Skip to main content

Bermula sebagai demo teknologi untuk PS3, Detroit: Become Human merupakan permainan terbaru keluaran Quantic Dream yang mengeluarkan permainan seperti Heavy Rain dan Beyond: Two Souls. Permainan pengembaraan yang juga boleh dikatakan sebagai filem interaktif ini dikeluarkan secara eksklusif untuk PS4 pada 25 Mei 2018. Beyond: Two Souls dikatakan mempunyai kekurangan dari segi penceritaan, adakah Detroit mengembalikan magis permainan Quantic Dream?

Cerita

Perkara utama yang diperkatakan mengenai permainan Quantic Dream adalah permainan mereka memfokuskan kepada penceritaan. Cerita diutamakan berbanding teknik permainan dan Detroit terus mengekalkan tradisi tersebut. Seperti permainan-permainan Quantic Dream yang lain, Detroit juga ditulis dan diarah oleh David Cage. Detroit berlaku pada tahun 2038 dan memfokuskan keadaan di sebuah bandar di Amerika Syarikat iaitu Detroit di mana manusia mula menggunakan android untuk melakukan tugasan-tugasan harian seperti pengasuh, jurutera ataupun yang lebih khusus seperti dijadikan sebagai isteri atau kekasih.

Oleh kerana android merupakan robot yang tidak mempunyai sebarang perasaan, ramai manusia mengambil kesempatan ini untuk melakukan perkara yang tidak baik dan melayan android dengan teruk. Tambahan ada sebilangan manusia yang berpendapat android mengambil pekerjaan mereka.

Kemudian keadaan menjadi rumit apabila ada android yang mula mempunyai pemikiran, naluri dan perasaan sendiri seperti manusia. Golongan android ini dipanggil sebagai Deviant iaitu android yang mempunyai masalah ‘teknikal’. Kebencian manusia terhadap android mula bertambah apabila deviant mula melawan pemilik mereka dan ada juga sehingga membunuh.

Di dalam ketegangan ini Detroit memfokuskan penceritaan kepada tiga watak utama iaitu Connor, Kara dan Marcus. Setiap watak ini mempunyai penceritaan yang berlainan walaupun penceritaan mereka ada bersilang tetapi kebanyakan adalah penceritaan mereka sendiri yang pemain akan bersilih ganti mengawal. Connor merupakan prototype android yang terbaru dan terbaik dihasilkan oleh Cyberlife iaitu pengeluar utama android. Connor ditugaskan oleh Cyberlife untuk berkerjasama dengan pihak polis bagi menyiasat kejadian deviant.

Kara merupakan android yang direka khas untuk menjadi pembantu rumah dan pengasuh, pemiliknya adalah Todd yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Alice. Todd seorang yang panas baran dan Kara yang menjadi satu deviant tidak tahan dengan layanan diberikan terhadap Alice, penceritaan Kara memfokuskan kepada Kara dan Alice cuba untuk bertahan persekitaran yang makin bermasalah kerana perbalahan antara android dan manusia.

Marcus seperti Kara juga seorang pembantu rumah dan penjaga kepada seorang pelukis bernama Carl, tidak seperti manusia lain Carl melayan Marcus dengan baik. Disebabkan beberapa kejadian yang berlaku di antara Marcus dan Carl, Marcus menjadi deviant dan menjadi tunjang utama untuk android memperjuangkan hak mereka sebagai satu makhluk yang hidup dan setaraf dengan manusia.

Walaupun diceritakan dengan tiga pandangan berbeza tetapi ketiga-tiga watak di bawah satu payung permasalahan sama iaitu ketidakadilan layanan terhadap android dan manusia yang masih tidak dapat menerima android mempunyai pemikiran sendiri. Selain itu penceritaan juga menyelitkan perhubungan antara watak-watak tersebut dengan watak-watak lain tidak kira manusia ataupun android. Perhubungan ini dilakukan dengan sangat baik, dan menjadi penggerak utama perceritaan.

Detroit turut menggunakan isu-isu sosial dan politik semasa sebagai pemakin penceritaan, walaupun mengunakan android tetapi masalah yang ditampilkan bukanlah sesuatu yang asing kepada dunia kita. Cara permainan ini mengunakan tema ini adalah sangat baik dan tidak merasa seperti cuba sekadar mengunakan isu-isu tersebut tanpa penambahan lain.

