Sebelum ini, kami melaporkan senarai DLC pernambahan buat permainan Far Cry 5 yang mana mereka mengumumkan 3 DLC utama bersama pelbagai kandungan tambahan lain. Kini, DLC utama yang pertama, Hours Of Darkness akhirnya bakal tiba pada 5 Jun ini.
Melalui DLC Hours Of Darkness, pemain akan diletakkan ketika peperangan di Vietnam. Pemain juga akan bertempur dengan askar Vietnam, menyelamatkan rakan-rakan askar dan juga pemain perlu melarikan diri dari kawasan tersebut.
Untuk mendapatkan kemaskini ini, pemain perlu membelinya secara berasingan ataupun melalui pas musim yang diberkaskan bersama permainan tersebut.
Menurut Ubisoft, dua lagi DLC pernambahan, Lost on Mars dan Dead Living Zombies yang diumumkan sebelum ini akan dilancarkan pada Julai dan Ogos kelak. Ubisoft juga menyatakan kandungan peta kawasan dan aset-aset tema DLC permainan tersebut juga bakal tiba di dalam mod Far Cry Arcade yang diumumkan sebelum ini.
Far Cry 5 adalah permainan penembak pandang pertama dunia terbuka yang dibangunkan oleh Ubisoft. Ia merupakan siri Far Cry kelima dan ia telah pun dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC pada Mac 2018 lepas. Sebelum ini, kami juga melaporkan bahawa Far Cry 5 merupakan permainan paling laris untuk siri permainan Far Cry.