah perhubungan watak utama dengan watak lain, sebagai contoh hubungan Connor dan Hank, hubungan Kara dan Alice serta Markus dan 3 pembantu utama beliau dan juga dengan keseluruhan Jericho. Selain itu turut ada adalah “Public Reaction” yang kebanyakan berdasarkan pilihan oleh Markus.

Katakan perhubungan Kara dan Alice, walaupun anda ingin menjadi rapat dengan Alice akan tetapi anda tidak perlu sentiasa mengikut apa yang disukai oleh Alice. Ada perkara yang akan mengurangkan perhubungan dengan Alice tetapi dari segi penceritaan ia adalah lebih baik. Oleh kerana anda akan mempunyai banyak peluang lain, asalkan anda seimbangkan pilihan anda ia tidak akan mengganggu apa yang anda cuba dapati.

Lebih-lebih lagi mengenai Public Reaction, mengikut pilihan Markus dalam memperjuangkan hak android, orang ramai mungkin menyokong atau membenci. Jika anda ingin orang ramai untuk menyokong sudah semestinya anda perlu memperjuangkan secara aman, akan tetapi tidak semestinya anda membuat secara aman, ada masanya anda boleh menjadi pemberontak terutama di saat yang memerlukan. Asalkan anda mengimbanginya dengan baik, orang ramai masih akan menyokong android. Hidup android!

5. Cara Mendapat Penceritaan/Penamat Terbaik

Setelah 3 kali bermain secara penuh dan berulang-ulang kali bermain satu bab, kami boleh katakan ada satu penceritaan yang terbaik. Perkara penting untuk penceritaan terbaik ini adalah kesemua watak sampingan dan rakan-rakan mereka masih hidup di pengakhiran cerita. Watak-watak tersebut adalah Connor, Hank, Kara, Alice, Luther, Jerry, Markus, Simon, North, Josh.

Penceritaan terbaik mungkin berbeza mengikut citarasa pemain akan tetapi berikut adalah cara untuk memastikan kesemua watak terselamat sehingga pengakhiran cerita.

Connor dan Hank – Oleh disebabkan Connor akan kembali selepas ‘mati’, jadi tidak perlu risaukan mengenainya. Manakala untuk memastikan Hank hidup, perhubungannya dengan Connor mesti di tahap yang terbaik iaitu ‘Friend’.

Kara, Alice, Luther dan Jerry – Empat watak ini saling berkait, paling awal yang boleh mati adalah Kara & Alice semasa bab On The Run, jika dikejar pastikan anda melakukan QTE dengan tepat. Ketika bab Crossroads, pastikan Kara menyelamatkan Kara, apabila hampir ditangkap oleh FBI Kara dan Alice perlu berpura-pura mati dan jangan bergerak.

Di chapter Battle for Detroit, semasa Kara dan Alice menuju ke perhentian bas, pastikan anda menyelamatkan Luther dan Jerry. Selepas itu semasa melalui tempat pemeriksaan keselamatan, tidak perlu risau anda akan melepasinya tanpa masalah. Di stesen bas, anda akan mempunyai pilihan untuk mencuri tiket bas, lakukannya. Walaupun Alice tidak menyukainya tetapi dia akan faham. Manakala di sempadan Canada, keempat-empat watak ini akan terselamat jika Public Reaction adalah di peringkat yang terbaik.

Markus, Simon, North dan Josh – Cara terbaik dan mudah untuk memastikan mereka berempat terselamat adalah dengan menggunakan demonstrasi secara aman, ini juga dapat membantu untuk Kara semasa di sempadan Canada.

Akan tetapi ada beberapa tempat yang kami rasakan cara kasar lebih baik iaitu semasa The Stratford Tower, akan ada seorang pekerja yang melarikan diri – tembak. Persepsi orang ramai menurun tetapi sedikit sahaja.

Manakala semasa Freedom March, anda boleh melarikan diri untuk menyelamatkan kesemua orang tetapi bagi kami cara yang paling seronok adalah dengan menyerang, selagi anda melakukan segala QTE dengan baik keempat-empat watak ini akan terselamat tambahan anda juga dapat menunjukkan kekuasaan.

Di bab Crossroad pastikan anda menyelamatkan North dan Simon, seperti biasa pastikan skill QTE anda di tahap yang terbaik.

Di pengakhiran pastikan anda memilih Demonstration berbanding Revolution. Ini bukan sahaja akan memastikan kesemua terselamat, ia turut membantu untuk memastikan Kara, Alice, Luther dan Jerry berjaya memasuki Canada.

Selain mendapat penceritaan terbaik anda juga akan mendapat beberapa trofi jika anda seorang pengumpul.

Bagaimana pengalaman anda setakat ini bermain Detroit: Become Human? Jika anda mempunyai sebarang panduan tambahan jangan segan untuk berkongsi-nya di ruangan komen.

Sohor Kini