Walaupun bukanlah satu penceritaan yang unik, jika anda sering menonton filem-filem yang melibatkan robot dan manusia penceritaan boleh dikatakan sama akan tetapi tidak sangat mencacatkan pengelaman permainan ini. Penceritaan dilakukan dengan baik, kelajuan penceritaan juga baik walaupun ada beberapa misteri tidak dirumuskan dengan penuh akan tetapi secara keseluruhan penceritaan yang diberikan adalah sesuatu yang kita dapat jangka dari Quantic Dream dan David Cage.

Plot twist dan emosi penceritaan dimasukkan dengan baik, oleh kerana permainan ini mempunyai teknik permainan di mana pilihan pemain akan memberikan penceritaan yang berbeza anda boleh melihat penceritaan sama diceritakan dengan pelbagai penambahan dan pengurangan sendiri menjadikan ia unik dan mengekalkan minat pemain terhadap cerita yang cuba disampaikan. Perbezaan penceritakan ada yang menjadikan penceritaan sangat berlainan dan ada juga yang sekadar perbezaan kecil. Walaupun ada banyak ruang untuk diperbaiki tetapi keseluruhan penceritaan yang disampaikan agak baik, menarik dan menyegarkan.

Teknik Permainan

Disebabkan fokus utama Detroit adalah penceritaan, teknik permainan yang terdapat di dalam Detroit adalah untuk membantu perjalanan penceritaan dan bukanlah sesuatu yang tersendiri. Penggunaan Flowchart yang memperlihatkan perjalanan penceritaan yang berbeza-beza berdasarkan kejadian dan pilihan pemain adalah satu perkara yang menarik untuk permainan ini.

Penceritaan Detroit akan dibahagikan kepada beberapa bab yang akan menggunakan di antara tiga watak utama. Setiap bab akan mempunyai Flowchart tersendiri. Setelah pemain menghabiskan satu bab, pemain boleh melihat Flowchart untuk bab tersebut, dialog ataupun perkara termasuk juga rumusan penceritaan akan ditunjukkan manakala yang masih tidak akan disorok tetapi tetap memberikan penunjuk kepada pemain apa yang boleh dilakukan untuk menghasilkan penceritaan yang berbeza. Untuk memenuhi setiap bahagian di dalam Flowchart ini dengan sendirinya boleh menjadi tekaria yang memberikan alasan kepada pemain untuk kembali bermain bab yang sama beberapa kali.

Pemain boleh terus kembali bermain bab yang sama untuk memenuhi Flowchart akan tetapi oleh kerana simpanan permainan adalah satu sahaja, dinasihatkan agar anda sekurangnya menghabiskan keseluruhan permainan sekurangnya sekali sebelum kembali bermain bab-bab yang sama. Selain itu kejadian di dalam satu bab turut memberi kesan kepada bab-bab kedepan dan ini akan dinyatakan di dalam Flowchart dengan mengunakan ikon khas. Sebagai contoh kejadian yang berlaku di bab 1 akan memberi kesan di bab 10. Oleh kerana setiap bab saling berkait pemain boleh mengubah kejadian di bab 1 akan tetapi tidak memberi kesan kepada bab ke 10 jika pemain tidak bermain bab-bab lain diantaranya, untuk melihat perbezaan dengan mengubah kejadian di bab 1 pemain perlu bermain balik dari bab 1 hingga bab 10. Ini mungkin agak menyusahkan untuk sesetengah pemain.

Jika anda pernah bermain permainan dari Quantic Dream ataupun Telltale Games, Detroit mengekalkan resipi yang sama iaitu banyak menggunakan teknik permainan Quick Time Event (QTE) yang digunakan apabila berhadap dengan adegan cemas seperti mengejar ataupun melarikan diri dan juga pertempuran selain perkara-perkara sampingan sebagai sebahagian pengembaraan di dalam permainan ini. QTE yang digunakan adalah ringkas, seperti perlu menekan butang-butang tertentu pada masa tertentu. Tujuan utama teknik permainan ini adalah bagi mencipta perasaan yang cemas, dan untuk kebanyakan tempat ia berjaya. Permainan ini tidak mempunyai ‘game over’ akan tetapi QTE juga boleh memberi kesan kepada penceritaan jika pemain gagal akan tetapi pemain diberi banyak ruang untuk melakukan kesilapan.

Selain itu ada juga simulasi pergerakan di mana masa dihentikan bagi memberi peluang untuk pemain memilih turutan pergerakan yang bersesuaian dan juga memilih jalan jauh tapi selamat ataupun dekat tetapi berbahaya. Untuk pemilihan turutan pergerakan, pemain hanyak perlu memilih pergerakan yang betul dan menggunakan sistem menggerakkan masa ke depan dan ke belakang. Untuk Connor sistem ini digunakan bagi membantu siasatan beliau. Teknik permainan ini juga agak ringkas dan tidaklah menarik terutama apabila sudah banyak kali dilakukan.

