Informasi Permainan Video Terkini
Sony Masih Lagi Berminat Dengan Permainan Mudah-Alih – Akan Terus Menyokong Playstation Vita Sehingga 2020

Sony Masih Lagi Berminat Dengan Permainan Mudah-Alih – Akan Terus Menyokong Playstation Vita Sehingga 2020

Diterbitkan pada Mei 24, 2018 oleh .

Lanjutan daripada kenyataan CEO Sony Interactive Entertainment, John Tsuyoshi Kodera berkenaan jangka hayat Playstation 4 baru-baru ini, kini melalui laporan terbaru, beliau menyatakan bahawa Sony masih lagi berminat dengan permainan mudah-alih.

Beliau menyatakan bahawa daripada mengasingkan permainan mudah-alih dan juga konsol permainan, mereka berminat untuk membawa permainan mudah-alih sebagai satu lagi cara untuk membawa pengalaman permainan video buat pemain. Mereka juga berharap untuk memberi lebih banyak pilihan buat pemain.

Kenyataan tersebut juga mungkin berkait rapat dengan kebarangkalian berkenaan konsol seterusnya oleh Sony seperti yang mereka nyatakan sebelum ini. Namun buat masa ini, John Tsuyoshi Kodera tidak menyatakan sebarang informasi tambahan berkenaannya.

Selain daripada kenyataan itu, John Tsuyoshi Kodera juga berkongsi bahawa mereka akan terus menyokong konsol mudah-alih Playstation Vita sekurang-kurangnya dua tahun (2020) lagi. Namun begitu, baru-baru ini Sony juga menyatakan mereka tidak lagi akan mengeluarkan permainan fizikal dan permainan percuma Playstation Plus buat konsol tersebut pada masa akan datang.

Buat masa sekarang, Sony masih tidak berkongsi sebarang informasi berkenaan konsol seterusnya oleh mereka dan sama ada mereka berminat untuk melancarkan konsol mudah-alih seterusnya. Namun, dengan pelancaran permainan PlayLink dan permua oleh Forward Works (Pembangun permua telefon pintar dibawah Sony) pada masa akan datang, kami percaya Sony tidak akan mengabai arena permainan mudah-alih.


TIPS & ULASAN