Pengembaraan juga teknik permainan utama untuk Detroit, pemain perlu mencari tempat-tempat tertentu, tugasan ataupun mencari sesuatu benda untuk menggerakkan penceritaan akan tetapi tempat yang diberikan tidaklah luas dan pemain boleh menekan R2 untuk melihat tempat-tempat atau barangan yang pemain boleh berinteraksi. Pengembaraan ini diselitkan dengan tekaria yang ringkas seperti pemain perlu mencari barangan tertentu untuk membolehkan pemain melakukan sesuatu. Ini serba sedikit memberi sedikit kebebasan untuk pemain mengembara dan menggerakkan penceritaan berdasarkan pilihan pemain.

Dialog juga mempunyai fungsi yang sama seperti pengembaraan, berdasarkan dialog pemain akan berinteraksi dengan watak-watak lain dengan cara berbeza dan memberikan kesan kepada perhubungan mereka seperti menjadi musuh ataupun sahabat. Perhubungan dan dialog ini akan turut merubah penceritaan yang akan berlaku selain memberi kesan kepada aksi-aksi yang boleh dilakukan oleh pemain. Pengembaraan dan dialog boleh dikatakan perkara yang lebih menjadikan permainan ini menarik berbanding QTE ataupun simulasi pergerakan kerana dua perkara ini yang menjadikan penggerakan utama Flowchart.

Bergantung kepada pemain, teknik permainan yang ada sudah cukup menjadikan permainan ini menarik tetapi kemungkinan ada juga yang merasakan teknik permainan terlalu ringkas dan sistem Flowchart yang digunakan agak menyusahkan terutama pemain terpaksa mengulangi bab yang sama berulang kali. Jika pemain ingin memfokuskan kepada penceritaan tanpa QTE ataupun simulasi pergerakan yang banyak, Detroit menyediakan pilihan kesusahan khas untuk ini. Walaupun begitu, sepanjang sesi permainan saya, saya menghabiskan masa hampir 10 jam untuk sesi pertama dan 8 jam untuk sesi kedua permainan tersebut.

Grafik

Detroit mempunyai grafik yang sangat baik sepanjang permainan, dengan menggunakan kualiti yang sama semasa bermain ataupun cutscene menjadikan Detroit sangat bersesuaian untuk digelar sebagai satu filem interaktif. Jika dibuang kesemua teknik permainan yang ada Detroit boleh dikatakan sebagai satu filem animasi. Rekaan persekitaran dilakukan dengan baik dan cantik, memberikan dunia yang kedepan tetapi pada masa sama mengekalkan rekaan dunia sekarang menjadikanya ianya lebih mudah untuk dipercayai. Ada beberapa bahagian di dalam Detroit yang berlaku semasa keadaan bersalji. Walaupun dipenuhi dengan salji putih, akan tetapi permainan ini direka dengan baik dari segi warna persekitaran dan pakaian watak untuk menjadikan ia tidak terlalu kelam ataupun mendatar.

Perkara yang seharusnya dipuji apabila bercakap mengenai grafik Detroit adalah rekaan watak. Tidak kira watak utama Connor, Kara dan Marcus, watak-watak lain tidak kira kecil ataupun besar direka dengan teliti dan baik. Tekstur dan sistem lampu yang digunakan sangat menjadikan watak sangat menyerlah dan realistik. Pergerakan badan dan riak wajah juga dilakukan dengan baik dan nampak semula jadi. Emosi yang ditampilkan di wajah cukup untuk menunjukkan perasaan watak tanpa memerlukan dialog akan tetapi ada beberapa bahagian di mana bibir watak terutama apabila senyum nampak agak janggal dan bukan kerana watak tersebut adalah android kerana di bahagian lain ia adalah baik.

Detroit tidak mempunyai pilihan tetapan untuk memfokuskan kepada grafik ataupun kelancaran permainan akan tetapi kualiti tekstur yang digunakan sudah semestinya lebih baik di Playstation 4 Pro kerana resolusi yang digunakan adalaah lebih besar, akan tetapi perbezaan tidaklah sangat jauh dan untuk Playstation 4 yang biasa pun permainan ini mempunyai kualiti grafik yang sudah cukup baik dan kelancaran permainan untuk kedua-dua konsol adalah pada 30FPS, walaupun kami mengharapkan 60FPS akan tetapi kelancaran permainan sudah cukup baik terutama Detroit tidak mempunyai banyak bahagian yang memerlukan pergerakan pantas.

Walaupun untuk ulasan ini dimainkan menggunakan Playstation 4 Pro ada beberapa masalah grafik seperti tekstur tidak keluar seperti sepatutnya dan juga masalah popping oleh kerana berlaku agak jarang ia tidak sangat mencacatkan keseluruhan grafik permainan ini yang sangat baik. Ada beberapa tempat yang kelancaran jatuh tetapi sangat sedikit, ada yang agak teruk tetapi satu bahagian sahaja yang mungkin akan diperbaiki melalui kemaskini akan datang.

Audio

Untuk menjadi satu filem, walaupun sekadar permainan dalam bentuk filem interaktif elemen penting adalah muzik dan Detroit mempunyai muzik latar yang sangat baik. Muzik yang digunakan sangat membantu untuk menekankan lagi keadaan sesuatu babak. Detroit juga mempunyai kesamaan dengan muzik yang digunakan di dalam filem Dark Knight dan itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Detroit menggunakan tiga komposer berbeza untuk tiga watak utama yang membantu untuk memberi keunikan kepada setiap watak. Ini merupakan perkara yang biasa digunakan di dalam filem, seperti Star Wars yang mempunyai muzik khas untuk setiap watak. Melalui cara ini ia menambah seri dan personaliti kepada setiap watak dan pada masa sama memberikan perasaan berbeza untuk tiga watak ini.

Walaupun untuk Detroit, Quantic Dream tidak menggunakan pelakon terkenal seperti Beyond: Two Souls yang menggunakan Ellen Page dan William Dafoe tetapi lakonan suara yang dihasilkan adalah sangat baik dan tiada watak utama ataupun sampingan yang berbunyi seperti robot, walaupun ironinya permainan ini adalah mengenai android. Setiap lakonan suara mempunyai keunikan sendiri dan jika anda tidak melihat kepada skrin anda boleh meneka watak yang sedang bercakap. Tiada banyak perkara negatif yang boleh dikatakan apabila bercakap mengenai audio untuk permainan ini selain ada beberapa bahagian yang mempunyai suara kelompok ramai seperti bersorak yang bunyinya agak pelik dan tidak realistik dan juga ada suara yang berbunyi seperti menggunakan walkie-talkie tidak pasti kerana masalah ataupun sengaja dilakukan begitu.

Kesimpulan

Detroit mempunyai penceritaan yang baik, ditambah dengan elemen bercabang satu penceritaan boleh diceritakan dengan cara yang berbeza menjadikan setiap penceritaan adalah unik. Mesej-mesej sosial dan politik dimasukan kedalam penceritaan dengan mengunakan android sebagai subjek dilakukan dengan sangat baik menjadikan permainan ini tidak kosong.

Teknik permainan yang diberikan oleh Detroit adalah agak ringkas tetapi bukan sesuatu yang di luar kebiasaan untuk permainan dari Quantic Dream akan tetapi Detroit mempunyai sistem Flowchart yang sangat menarik dan dibantuk dengan penggunaan sistem pengembaraan dan dialog. Untuk memberikan lebih pengalaman kepada pemain sistem QTE dan simulasi pergerakan juga diselit secara ringkas.

Detroit adalah permainan yang cantik dan mempunyai grafik yang boleh dikatan antara yang terbaik untuk Playstation 4 dan juga Playstation 4 Pro. Rekaan watak yang sangat baik, dan riak wajah yang sangat mudah dibaca menjadikan permainan ini lebih realistik. Walaupun kelancaran dikunci pada 30 FPS tetapi kualiti tekstur dan perlampuan menjadikanya ia bukan masalah besar terutama Detroit bukanlah permainan yang pantas.

Muzik digunakan dengan baik, selain sekadar muzik di latar ia juga digunakan untuk lebih memberikan perasaan kepada perjalanan penceritaan yang ada. Muzik dan komposer berlainan untuk setiap watak utama memberikan perasaan yang unik kepada setiap watak. Ini lebih lagi dibantu dengan lakonan suara oleh semua watak, utama ataupun sampingan yang dilakukan dengan sangat baik.

Detroit mungkinlah bukan permainan untuk semua pemain akan tetapi jika anda meminati permainan yang mempunyai elemen filem interaktif, Detroit adalah antara yang terbaik.

[info]Kod Ulasan Permainan Detroit: Become Human Disediakan oleh Playstation Asia [/info]

Leave a Reply